Tawaran Murah Hotel

Jumaat, September 30, 2005

Khalwat: Pengacara, teman lelaki diikat jamin

Mahkamah Syariah: Khalwat: Pengacara, teman lelaki diikat jamin RM2,300


GEORGETOWN: Pelakon dan pengacara rancangan televisyen popular bersama teman lelakinya yang dicekup selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini, dikenakan ikat jamin RM2,300 setiap seorang, kelmarin.

Anak kepada penyanyi terkenal berusia 21 tahun dan teman lelakinya berusia 24 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang jam 4 petang.

Kedua-duanya ditahan oleh tiga pengawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) diketuai Ketua Unit Penguatkuasanya, Faizal Ibrahim di hotel di Jalan Kelawei, awal pagi kelmarin.

Kedua-dua mengakui faham pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Syarie Abdullah Ismail oleh pembantu mahkamah, Omar Osman, namun pengakuan dicatatkan.

Pelakon dan pengacara itu bersama teman lelakinya akan didakwa mengikut Seksyen 27 (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

Sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa Syarie, Khairul Azman Azizan, berkata beliau memohon pihak mahkamah agar mengenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang ke atas kedua-dua tertuduh dengan penjamin masing-masing.

Menurutnya, dia juga memohon supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin oleh saudara terdekat atau ibu bapa kerana mengambil kira pasangan berkenaan bukan berasal dari negeri ini.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,300 setiap seorang dengan seorang penjamin sebelum dihadapkan semula untuk perbicaraan penuh tidak lama lagi.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pelakon dan pengacara rancangan televisyen popular dikatakan berbaring di atas katil dengan memakai seluar paras betis dan baju bertali halus ketika berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah hotel.

Berdasarkan keterangan, pelakon itu baru sahaja tiba ke negeri ini selepas selesai menjalani penggambaran di Kedah.

Dia bersama teman lelakinya menginap di hotel berkenaan yang didaftarkan di atas namanya untuk bermalam di situ, sebelum dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur pada keesokkan harinya.

Tiada ulasan: