Tawaran Murah Hotel

Khamis, September 29, 2005

Kelebihan wanita yang setia melayani suami

Kelebihan wanita yang setia melayani suami

Allah mewajibkan isteri melayani suami. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan layanan itu? Ramai yang beranggapan bahawa melayani suami itu tertumpu pada layanan seks suami. Lalu perkara lain tidak termasuk dalamnya.

Sebenarnya layanan seks merupakan keperluan dua belah pihak terutama ketika suami memerlukannya. Tetapi banyak lagi perkara lain yang boleh meringankan bebanan, tugas, dan tanggungjawab suami termasuk dalam kategori layanan. Jadi, semua itu perlu difahami oleh para isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengikut pilihannya),” Riwayat Ahmad.

Mentaati perintah suami melibatkan soal pendidikan anak-anak. Maka segala yang bersangkutan dengan perkara itu harus diberi perhatian. Hal ini seperti menjaga kesihatan diri dan anak-anak, menjaga keperluan anak-anak dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Maka segala perkembangan mengenainya perlu dilaporkan kepada suami sama ada berjaya atau gagal.

Jika semua itu dapat dilakukan oleh semua kaum ibu maka akan terjadilah seperti kata pepatah Melayu, “Tangan yang mengayun buaian itu boleh menggoncangkan dunia.” Daripada mereka itulah lahir anak bangsa yang merdeka dan berakhlak mulia serta bertanggungjawab.

Peranan yang besar ini wajib dilaksanakan oleh kaum wanita dengan bersungguh-sungguh. Di tangan merekalah, penentu generasi pada masa depan sama ada bakal menjadi warga yang berjiwa Islam atau sebaliknya. Atas tanggungjawab itulah mereka layak mendapat jaminan syurga tanpa hisab dan bebas masuk syurga di mana-mana pintu yang mereka sukai seperti yang tersebut dalam hadis di atas.

Begitulah kemuliaan dan penghormatan yang Allah berikan kepada kaum wanita yang amanah, berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Jika setiap kaum wanita berjaya membentuk individu yang beriman, maka sudah tentu suasana masyarakat juga akan terbentuk sebagai masyarakat Islam yang harmoni dan mentaati perintah Allah.

Mengenai layanan terhadap suami, Rasulullah s.a.w bersabda kepada anaknya Fatimah yang bermaksud: “Mana-mana wanita yang melayani suaminya; meminyakkan rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, memotong kukunya, maka di akhirat dia diberi minum oleh Allah daripada air syurga dan dia diringankan seksaan ketika sakaratul maut (dekat hendak mati), dalam kubur dia perolehi taman-taman seperti taman syurga dan namanya dicatat sebagai orang yang terlepas daripada seksa neraka dan selamat melintasi Titian Sirat tanpa menempuh kesusahan.”

Malangnya ada wanita yang berasa tugas itu tidak mencabar dan mengurangkan pahala mereka berbanding dengan para lelaki, lalu mereka bertemu dengan Nabi s.a.w meminta tugas lain. Rasulullah s.a.w menegaskan, kalau kaum wanita telah mentaati suami mereka dengan bersungguh-sungguh dengan rasa keimanan, maka pahalanya sama seperti pahala jihad fisabilillah kaum lelaki.

Bahkan dalam kitab “Uqub Al-Lujain” ada menerangkan tentang keutamaan kaum wanita duduk di rumah daripada mengiringi jenazah ke kubur. Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Baiklah kamu tidak ziarah dan iringi jenazah kerana amalan itu tidak ada apa-apa pahala, lebih baik kamu tinggal di rumah dan berkhidmat kepada suami kamu, nescaya kamu akan memperoleh pahala sama dengan pahala ibadah-ibadah orang lelaki.”

Tiada ulasan: