Tawaran Murah Hotel

Isnin, Mac 10, 2008

Khir mula pindah barang

Khir mula pindah barang
SHAH ALAM 9 Mac - Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mula mengemas dan membawa keluar barang-barang peribadinya dari kediaman Menteri Besar Selangor di Bukit Megawati, Seksyen 7 di sini hari ini.
Walaupun kelibat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu tidak kelihatan di kediamannya sejak pagi, namun beberapa kenderaan kelihatan membawa keluar barang-barang milik peribadinya seperti perabot kecil dan pakaian antara pukul 4.56 petang hingga 6.15 petang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan van.
Beberapa pemimpin BN termasuk dari negeri Selangor dan sejumlah besar penyokongnya juga kelihatan keluar masuk dari kediaman beliau yang dikawal oleh beberapa anggota polis beruniform dan berpakaian preman di pintu masuk hadapan dan belakang.
Para pemberita yang menunggu di luar kediaman beliau sejak tengah hari juga gagal berjumpa Mohamad Khir dan tidak mengetahui sama ada beliau ada di kediamannya atau tidak.
Penyokong-penyokong BN yang keluar masuk dari kediaman beliau juga tidak membuka mulut ketika ditanya sama ada bekas Menteri Besar itu ada di kediamannya, namun ada antara mereka memberitahu telah menunggu sejak tengah hari tetapi tidak berjumpa Mohamad Khir sehingga keluar untuk pulang.
Mohamad Khir bagaimanapun melayan panggilan yang dibuat oleh pemberita dan memberitahu akan membuat sidang akhbar selepas pihak pembangkang menyusun barisan kepimpinan mereka.
Ketika dihubungi pada pukul 8 malam ini, Mohamad Khir memberitahu akan mengadakan sidang akhbar di Pejabat UMNO Selangor, esok.

utusan

Tiada ulasan: