Tawaran Murah Hotel

Khamis, Januari 17, 2008

Elak gambir

Elak gambirJanuari 16, 2008
DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail ThambyE-mel: sakittuan@hmetro.com.my
Kegunaan hanya sebagai ubat pengebas tradisional
MINGGU lalu saya telah mendedahkan di muka depan Metro Ahad mengenai kecenderungan terbaru lelaki untuk meningkatkan lagi kekuatan ‘kelelakian’ mereka dengan mendapatkan suntikan minyak kayu cendana.
Minyak kayu cendana mungkin sesuatu yang baru di dalam masyarakat kita. Satu lagi amalan yang cukup membimbangkan dan berleluasa di kalangan lelaki ialah Gambir Sarawak.
Gambir Sarawak ialah sejenis pokok yang terdapat di Marudi, Sarawak yang mana habuk daripada kulitnya digunakan sebagai ubat pengebas tradisional. Ia biasa digunakan untuk melegakan kesakitan atau mengurangkan rasa kepada kulit.
Kegunaan sebenar secara tradisional ialah sebagai ubat pengebas untuk berkhatan.
Tidak dinafikan Gambir Sarawak juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa ketika bersetubuh dengan lelaki yang mudah mencapai ejakulasi pramatang.
Gambir Sarawak juga digunakan untuk mencabut gigi, menahan sakit gigi dan menindik telinga selain di tempat terkena sengat unggas atau ikan seperti ikan sembilang.
Jika Gambir Sarawak diusahakan secara kampung tanpa kawalan kebersihan, kemungkinan besar boleh berlaku kontaminasi dengan kuman, kulat dan bahan kimia. Ini boleh menjejaskan kesihatan lelaki yang mengamalkannya dan juga pasangan perempuan.
Ada kemungkinan jika bahan itu mengakibatkan alahan, kedua-dua pasangan akan menderita.
Nasihat saya ialah lebih baik mengelak menggunakan Gambir Sarawak untuk tujuan seksual!


Bersih alat kelaminJanuari 14, 2008
RAMAI antara kita, tidak kira lelaki atau wanita, sanggup menghabiskan ratusan ringgit sebulan hanya untuk penjagaan wajah.
Malah, ada yang ‘melabur’ sejumlah besar lagi untuk wangian dan pakaian berjenama yang mahal.
Perbuatan ini tidak salah dan digalakkan kerana bersih dan wangi bukan saja dapat meningkatkan tahap kita menjauhi virus dan penyakit, tetapi juga keyakinan diri seseorang.
Bagaimanapun, sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah, di sebalik kecenderungan untuk penampilan luaran, penjagaan anggota kelamin adalah penting, terutama bagi pasangan kelamin yang aktif dalam hubungan seksual.
Saya menerima banyak soalan daripada lelaki dan wanita berkenaan senario kurang selesa akibat bau ‘kurang enak’ yang hadir daripada kemaluan pasangan mereka.
Sebagai contoh, saya kemukakan soalan ini sebagai rujukan:
“Saya berusia 23 tahun, berkahwin pada Jun 2006 tetapi belum dikurniakan anak. Isteri saya mengalami haid yang normal, tetapi kadangkala selepas bersetubuh, zakar saya seperti berkudis, mengelupas dan timbul seperti kulit kering.
“Isteri saya pula mengeluarkan keputihan yang berketul-ketul kecil dan sering mengadu kepedihan di sekitar faraj setiap kali selepas bersetubuh. Isteri saya juga mengalami bintik kecil yang sangat gatal di sekitar paha sehingga ke mulut faraj selepas haid.”
Saya cuma ingin mengingatkan, anggota sulit wanita mudah terdedah kepada kulat dan kuman berikutan ia terletak berdekatan dua lubang najis.
Sehubungan itu, tidak hairan jika wanita itu mudah mengalami ketidakselesaan ketika bersetubuh kerana dia sebenarnya terkena jangkitan yang menyerang mukosa faraj, menyebabkan berlaku keradangan faraj.
Bagi soalan di atas dan mana-mana wanita yang mengalami simptom sama, ada kemungkinan mereka terkena jangkitan kulat yis.
Ini kerana satu daripada simptomnya ialah pengeluaran cecair putih yang berketul-ketul dan kelihatan bintik merah pada permukaan faraj.
Kebetulan pula pengadu lelaki mengalami keradangan alat sulit kerana jangkitan daripada kulat yang menyerang pasangannya.
Nasihat saya ialah, masalah ini mudah diselesaikan dengan rawatan moden, justeru, jangan berlengah berjumpa doktor kerana ia boleh menghalang kesuburan.
Masalah jangkitan pada anggota sulit bukan hanya dapat dielakkan dengan tidak mengamalkan seks bebas. Penjagaan kebersihan dan menggunakan bahan tertentu yang diiktiraf Kementerian Kesihatan penting untuk mengelak jangkitan ini.

Bahaya seks rambangJanuari 9, 2008
SETIAP perkara dilakukan akan memberi kesan kepada kehidupan kita. Sehubungan itu, berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara itu adalah jalan terbaik bagi menghindari daripada menyesal di kemudian hari.
Seks bebas adalah perkara yang wajib dielakkan. Agama melarang keras perbuatan ini kerana kesannya yang jelas memudaratkan mengikut perspektif perubatan.
Saya menerima banyak persoalan daripada lelaki yang melakukan seks rambang mengenai kesan dihadapi mereka.
Hakikatnya ialah gejala atau kesan daripada hubungan seks rambang sukar hendak diduga, terutama jika hubungan itu pun tidak dirancang.
Kajian menunjukkan yang hubungan seks mudah berlaku apabila lelaki dan wanita berada dalam keadaan berdua-duaan dan ketika itu mereka tidak terfikir apa juga kesan daripada tindakan yang mereka bakal lakukan.
Kebanyakan mereka melakukan perbuatan berkenaan dengan orang yang mereka kenali dan biasanya tidak terlintas dalam minda mereka yang si dia itu mungkin membawa jangkitan.
Bagi lelaki yang mengalami kesakitan di anggota sulit dan ada pengeluaran lendir seperti air mazi daripada salur kencing semua ini berlaku setelah melakukan persetubuhan, anda berkemungkinan dihidapi penyakit kelamin.
Jika anda tidak menggunakan kondom, kondom digunakan bocor, terlucut atau koyak, ada kemungkinan anda terkena jangkitan. Jika cecair kekuningan keluar dalam masa 24 jam selepas melakukan hubungan seks, kemungkinan anda terkena jangkitan Gonorhea.
Bagaimanapun, jika lendir yang keluar itu berlaku beberapa minggu kemudian dan ia keluar sedikit atau hanya kelihatan tanda di dalam seluar dalam, kemungkinan ia jangkitan kuman Virus Chlamydia.
Sekiranya menghidap jangkitan itu, ada kemungkinan ia boleh merebak ke buah zakar dan mengakibatkan keradangan buah zakar. Jika ia merebak ke pundi prostat, keradangan prostat boleh berlaku.
Saya ingin mengingatkan yang andainya jangkitan dan virus itu disebarkan kepada wanita lain, kemungkinan besar wanita malang itu boleh mandul.
Pada masa sama, lelaki berkenaan juga berkemungkinan mandul jika jangkitan itu mengakibatkan salur spermanya tersumbat.
Sehubungan itu, kepada mereka yang terlanjur dan mengesyaki terkena jangkitan, jumpa doktor dengan segera. Ujian darah akan mengesahkan jangkitan dan penyakit ini ada rawatannya.

http://intim.wordpress.com

Tiada ulasan: