Tawaran Murah Hotel

Selasa, Mac 11, 2008

BN:Malang yang sudah berbau…?

BN:Malang yang sudah berbau…?March 11, 2008 : 03.05 AM---> BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ--->Oleh: BADRUL HISHAM ABDUL AZIZ
Terlalu banyak yang hendak diperkatakan mengenai keputusan pilihanraya umum ke-12 sehingga tidak dapat hendak fokus apa yang diperkatakan. Yang pasti menjadi topik utama tentulah persoalan kenapa Barisan Nasional (BN) ditimpa nasib yang cukup malang dalam sejarah politik tanahair.
Berdasarkan keputusan tersebut, sokongan terhadap BN terhakis kerana beberapa perkara. Yang pasti pilihan rakyat yang tidak berpihak kepada BN itu adalah isyarat jelas mereka mahukan perubahan.
Kenapa perubahan itu dinyatakan melalui pilihanraya yang berisiko tinggi? Jika dilihat kepada merudumnya sokongan terhadap MIC, parti komponen ketiga besar dan berpengaruh dalam BN, jelas menunjukkan apakah perubahan yang mereka mahukan.
Ahli-ahli parti iaitu masyarakat India mahukan perubahan pada pucuk pimpinan parti, tetapi Presidennya bagaikan tidak terasa isyarat itu terus memimpin parti dengan menunjuk dan memilih para pemimpin yang sesuai untuk menjadi regunya.
Pemimpin pilihan ahli-ahli parti, seperti bekas timbalannya, Datuk S. Subramaniam disingkirkan. Begitu juga dengan Datuk M.G. Pandithan yang bukan sahaja tersingkir dari jawatan Naib Presiden, tetapi menubuhkan pula parti baru, Indian Progressive Front (IPF).
IPF mendapat sokongan masyarakat India, khususnya dari kalangan berkasta rendah. Bukan sahaja ada ahli MIC yang keluar parti dan menyertai IPF, tetapi yang sebelum ini tidak menyertai MIC, khususnya para remaja, memilih IPF.
Malangnya, fenomena ini yang sepatutnya dijadikan isyarat pertama kepada MIC, telah diperlekehkan sahaja oleh Samy Vellu. Usaha IPF menyertai BN juga dihalang oleh MIC.
Bagi yang tidak menyertai MIC, terutamanya yang mendapat pendidikan tinggi dan berjawatan berpengaruh seperti peguam dan sebagainya juga merasa tidak selesa dengan Samy yang dilihat terlalu lama memanaskan kerusi presiden parti. Mereka inilah yang kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai Hindraf dan sebahagiannya lagi menyertai BERSIH pula.
Namun sekali lagi, kehadiran mereka diperlecehkan sahaja. Akibatnya, pada 8 Mac lalu, mereka telah memperlecehkan MIC pula dengan menolak Samy Vellu di kubu kuatnya di Sungai Siput, Perak.
Timbalannya, Datuk Palanivel yang juga berkubu di Parlimen Hulu Selangor, kawasan yang sedingin air mengalir di Sungai Pertak, turut kecundang di tangan bekas timbalan menteri besar Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR) yang kurang sihat.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin pilihan Samy yang lain seperti ketua wanitanya, Datin Paduka Komala Devi yang tewas di Selangor dan Datuk Sotinathan yang tersungkur di Negeri Sembilan. Hanya tiga daripada 9 kerusi Parlimen yang dimenangi MIC.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas yang ‘menumpang’ kasih di Taiping sejak 2004, terpaksa akur dengan kehendak pengundi kali ini. Beliau tewas kepada calon DAP Nga Kor Ming yang dianggap sangat junior dalam politik.
Kerusi di Parlimen Taiping ‘dipinjamkan’ sepenggal kepada PPP, tetapi Kayveas merasa selesa di situ dan bertegas mahu kekal bertanding di situ dengan alasan beliau sudah berkhidmat dengan baik dan mesra dengan para pengundinya.
Beliau lupa, pengundi yang dikatakan mesra itu adalah orang Melayu yang terguris perasaan mereka kerana akibat memberikan kerusi itu kepada PPP, pemimpin atau calon UMNO sendiri terpaksa dihantar ke kawasan-kawasan lain. Langkah ini pula dilihat sebagai satu masalah lain kerana tidak mudah menerima calon-calon ‘helikopter’ kerana anak-anak tempatan tidak mendapat peluang.
Begitu juga yang terjadi kepada masyarakat Cina yang juga merasa tidak selesa kerana ‘kuda’ mereka juga terpaksa mencari padang lain untuk bertanding.
Kekecewaan ini diterjemahkan melalui sokongan yang berpindah kepada parti-parti pembangkang yang kini sudah ‘terbalik’ menjadi pemerintah dan BN pula menjadi pembangkang.
Pada keseluruhannya, orang Melayu, termasuk di luar UMNO masih menyokong BN, tetapi beberapa perkara sensitif telah turut menyentuh perasaan mereka. Umpamanya di Selangor, negeri maju (2005) ini turut terlepas ke tangan pembangkang yang diungguli PKR (15 DUN), DAP (13) dan PAS (8).
Tinjauan rambang mendapati, masyarakat Melayu di Selangor masih ‘naik angin’ dengan Datuk Seri Mohd. Khir Toyo kerana menghadiahkan penyapu kepada Pegawai Daerah dan Yang diPertua Pihak Berkuasa Tempatan kerana kutipan hasil yang terendah.
Walaupun isu ini amat mengguris perasaan rakyat kerana mengaitkan penyapu dengan ‘sial’, bekas Menteri Besar itu tidak langsung melihatnya sebagai masalah. Malah beliau mempertahankan tindakannya itu sehinggalah ‘sial’ berkenaan’ terpalit kepada dirinya sendiri.
Di samping itu, pemilihan calon-calon tertentu di negeri itu juga boleh dilihat sebagai punca kejatuhan kerajaan BN di Selangor. Isu Allahyarham Datuk Zakaria Mad Deros, iaitu bekas wakil rakyat Pelabuhan Kelang yang membina banglo besar di kawasan setinggan di atas lot yang dikurniakan kepada isterinya, masih segar dalam ingatan orang Selangor.
Walaupun Datuk Z digugurkan daripada bertanding kali ini, nama anaknya dikemukakan sebagai ganti, tetapi menantunya pula yang dipilih. Menantunya juga bukan sekadar tewas, tetapi turut mengheret pengundi di kawasan-kawasan lain.
Tidak cukup dengan Datuk Z, Selangor masih mengekalkan Datuk Seri Aziz Shamsuddin di Shah Alam walaupun orang UMNO dan Melayu di situ telah memberi isyarat jelas mereka mahukan pemimpin tempatan.
Sebagai negeri terhampir dan berjiranan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi arena utama demonstrasi jalanan, rakyatnya amat terdedah kepada pelbagai kemungkinan’ Apabila berlaku demonstrasi di Kuala Lumpur, Selangor terasa bahangnya kerana kesesakan meleret ke negeri itu dan keselesaan serta kesejahteraan mereka tergugat. Kerana itu, mereka mahukan pembaharuan.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pernah mengeluarkan pandangannya bahawa Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor akan bergelora kepanasan dalam pilihanraya ke-12, tetapi pandangan orang lama itu tidak diambil serius barangkali Daim bukan pemimpin utama UMNO.
Jika selama ini hanya PAS yang dimomok-momokkan serta dikhuatiri di beberapa negeri seperti Kedah dan Perlis, kini Selangor dan Perak pula menjadi sasaran dan sasaran itu pula tepat sehingga gugurnya BN di kedua-dua negeri itu.
Bagaimanakah corak pemilih mengikut kaum? Untuk menjawabnya, mungkin sesuai sangat Pulau Pinang dijadikan contoh. Orang Cina meninggalkan MCA dan beralih kepada DAP. Andaian itu jugalah menyebabkan Johor kehilangan dua kerusi dewan undangan negeri.
Kembali ke Selangor, kerusi MCA hanya satu di peringkat Parlimen yang dapat dipertahankan iaitu Ampang melalui Datuk Ong Tee Kiat. MCA hanya mempertahankan dua kerusi DUN di Selangor manakala Gerakan dan MIC membawa pulang ‘telur busuk’.
Jelaslah, undi Melayu atau undi UMNO sahaja tidak cukup untuk mempertahankan Barisan Nasional. Di mana ada banyak pengundi Cina, DAPlah yang memenangi kerusi berkenaan seperti mana yang terbukti dalam banyak hal.
MIC dan PPP yang tidak mempunyai pengundi India sebagai majoriti juga tidak boleh diharap menjadi benteng pertahanan. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila orang Melayu sendiri turut memilih pembangkang, bukan kerana mereka suka sangat pembangkang, tetapi mereka barangkali sudah ‘meluat’ dengan UMNO dan BN. Maka itu mereka mengambil keputusan mengundi sesiapa sahaja asalkan bukan BN.
Jelaslah, pengundi kini tidak lagi memilih parti, tetapi calon yang bertanding. BN mempunyai banyak sebab untuk membuat muhasabah diri dan menerima hakikat bahawa pembangunan bukanlah modal berharga lagi untuk diniagakan dalam pilihanraya akan datang.
Rakyat atau pengundi mahukan perubahan dan perubahan perlu dilakukan. Jika tidak, amatlah malang bagi Malaysia jika rakyat yang berubah…! - 11/3/2008

http://www.agendadaily.com/

Tiada ulasan: