Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Februari 17, 2006

Masalah memiliki sebiji buah zakar sahaja

Seks: Pemuda sensitif


SAYA sudah berusia 26 tahun dan dilahirkan dengan memiliki sebiji buah zakar saja. Keadaan ini membuatkan saya berasa rendah diri. Apabila rakan sebaya memperkatakan mengenai seks, saya kerap menyisihkan diri sehingga berasa tidak yakin dengan diri sendiri.


Saya tahu ia adalah kehendak Ilahi, tetapi perkara ini membuatkan saya menjadi begitu sensitif. Bolehkah masalah ini diatasi? Mungkinkah saya boleh menjalani pembedahan atau ada alternatif lain?

AIDI | Johor Bahru.

MEMANG hasrat manusia mahukan anggota tubuh badan yang sihat dan sempurna. Jika ada sedikit perbezaan atau kekurangan, individu yang mengalami masalah terbabit berasa dirinya serba kekurangan. Jika ia tidak dapat dipulihkan, maka dia akan mengalami tekanan.

Sememangnya lelaki yang mempunyai satu buah zakar berasa rendah diri akibat kekurangan itu. Bagaimanapun, ia sebenarnya tidak menjejaskan dirinya sebagai seorang lelaki atau kesuburannya. Ini kerana satu buah zakar yang sihat sudah mencukupi untuk menghasilkan bilangan sperma berkualiti.

Buah zakar yang tiada dalam kerandut itu sebenarnya ada dalam perut kerana tersangkut ketika janin masih dalam rahim ibu.

Selepas lahir, kebiasaannya buah zakar yang tersangkut itu turun dalam masa setahun dan jika tidak berlaku, doktor melakukan pembedahan kecil untuk menurunkannya kembali ke dalam kerandut.

Jika pembedahan pemindahan buah zakar lewat dilakukan, ia akan rosak dan tidak mampu menghasilkan sperma. Jika pembedahan dilakukan dalam peringkat dewasa, kemungkinan buah zakar yang tersangkut itu tidak kelihatan kerana terlalu kecil. Jika nampak pun, ia mungkin tidak dapat diturunkan.

Kebiasaannya buah zakar sebegini dibuang supaya ia tidak menimbulkan masalah seperti barah buah zakar. Kemungkinan perubahan jarang berlaku kepada buah zakar yang tersangkut ialah tujuh hingga 14 kali ganda dan jangkitan barah buah zakar kurang dari satu kes dalam 100,000 kes setahun.

Anda perlu menerima hakikat yang anda hanya mempunyai satu buah zakar dalam kerandut (satu lagi didalam perut). Anda tidak perlu bimbang kerana kemungkinan ia menimbulkan masalah seperti barah buah zakar amat tipis dan pembedahan yang akan dilakukan itu berisiko.

Anda sepatutnya bersyukur kerana mempunyai tubuh badan yang sihat dan mempunyai fungsi kelelakian yang sempurna.

metro

Tiada ulasan: