Tawaran Murah Hotel

Isnin, Mac 10, 2008

Abdullah Angkat Sumpah Sebagai PM

Abdullah Angkat Sumpah Sebagai PM
ADAT ISTIADAT… Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) membaca surat cara pelantikan, angkat sumpah dan taat setia menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Abdullah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua. Foto: Rosli Awang
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dua hari selepas Barisan Nasional kembali berkuasa setelah memenangi pilihan raya umum Sabtu lepas. Acara penuh istiadat itu berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara di sini bermula pukul 11.10 pagi dengan pengurniaan suratcara pelantikan dan diikuti dengan melafaz ikrar, sumpah taat setia dan angkat sumpah menyimpan rahsia. Abdullah, 68, memegang jawatan itu bagi penggal kedua.Turut berangkat ke istiadat ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.Abdullah tiba di Balairong Seri pukul 11 pagi dengan diiringi isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.Turut hadir di majlis yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 1 ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta orang kenamaan lain.Antaranya ialah bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan beberapa anggota Parlimen yang baru.Pada istiadat ringkas selama 20 minit itu, Abdullah menandatangani watikah pelantikan di hadapan Ketua Hakim Negara Datuk Abdul Hamid Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.Barisan Nasional (BN) menang 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang dipertandingkan membolehkan gabungan parti pemerintah itu membentuk kerajaan dengan mandat majoriti mudah.Abdullah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas di Pulau Pinang dengan menewaskan calon PAS Subri Md Arshad dengan majoriti 11,246 undi.-- BERNAMA

Tiada ulasan: