Tawaran Murah Hotel

Isnin, Mac 10, 2008

Umno gagal kerana undi protes

Umno gagal kerana undi protes
Nash Rahman Mar 10, 08 1:04pm
Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum Sabtu lalu. Dan semuanya menuding ke Putrajaya - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan kepimpinan tinggi Umno pusat - termasuk dari kalangan pemimpin Umno sendiri.
Rata-rata berkata, kekalahan tersebut berpunca daripada faktor pusat. Walaupun mereka tidak menyatakan secara terus terang – jelas sekali ianya merujuk kepada faktor kenaikan harga barang dan undi protes dari kalangan ahli Umno sendiri, apabila calon mereka ditukar oleh Putrajaya.
“Macamana…kebanyakan calon yang dimasukkan pada saat akhir oleh Putrajaya dalam senarai calon, bukan terdiri daripada pemegang jawatan di peringkat bahagian, ada antaranya orang dari luar bahagian.
“Saya ketua bahagian, tapi saya tak terpilih bertanding,” kata seorang ketua bahagian Umno kepada Malaysiakini sehari sebelum pilihanraya umum berlangsung Sabtu lalu.
Beberapa lagi pemimpin veteran Umno yang dihubungi Malaysiakini berkata, kerajaan BN mungkin mampu mengekalkan majoriti dua pertiga sekiranya Putrajaya menerima sepenuhnya senarai calon yang dikemukakan oleh Umno negeri.
Menurut mereka, pertukaran calon-calon itu ada yang sampai mencecah 40 hingga 50 peratus daripada senarai asal.
BN memerlukan 147 kerusi parlimen untuk menang dua pertiga di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, BN menang 140 kerusi parlimen – kurang tujuh kerusi – untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.
Kesilapan atur calon
Sekiranya Umno dapat mengekalkan 109 kerusi parlimen dan dicampur dengan 42 kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN Sabah dan Sarawak, jumlahnya ialah 152!.
Bila mengambil dengan 15 kerusi parlimen yang dimenangi oleh MCA, Gerakan (2) dan MIC (3), jumlahnya akan mencecah 171 kerusi.
Selama ini, Umno dan BN Sabah dan Sarawak menjadi penyelamat apabila parti-parti kompon BN yang lain di Semenanjung berprestasi buruk dalam pilihanraya umum.
Bagaimanapun, tambah mereka, kali ini, BN Sabah dan Sarawak memberi kerusi yang diharapkan tetapi Umno kehilangan 3i kerusi parlimen dan hanya menang 78 kerusi.
Tetapi jelas mereka, ‘kesilapan’ dalam mencatur senarai calon Umno di kerusi parlimen dan negeri, telah mengakibatkan BN kehilangan majoriti dua pertiga itu.
Di samping itu, BN juga kehilangan empat negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor – kepada pembangkang manakala PAS berjaya mempertahan Kelantan.
Manakala kerusi parlimen dan negeri yang berjaya dipertahankan oleh BN dan Umno juga mencatatkan majoriti yang amat rendah, berbanding dengan pilihanraya umum 2004.
Ini, kata mereka, ditambah pula dengan kebimbangan rakyat, termasuklah di kalangan orang Melayu dan ahli Umno, dengan kemungkinan harga barangan, terutama harga minyak, akan naik lagi selepas pilihanraya umum.
Undi protes
“Ramai yang cakap, kerajaan terpaksa mengadakan pilihanraya umum lebih awal, kurang daripada empat tahun, kerana tidak tahan lagi menanggung subsidi dan mahu menaikkan harga barang selepas selesai pilihanraya nanti,” kata seorang pemimpin veteran Umno yang tidak mahu namanya disebut.
“Kerana itu, mereka terpaksa memberi undi protes kepada calon pembangkang. Kerana itulah di Pulau Pinang, semua calon parti-parti komponen BN – Gerakan, MIC, MCA – tewas di semua kerusi yang mereka tandingi.
“Jelas mereka mendapat sokongan padu daripada para pengundi, termasuklah pengundi Melayu dan ahli-ahli Umno sendiri.,” katanya.
Oleh itu, katanya, jelas mesej ahli-ahli dan orang Melayu kepada pucuk pimpinan Umno ialah ‘jangan ambil mudah pandangan ahli-ahli akar Umno’.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan seperti terlalu yakin yang rakyat akan faham bahawa kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan dan ternyata ianya satu ‘kesilapan besar’.
Seorang ketua bahagian dari utara tanahair juga membangkitkan soal keikhlasan pucuk pimpinan Umno untuk ‘meremajakan’ parti itu dengan membanyakkan muka-muka baru dalam senarai calon kali ini.
“Tapi kalau dilihat, memang ada muka baru, tetapi muka-muka lama yang memegang jawatan tinggi dalam Umno pusat pun mahu bertanding juga. Sepatutnya mereka tidak lagi bertanding…barulah orang percaya…,” kata beliau yang tidak mahu namanya disebut.

malaysiakini

Tiada ulasan: