Tawaran Murah Hotel

Selasa, Mac 11, 2008

Usah api-apikan desakan PM undur

Usah api-apikan desakan PM undur
Oleh Anwar Hussin
KUALA LUMPUR: Ahli Umno disaran supaya bersatu memberi sokongan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukan mengapi-apikan desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan. Bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Johari Baharom, ketika membuat gesaan itu berkata pengikut yang setia bukan sekadar memberi sokongan kepada pemimpin ketika waktu senang, sebaliknya dalam apa keadaan sekalipun. Sambil merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir, Ahad lalu, yang menyalahkan Abdullah terhadap pencapaian terburuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, Johari berkata keadaan tidak harus berbeza daripada apa yang berlaku pada 1999.
"Pada Pilihan Raya Umum 1999, Dr Mahathir yang ketika itu perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN, kehilangan sokongan sebilangan besar orang Melayu walaupun BN menang 75 peratus kerusi Parlimen. "Bukan saja Dr Mahathir tidak didesak melepaskan jawatan ketika itu, (malah) Pak Lah yang menjadi timbalannya sanggup turun ke setiap ceruk rantau untuk mendapatkan sokongan terhadap Perdana Menteri," katanya di sini, semalam. Ahad lalu, Dr Mahathir yang memanggil satu sidang akhbar untuk mengulas keputusan pilihan raya umum kali ini, berkata Abdullah hendaklah bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi BN dan harus melepaskan jawatan.
Johari, yang menggantikan Dr Mahathir sebagai Ketua Umno bahagian Kubang Pasu dan mengekalkan kerusi Parlimen kawasan berkenaan Sabtu lalu, berkata ahli Umno berkecil hati dengan kenyataan Dr Mahathir itu kerana sebelum ini mereka memberi sokongan penuh ketika kepemimpinannya. "Umno berasa kecil hati dengan kenyataan Tun, apatah lagi kerana Perdana Menteri terus diberikan sokongan penuh ketika kejutan pada 1999. Seluruh ahli Umno kemudian bekerja keras untuk memperbaiki keadaan yang membawa kepada kemenangan besar pada 2004. "Adalah tidak adil untuk Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian sekarang kerana Tun sendiri yang memberi jaminan tidak akan mengkritik parti selepas persaraannya," katanya. Kepada segelintir ahli atau bekas pemimpin Umno yang berpandangan Abdullah harus meletakkan jawatan, Johari berkata: "Cukuplah. "Mereka semua sudah diberi peluang dan ada antara mereka yang gagal dan menyumbang kepada terhakisnya sokongan orang Melayu kepada Umno. Jangan pula hendak tutup kelemahan mereka dengan menyalahkan pucuk pimpinan sekarang."
Johari berkata, banyak faktor yang menyebabkan BN mengalami kemerosotan prestasi dan adalah tidak adil untuk dipersalahkan kepada kepemimpinan semata-mata. "Ahli Umno pun tahu terdapat calon yang digugurkan tidak membantu calon yang dipilih dan ada ketua perhubungan yang memilih calon yang tidak dapat diterima penduduk tempatan. "Ada ahli kita yang merosakkan undi kerana tidak setuju dengan calon atau pemimpin tempatan sehingga ada lebih 300,000 undi rosak kali ini. "Tentulah tidak wajar untuk masalah yang berpunca daripada ketua bahagian, calon yang tidak mendapat tempat dan ketua perhubungan negeri, semuanya dipersalahkan kepada Perdana Menteri dan timbalannya," katanya. Bagaimanapun, katanya, kemerosotan prestasi BN kali ini hendaklah diterima sebagai satu pengajaran supaya tidak berasa selesa dalam apa keadaan sekalipun.

berita harian

Tiada ulasan: