Tawaran Murah Hotel

Selasa, Mac 11, 2008

Indeks komposit susut 123.11 mata

Indeks komposit susut 123.11 mata
Oleh Zainab Mohd Yatim
KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan mencatat kejatuhan besar apabila Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) susut 123.11 mata atau 9.5 peratus kepada 1,173.22, dalam dagangan yang menyaksikan pemberhentian sementara urus niaga selama sejam mulai jam 2.58 petang semalam. Peniaga menyifatkan prestasi itu sebagai terburuk dalam sejarah urus niaga saham negara sehingga memaksa urus niaga digantung secara automatik apabila KLCI jatuh 10 peratus atau 130.01 mata kepada 1,166.32. Jumlah dagangan keseluruhan bagaimanapun meningkat kepada 1.181 bilion saham bernilai RM3.208 bilion, daripada 686.962 juta saham bernilai RM1.286 bilion pada Jumaat.
Mereka berpendapat, faktor ‘ketidaktentuan’ ekoran keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu lalu, menjadi penyebab utama kejatuhan berkenaan dan keadaan diburukkan lagi oleh kejatuhan yang dialami saham serantau. Di India, indeks utama Mumbai Sensex jatuh 3.64 peratus atau 581.20 mata kepada 15,394.32, saham Jakarta susut 4.8 peratus apabila indeks Jakarta Composite turun 128.59 mata kepada 2,527.87, di Singapura susut 1.04 peratus apabila indeks Straits Times berkurangan 29.69 mata kepada 2,836.59 dan di Jepun jatuh 1.96 peratus apabila indeks Nikkei-225 turun 250.67 mata kepada 12,532.13. Ketua Penganalisis MNA Securities Sdn Bhd, Wee Kim Hong, berkata KLCI jatuh akibat tekanan jualan oleh semua kategori pelabur, termasuk institusi asing dan tempatan serta pelabur runcit.
Katanya, kejatuhan itu juga dilihat sebagai reaksi spontan terhadap keputusan pilihan raya yang di luar jangkaan apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) menang tipis, tetapi beliau tidak menjangka pasaran akan memberi reaksi keterlaluan sehingga urus niaga terpaksa diberhentikan menerusi penggunaan ‘Circuit Breaker’, kali pertama sejak ia diperkenalkan pada 2002. Beliau menjangka lebih banyak tekanan jualan dalam tempoh tempoh terdekat dan sentimen dagangan dijangka kekal lemah sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu sebelum benar-benar pulih. “Mungkin pelabur akan membuat belian saham pada harga murah bagi mengambil kesempatan daripada harga saham yang jatuh dengan ketara, tetapi sentimen dagangan keseluruhan yang lemah tidak mampu memulihkan keadaan dalam tempoh singkat,” katanya ketika dihubungi. Ketua Ekonomi Rating Agency Malaysia Bhd, Dr Yeah Kim Leng, juga menyifatkan kejatuhan besar yang dicatat semalam lebih teruk daripada jangkaan dan ini diburukkan lagi oleh kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang turut menjejaskan pasaran serantau.
Beliau berkata, pasaran saham mungkin meneruskan aliran rendah dalam tempoh beberapa hari lagi. Penganalisis Credit Suisse, Stephen Hagger, pula berpendapat prestasi saham terjejas berikutan prospek perubahan politik di Malaysia. “Prestasi saham dijangka berterusan hingga muncul situasi politik yang jelas dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya sambil menambah barisan baru Kabinet penting untuk meningkatkan keyakinan. Ketua Penyelidik SJ Securities Sdn Bhd, Tay Kim Yong, menjangka KLCI akan terus mencatat prestasi lemah dalam tempoh terdekat dengan anggaran paras sokongan pada 1,130 mata, manakala paras rintangan pada 1,200 mata. Beliau bagaimanapun masih mengekalkan unjuran awal yang dibuatnya terhadap paras tertinggi KLCI tahun ini, iaitu pada 1,500 mata dengan jangkaan lebih banyak pemulihan akan dilihat pada suku keempat tahun ini. Sementara itu, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataan bersama semalam, memberi jaminan bahawa integriti pasaran kekal kukuh, walaupun urus niaga dihentikan secara automatik semalam. Menurut kedua-dua agensi itu, langkah mengaktifkan ‘Circuit Breaker’ itu diambil untuk mengekalkan kestabilan pasaran dan menyediakan peluang kepada peserta pasaran menilai maklumat baru sebelum membuat sebarang keputusan melabur. “Circuit Breaker itu diaktifkan apabila KLCI mencatat kejatuhan sebanyak 130.01 mata atau 10 peratus daripada penutup sebelumnya, iaitu 1,296.33. Urus niaga disambung semula sejam kemudian, iaitu pada 3.58 petang,” menurut kenyataan itu. Kenyataan itu menambah, langkah pemberhentian secara automatik itu tidak menjejaskan daya tahan pasaran.

Tiada ulasan: