Tawaran Murah Hotel

Khamis, Julai 27, 2006

Kabinet arah henti bincang isu sensitif agama

Kabinet arah henti bincang isu sensitif agama
Oleh SYAHRIL A. KADIR


KUALA LUMPUR 26 Julai – Mesyuarat Kabinet hari ini menegaskan isu-isu hangat yang boleh menimbulkan ketegangan dan kegelisahan rakyat terutamanya yang menyentuh pegangan agama sesuatu kaum harus dihentikan sama sekali.

Arahan itu turut membabitkan pihak media.

Hukuman berat boleh dikenakan jika ingkar, kata sumber Kabinet kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kabinet membuat keputusan itu ekoran tindakan Kumpulan Artikel 11 yang mengandungi 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam sedang menjalankan kempen seluruh negara bagi mendapatkan sokongan untuk meminda Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan.

Kandungan Perkara 121(A) itu merujuk kepada peruntukan perlembagaan yang menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah. Pertemuan pertama kumpulan 13 NGO itu berlangsung di Johor Bahru 22 Julai lalu. Pada Sabtu lalu pula, sekumpulan NGO Islam mengadakan forum di Masjid Wilayah Persekutuan, untuk mempertahankan kuasa mahkamah syariah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, dalam mesyuarat Kabinet pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan isu-isu hangat yang hebat diperdebatkan itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

“Perdana Menteri sangat mengambil berat perkembangan mutakhir isu-isu ‘panas’ ini, dalam mesyuarat Kabinet tersebut dan beliau sekali lagi meminta (perbincangan) semua perkara itu dihentikan dengan segera,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Prosiding Seminar Tamadun Islam Tentang Pembangunan Modal Insan 2006 anjuran Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya di sini.

Abdullah semalam meminta semua pihak termasuk media menghentikan segala perbincangan mengenai agama kerana ia sangat sensitif.

‘‘Jika perbincangan (agama) yang berjalan itu tidak dibendung, tidak dikawal dengan perasaan berhati-hati, maka apa yang berlaku ialah ketegangan antara rakyat yang menganuti agama berlainan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Tiada ulasan: