Tawaran Murah Hotel

Khamis, Mac 06, 2008

Nasihat Dr Mahathir & Mari Mengundi

Nasihat Dr Mahathir & Mari Mengundi
Dengan Bijak?
( SEBAHAGIAN TEKS ARTIKEL INI TELAH DISIARKAN DI METRO AHAD 2 MAC 08)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

"Masalah negara tanggungjawab kita"


Satu ungkapan yang baik dari Bekas Perdana Menteri Malaysia. Tidak dapat saya nafikan kekaguman saya dengan petikan ucapan Tun Dr Mahathir dalama video ini. Kalau sebelum ini saya rasakan sakit hati dan sangat pelik dengan hal SPR. Kali ini saya terperanjat pula apabila menerima video ini. Saya tidak pasti kesohihannya tetapi berbekalkan keyakinan mata kasar saya, saya rasa ia adalah sohih. Input dari pembaca dialukan jika ia bukan video yang asli.


Malah di dalam Islam, menerapkan nilai yang unggul dalam sebuah Negara adalah tanggungjawab kita bersama. Antara nilai yang utama menjadi tanggungjawab kita semua adalah memastikan kesaksamaan, nilai ‘justice' atau keadilan sentiasa diungguli di dalam sebuah negara. Tanpa unsur ini, acuan dan resepi keamanan akan terhakis.
Kewajiban
Banyak perintah-perintah dari Al-Quran, hadis dan athar dalam hal ini, antaranya firman Allah :-

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Mafhum : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah terhadap manusia, dan apabila kamu berhukum maka hendaklah kamu menghukum dengan seadil-adilnya.." ( An-Nisa' : 58
Manusia adalah sama dari apa jua bangsa, warna kulit, bahasa dan sebagainya, perbezaan hanya terletak pada ketaqwaan kepada Allah SWT, itulah neraca perbezaan mereka di sisi Allah.
Sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran dan hadith-hadith yang mashyur, Malah terdapat juga Athar yang menyebut :
الناس سواسية كأسنان المشط
Ertinya : "Manusia adalah sama sebagaimana samanya gigi-gigi sikat" [6]
Keadilan yang disebut ini juga telah diterjemahkan secara praktikal oleh Rasulullah SAW serta para sahabat baginda tanpa dipengaruhi oleh harta, pangkat atau apa jua perhiasan dunia, ia dapat dilihat dalam peristiwa berikut:-
1. Rasullullah memberi peluang kepada sahabat bernama Sawad Bin Ghaziah untuk membalas apabila Rasulullah SAW menolak perutnya dengan busar panah hingga menyakitinya apabila ingin meluruskan saf pembarisan tentera. [7]
2. Ibnu Qayyim mencatatkan di dalam kitabnya ‘Turuq Hukmiah'. Khalifah Umar al-Khattab semasa menjadi amir al-mukminin bertanya kepada rakyat apakah pandangan mereka sekiranya seorang amir sepertinya melihat maksiat zina dilakukan oleh seorang perempuan. Adakah di sana sebarang keistimewaan bagi seorang pemerintah dalam hal ini?. Berkata Ali KW bahawa beliau wajib menghadirkan empat (4) orang saksi atau akan disebat dengan had Qazf, Ali KW akhirnya berkata;
شأنه في ذلك شأن سائر المسلمين
Mafhumnya : "Urusannya ( khalifah dalam hal kehakiman) adalah sama seperti seluruh muslimin yang lain ( tanpa imuniti atau kelebihan)."
Jelas, tiada perbezaan dan kekebalan bagi pemimpin, walaupun Khalifah Umar r.a ketika itu bertaraf Perdana Menteri atau Presiden bagi seluruh umat Islam
Khalifah Ali KW pernah dibawa ke mahkamah akibat pertikaiannya dengan seorang Yahudi berkenaan baju besi miliknya yang didakwa dicuri oleh si Yahudi, apabila mahkamah menjalankan perbicaraan Ali KW gagal mengemukakan bukti jelas akhirnya, Yahudi berhak ke atas baju tersebut walaupun sememangnya ia adalah milik Khalifah Ali KW. Keadilan kehakiman Islam yang tegas tanpa membezakan samada ketua negara Islam yang dibicarakan, bahkan walaupun tertuduh merupakan seorang Yahudi, dakwaan tetap memerlukan bukti jelas [8]. Dalam Islam juga, seorang Qadhi boleh untuk menolak hujjah Khalifah sekiranya hujjahnya tidak memuaskan sebagaimana yang berlaku kepada Ali KW, juga Umar ra
Pemerintahan Islam juga berdiri tegas terhadap tuduhan-tuduhan jenayah atau seumpamanya sebagaimana hadith Nabi SAW
البينة على المدعي واليمين على من أنكر
Mafhum : Bukti yang jelas bagi mereka yang mendakwa, serta sumpah ( hak pembelaan) bagi mereka yang ingin menafikannya" [9]
Demikianlah Islam mengganggap bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibukitikan bersalah : Ini juga dapat dilihat dari sebuah kaedah fiqhiyyah yang menyebut [10]

الأصل براءة الذمة
Mafhum : Asal (dalam tuduhan jenayah) adalah tiada bersalah (kecuali setelah dibuktikan)"
Jelas sekali bahawa Islam serta sistem kehakimannya yang begitu adil dengan menjaga hak individu, tiada siapa yang terkecuali dari sebarang hukuman (jika benar-benar bersalah) hatta ia seorang ketua negara
Ketua Negara Islam juga dituntut oleh Allah SWT untuk melaksanakan keadilan di kalangan rakyatnya sebagaimana firman Allah :
يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ
Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan. ( Shod : 20 )
Kewajiban juga tertanggung di atas bahu pemerintah untuk MENASIHATI RAKYAT KEPADA KEBAIKAN ISLAM, sebagaimana sabda Nabi SAW :
ما من عبد يسترعيه الله رعية فلم يحطها بنصحه إلا لم يجد رائحة الجنه
Ertinya : "Tiadalah seseorang yang Allah berikannya kuasa sebagai pimpinan, kemudian ia tidak memberikan rakyatnya nasihat-nasihat Islam kecuali ia tidak akan mendapat mencium bau syurga di akhirat kelak " [11
Menjadi tanggungjawab rakyat juga berusaha bagi mewujudkan kesaksamaan dan ‘justice' di dalam Negara, sebagaimana dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir di dalam petikan video tadi.
Namun sokongan yang melampau secara sembrono tanpa berfikir kepada sesuatu pemimpin kaum kerap membawa sebaliknya. Ajaran sesat biasanya dimulakan dengan sikap ahlinya yang mudah menerima cakap gurunya tanpa menimbang menurtneraca yang diiktiraf Islam. Akhirnya, guru semakin naik ‘lemak' dan akhirnya menindas dan menceroboh hak ahlinya. Semakin dahsyat apabila sang guru atau pemimpin tanpa rasa bersalah mengubah undang-undang kumpulannya menurut selera nafsunya, maka lahirnya kes nikah batin, zina dengan guru bagi membuang dosa kononnya dan lain-lain. Semuanya dituruti tanpa berfikir oleh si ahli. Ini akibat tidak berilmu dan malas mengguna aqal serta minda dan berfikir dengan teliti.
Inilah akibat terlalu kebalnya ‘guru' atau ‘ketua kaum' atau juga ‘pemimpin' dari kritikan, sokongan yang membawa bala. Inilah juga yang diakui oleh Tun Dr Mahathir dalam video tadi.
Semua umat Islam samada berbangsa Melayu, Cina atau India..wajiblah ke atas kita untuk punyai jatidiri Iman dan Islam dalam menilai setiap informasi dan arahan yang sampai dari ketua atau guru. Sebagai pensyarah, saya juga benarkan pelajar saya untuk menyuarakan pandangannya serta hujjahnya jika tidak bersetuju. Demikian juga keputusan ulama yang wajar didedahkan alasan-alasannya agar dapat dinilai dan dipelajari oleh orang ramai. bukan disembunyikan hujjahnya lalu diwajibkan menurutinya tanpa banyak soal.
Sebagai pelajar, kita wajib menjadi ‘check and balance' kepada pendedahan guru dan pensyarah.
Sebagai ahli persatuan dan pertubuhan, kita patut menyoal pemimpin jika tindakannya dilihat menyeleweng.
Sebagai rakyat kita wajib bersuara jika ketidakadilan, hal membahayakan keselamatan awam, pembaziran benar, penyelwenagn berlaku.
Ia perlu bagi mengimbangi pemimpin dan guru dari ‘syok sendiri' lalu melakukan apa sahaja mengikut nafsu mereka. Jika perlu dilemahkan sedikit kuasa, kita harus melemahkannya jika hanya itu sahaja cara yang dapat menyedarkannya setelah dinasihati, ye agar dapat menyedarkannya. Mendahulukan maslahat umum lebih penting dari maslahat khusus sang pemimpin dan guru.
Jangan Hancurkan Jatidiri Dengan ‘Boleh dibeli'
Akhirnya, saya teringat seorang Managing Director sebuah syarikat multinational ‘Oil and Gas' pernah menyebut kepada saya bahawa rakan Cina bukan Islamnya pernah berkata dengan sinis :-
"MELAYU TIDAK AKAN MAJU DAN KUAT SELAGI MANA MEREKA BOLEH DIBELI (DITAWAR RASUAH)"
Marah juga apabila saya dengarinya, tetapi apa daya untuk menafikannya di ketika ini??
Justeru, marilah bersama-sama kita berpegang kepada asas dan prinsip sebagai cara mara ke hadapan di dunia dan akhirat.
Janganlah terlibat dengan rasuah dimusim pilihanraya ini. Sokongilah menuruti pertimbangan tenang melalui pertimbangan iman dan Islam, spiritual dan fizikal. AKHIRNYA, BAGI SESIAPA YANG MASIH PENING-PENING LALT UNTUK MENGUNDI SIAPA, TUNAIKANLAH SOLAT ISTIKHARAH BAGI MENDAPATKAN PETUNJUK DARI ALLAH SWT. SEMOGA DIRAHMATI
Ingatlah kita bertanggungjawab dengan apa yang kita sokong, jika dosa dilakukan kelak, kita akan ada saham dosanya.
Kaedah Fiqh menyebut :-
الرِّضَا بِالشَّيْءِ رِضًا بِمَا يَتَوَلَّدُ مِنْهُ
Ertinya : "Keredhaan anda dengan sesuatu perkara bererti anda juga redha dengan apa yang akan terbit darinya"( Asybah Wa An-Nazair)
Fikirkan siapa yang anda redha ...redha juga dengan tindakan selepas itu.
Selamat Mengundi...Dan Menjaga Iman di Musim Pilihanraya
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
28 Feb 2008



[6]. Al-Lali' al-Masnu'ah, As-Suyuti, 2/156 ; Tarikh al-Baghdad, 7/57 ; Albani menyatakannya ia hadith Dhoif (As-Silsilah ad-Dho'ifah, 596)
[7]. As-Sirah An-Nabawiyyah, Ibn Hisham, 1/626
[8]. Al-Ahkam as-Sultaniyyah, Abu Ya'la Al-Farra' : hlm 66
[9]. Riwayat At-Tirmidzi, (no 1341); Pada sanadnya terdapat komentar di kalangan ulama hadith; bagaimanapun Syeikh Albani menyatakan hadith ini shohih.
[10]. Asbah wa an-Nazair, Imam Jalaluddin as-Sayuti, hlm 74 [11]. Riwayat al-Bukhari , no

Tiada ulasan: