Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Ogos 01, 2008

Jakim perlu perjelas bahaya fahaman Wahhabi

Jakim perlu perjelas bahaya fahaman Wahhabi
Saudara Pengarang,SETELAH membaca komentar daripada Khairul Effendi Hashim di dalam ruangan Pendapat pada 29 November 2005, saya dapat merasakan bahawa beliau belum begitu memahami mengenai fahaman Wahhabi.
Kebanyakan orang awam menyangka bahawa perselisihan golongan Wahhabi dengan golongan ahli sunnah (Al-Asya'irah & Al-Maturidiah) hanya tertumpu di bidang ranting dan furuk syariat semata-mata dan tidak lebih daripada itu.
Namun jika kita membaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi maka kita akan mendapati bahawa perselisihan antara mereka dengan golongan Ahli Sunnah Waljamaah juga bersangkut paut dengan soal akidah. Tidak pernahkah saudara Khairul Effendi membaca atau terbaca tulisan tokoh-tokoh Wahhabi yang mengharamkan pembelajaran tauhid sifat 20 yang merupakan suatu ilmu yang dipelajari oleh umat Islam yang tinggal di rantau Asia Tenggara bahkan hampir di seluruh dunia Islam?
Tidakkah saudara pernah terbaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh Wahhabi yang mendakwa Allah Taala itu tempat-Nya di langit? Sebagai seorang pembimbing jemaah haji yang sudah tentu sering berulang alik dari tanah air ke tanah suci maka adalah suatu yang agak ganjil jika saudara tidak mengetahui mengenainya. Iktikad yang dipegang oleh golongan Wahhabi yang mendakwa bahawa Allah itu wujud dengan memerlukan tempat sudah cukup untuk membuktikan bahawa golongan Wahhabi tergelincir daripada kelompok Ahli Sunnah Waljamaah.
Berbalik kepada soal ranting seperti masalah qunut subuh, tahlil, talqin mayat, baca Yasin malam Jumaat, berzikir dengan kuat selepas solat dan beberapa perkara lain maka hal ini sebenarnya sudah lama diselesaikan oleh ulama-ulama mazhab yang empat. Namun sayangnya golongan Wahhabi mengeruhkan kembali isu ini dengan mendakwa bahawa orang yang melakukan amalan-amalan yang disebutkan itu tadi telah melakukan suatu perkara mungkar dan bidaah yang melayakkan diri mereka dihumban ke dalam neraka!
Orang yang bermazhab Syafie tidak akan marah kepada orang-orang yang tidak berqunut di dalam solat subuh seandainya mereka itu tidak menghukumkan sesat ke atas orang-orang yang melakukan qunut. Apalah sangat orang yang tidak berqunut jika dibandingkan dengan orang yang langsung tidak menunaikan solat subuh. Selama ini pun orang-orang yang bermazhab Syafie juga mengetahui bahawa sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tidak membaca doa qunut di dalam solat subuh.
Namun demikian tidak timbul sebarang perselisihan di antara mereka disebabkan sahabat-sahabat mereka yang bermazhab Hanafi tersebut tidak pernah menghukumkan sesat ke atas saudara-saudara mereka yang bermazhab Syafie yang membaca doa qunut sewaktu solat subuh. Ini jauh berbeza dengan sikap dan tindakan golongan Wahabi yang menuduh orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka sebagai ahli bidaah.
Oleh itu sewajarnya pihak berkuasa agama seperti Jakim menjelaskan kepada umat Islam tentang bahaya fahaman Wahhabi ini kerana ia sememangnya suatu fahaman yang boleh memusnahkan perpaduan umat Islam, sekali gus membahayakan negara Islam itu sendiri. - MUHIB AL-GHUMARY, Ulu Tiram, Johor.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&dt=1201&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_02.htm&arc=hive
Tags:

Perkataan Ulama Nusantara tentang Wahhabi oleh Ust Abdullah (al-fanshuri) May 20, '08 12:28 AM

Perkataan Ulama Nusantara tentang Wahhabi oleh Ust Abdullah (al-fanshuri)
May 20, '08 12:28 AMfor everyone
Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Abdullah Fahim. Tokoh ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang ulama tersohor. Perhatikan apa yang beliau katakan.
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد
Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع).


Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Sair as-Salikin. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'

[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]
Antara pesanan al-Marhum Tuan Guru lagi:
“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah [yang beliau maksudkan adalah golongan kaum muda @ Wahabi][1]. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu……. hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama' ahl as-Sunnah wa al-JamaahTuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri ……


Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi:

“Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia …….”

[Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 37 dan 38]
Notakaki:
Menurut Sayyid Muhammad Amin ibn Sayyid Umar ibn Sayyid ‘Abdul al-‘Aziz ibn Sayyid Ahmad ibn Sayyid ‘Abdurrahim ibn Sayyid Najmuddīn ibn Sayyid Muhammad Shalahuddīn atau lebih dikenali sebagai ‘ Imam Ibn ‘Abidin asy-Syami [wafat 1252H/1836M] menyebut didalam kitabnya Raddul Muhtar ‘ala ad-Durrul Mukhtar:

Bab: Berkenaan Pengikut-pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab, Golongan Khawarij Dalam Zaman Kita.
…sepertimana yang berlaku pada masa kita ini pada pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab yang keluar dari Najd dan menakluki al-Haramayn (Mekah dan Madinah) dan mereka bermazhab dengan mazhab al-Hanbali tetapi mereka ber’iktikad bahawa hanya mereka sahajalah orang Islam dan orang-orang yang bertentangan akidah dengan mereka adalah kaum Musyrik. Dengan ini mereka pun menghalalkan pembunuhan Ahli Sunnah dan pembunuhan ulama’-ulama’ mereka sehingga Allah SWT mematahkan kekuatan mereka dan memusnahkan negeri mereka dan askar Muslim berjaya menawan mereka pada tahun 1233 H.

[Terjemahan ini dan gambar kitab dan helaiannya berkenaan diambil dari blog al-ashairah]
Al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Wan Idris Bermin al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Bermin (1290H/1873M - Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M). Beliau merupakan shahabat kepada Tok Kenali dan Tok Kelaba.Di dalam sebuah manuskrip tulisan tangan Tok Bermin yang dimiliki oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, dimana didalam kitab tersebut Tok Bermin meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda [Wahabi]. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:
Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya [itu adalah] setengah daripada Kaum Muda [Wahabi] yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.
[Tarikh kejadian yang disebut oleh Tok Bermin iaitu 26 dan 28 Syawal 1347H itu adalah bersamaan dengan 6 dan 8 April 1929M. Memperhatikan tarikh ini bererti masih dalam lingkungan tahun-tahun yang sama dengan pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda di Sumatera. Tok Bermin lahir pada tahun 1290H/1873M, bererti dia lebih tua sekitar enam tahun daripada Syeikh Abdul Karim Amrullah, pelopor Kaum Muda di Minangkabau yang lahir pada 1296H/ 1879M. Kemungkinan Abdullah dan Burhan yang berasal dari Minangkabau yang disebut oleh Tok Bermin pada petikan di atas adalah termasuk murid Syeikh Abdul Karim Amrullah. Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Bermin dan Syeikh Abdul Karim Amrullah telah kenal sejak di Mekah kerana kedua-duanya adalah belajar dengan para ulama Mekah yang sama.]Selanjutnya Tok Bermin menulis:
Maka telah nyata bahawasanya ‘Abdullah dan Burhan bukan daripada orang yang mengikut Imam Syafie. Bahkan bukan daripada mazhab yang empat. Dan keduanya bawa bercakap dengan kitab bagi Imam Syafie itu kerana menipu dan supaya menyangka orang yang mendengar akan kedua-duanya itu orang yang mengikut Syafie, padahal bukan Syafie.Dan jika tiada keduanya bawa bercakap-cakap dengan ‘Kitab Umm’ itu, nescaya tiada seorang pun mengikut akan keduanya daripada permulaan masuk Abdullah dan Burhan ke dalam negeri Legor.
Tulis Tok Bermin selanjutnya:
Dan sebab keluar keduanya dari mazhab itu, kerana menafi oleh keduanya akan ijmak dan qiyas. Dan keduanya ikut nas al-Quran dan hadits sahaja. Dan padahal ijmak dan qias itu, keduanya adalah setengah daripada dalil-dalil yang buat menghukum ‘ulama’ dengan dia.

Tok Bermin membahaskan perkara tersebut dengan panjang lebar dan mendalam menggunakan hujah-hujah yang mantap ditinjau daripada pelbagai ilmu sebagaimana yang digunakan oleh jumhur ulama. Oleh sebab Tok Bermin memang pakar dalam banyak bidang ilmu, terutama ilmu alat, iaitu nahu dan sharaf. Abdullah dan Burhan kurang mengetahui tentang kedua-dua ilmu itu terpaksa diam saja. [Tulisan ini adalah merupakan petikan dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah didalam akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Tok Bermin al-Fathani. Semoga Allah melimpahkan rahmatNYA kepada kedua orang ulama' ini.]Jelas Tok Burmin menolak fahaman kaum muda atau Wahabi ini. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal dengan ke’aliman dan ketaqwaannya.Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881M/1299H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. [kepada ulama ini, beliau mendalami kitab hadits Bukhari], Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani [mendalami ilmu falak], Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.Dalam mempertahankan kaum tua [yang berpegang kepada ‘asya’irah dalami ilmu tauhid dan bermazhab Syafie dalam fiqih] Haji Abu Bakar Qadhi mengarang beberapa risalah menolak pendapat Hasan Bandung dan Shaikh Thahir Jalaluddin, yang merupakan ulama kaum muda dan sebuah karya di dalam bahasa Arab untuk menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir yang merupakan, tokoh reformis yang sangat terkenal. Antara kitabnya itu bertajuk Taman Persuraian Membatalkan Perkataan asy-Syaikh MuhammadThahir Jalaluddin al-Minankabawi …, Mustika ‘Ajaaib Pada Menyatakan Hukum dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi Kita صلى الله عليه وسلم, Cogan Perikatan Pada Menyatakan Sunat Berlafadz Usolli, Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi dan lain-lain.Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sekam atau Ayah Dir Sekam atau nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darussalam [sehingga penghujung abad 20] yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H/1921M di Kampung Sekam. Di dalam kitab beliau Irsyadul Jawiyyin ila Sabilil Ulama-il ‘Amilin mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan Wahhabi dan Muhammad Abdul Wahab. Tuan Guru Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib al-Indonisi al-Mandili. Seorang ulama yang terkenal mengajar di Masjidil Haram di Mekah. Merupakan mahaguru ulama seNusantara disekitar tahun 50an.
Beliau menulis beberapa kitab untuk menolak fahaman kaum Muda [Wahabi] antaranya kitab bertajuk Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-‘Asy’ari [pelopor fahaman kaum muda @ wahabi di negeri Perlis Indera Kayangan]. Kitab tersebut ditulis di Makkah al-Mukarramah dan selesai penulisannya pada hari Sabtu 4 Syawal 1378H.Sebuah lagi kitab yang beliau tulis, bertajuk al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab. Kitab ini beliau tulis untuk memenuhi permintaan Tuan Guru Haji Hasan Ahmad al-Fathani bagi menjawab sebuah kitab tulisan seorang pemuka kaum muda @ Wahabi bernama Hasan Ahmad Bandung bertajuk al-Mazhab, Wajibkan atau Haramkah Bermazhab? Selain itu beliau juga mentahqiqkan kitab karangan murid beliau, Ismail bin Ahmad bin Muhammad Salleh at-Fathani al-Langgoori bertajuk Minhaaj al-Saalimin fi Thoriqah al-Mutaqaddimin Maka jelas menunjukkan beliau menolak akan fahaman Wahabi yang mengeliru dan menyesatkan itu.Jelas bahawa ulama-ulama diatas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal dengan ke’aliman dan ketaqwaannya.
Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif bin Abdullah al-Minankabawi lahir pada hari Isnin, 6 Zulhijjah 1276H/26 Jun 1860M di Sumatera dan pada wafat 9 Jumadilawwal 1334H/13 Mac 1916M di Mekah. Salah seorang ulama melayu yang telah mengangkat martabat ulama melayu kerana beliau pernah menjadi imam dan khatib dalam Mazhab Syafie di Masjidilharam Mekah. Antara guru-guru beliau adalah Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Antara muridnya pula adalah Syaikh Hasan Ma’sum dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [ayahanda kepada Buya HAMKA]. Seketika berlaku polemik diantara kedua murid beliau iaitu Syaikh Hassan Ma’sum yang beraliran ‘kaum tua’ dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [ dikenali juga dengan Haji Rasul Amrullah, wafat 2 Jun 1945 - gambar sebelah] yang beraliran ‘kaum muda’, Syaikh Ahmad Khatib telah menyebelahi muridnya Syaikh Hassan Ma’sum dan dengan tegas menulis Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan Wahabiyah yang diikuti oleh anak murid beliau [Syaikh Abdul Karim Amrullah] adalah sesat. Menurut Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, golongan tersebut sesat kerana keluar daripada fahaman Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah dan menyalahi pegangan mazhab yang empat. Antara tulisannya ialah al-Khiththah al-Mardhiyah fi Raddi fi Syubhati man qala Bid’ah at-Talaffuzh bian-Niyah, Nur al-Syam’at fi Ahkam al-Jum’ah dan lain-lain.Diantara nasihatnya: “Maka betapakah akan batal dengan fikiran orang yang muqallid yang semata-mata dengan faham yang salah dengan taqlid kepada Ibnu al-Qaiyim yang tiada terpakai qaulnya pada Mazhab Syafie. ……………Maka wajiblah atas orang yang hendak selamat pada agamanya bahawa ia berpegang dengan segala hukum yang telah tetap pada mazhab kita. Dan janganlah ia membenarkan akan yang menyalahi demikian itu daripada fatwa yang palsu.”Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301H/7 Ogos 1884M dan beliau wafat pada pada 17 Jumadilakhir 1382H bersamaan14 November 1962M. Dilantik menjadi Mufti Johor sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1934 – 1941 dan 1947 - 1961. Antara guru-guru beliau ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad, Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad dan al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari.Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak menurut aliran ‘kaum tua’. Beliau sangat menyanggah pendapat dan pegangan Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung, bahkan Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor demi untuk membendung menularnya fahaman kaum muda @ wahabi. [Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan A. Hassan Bandung – wafat pada 10 November 1958 - adalah merupakan ulama ‘kaum muda’]Didalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor yang telah difatwakan oleh Allahyarham al-‘Allamah Dato’ Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor 1936 – 1961M = 1356 – 1381H, dikumpul dan diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor, halaman 397 – 399:PERKARA: MENGENAL KAUM MUDA –WAHHABI-DAN MUSUH-MUSUH ISLAM.Soalan: Bagaimanakah dapat kenal atau ketahui alamat-alamat kaum muda (wahhabi) itu? Adakah kaum muda itu terjumlah dalam golongan Islam?Jawab: Jawab Soalan Pertama:Yang dikatakan Kaum Muda (Wahhabi) pada pertuturan orang-orang zaman ini (zaman beliau) ialah suatu kumpulan orang-orang yang tiada mengerti dan faham tentang Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampir dan menyatukan agama Islam kepada agama lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama Kristian atau Majusi, mana yang dipandang mereka molek dan elok pada zhohirnya berkehendaklah mereka memalingkan hukum-hukum Islam kepadanya seperti berkata setengah mereka itu (wahhabi): Babi itu suatu binatang yang suci, dan berkata setengah yang lain pula; Tiada sah ruju’ dengan tiada redha perempuan, dan berkata yang lain pula; Nabi Allah ‘Isa عليه السلام berbapa seperti perkataan orang-orang Yahudi.”Setengah dari alamat (ciri-ciri) mereka itu (wahhabi):
Mereka marahkan Imam-Imam Mazhab yang empat dan ulama’ fiqh, mereka mengaku mengetahui al-Quran dan al-Hadits Nabawi.
Mereka membangkang ijma’, menyebarkan masalah khilaf di antara umat-umat Islam supaya menambah porak peranda umat-umat Islam sebagai mana disukai oleh seteru-seteru Islam.
Apabila mereka melihat orang-orang Islam tiada menyentuh al-Quran melainkan kemudian daripada mengambil air sembahyang, mereka (wahhabi) berkata; Harus menyentuh al-Quran dengan tiada air sembahyang.
Apabila mereka melihat orang Islam tiada membaca al-Quran melainkan kemudian daripada bersuci daripada hadats besar, mereka (wahhabi) berkata; Harus membaca al-Quran kalau ada hadats besar sekalipun.
Apabila mereka melihat orang-orang Islam menjauhkan diri daripada najis seperti arak dan babi, mereka berkata ; Kedua-dua perkara itu suci. Mereka mencita-cita (bercita-cita) supaya orang Islam menjadi seperti orang Majusi. Mereka berlumur dengan lemak babi dan mencurahkan arak kepada bajunya kemudian sembahyang.
Setengah mereka itu sepanjang hari memain (bermain) kemaluannya atau menyentuh kemaluan isterinya beberapa kali kemudian boleh dia sembahyang (‘la za’mihim) dengan tiada mengambil air sembahyang.
Lagi demikian jua kalau ia membuat rantai leher daripada daging babi atau memakai kulit babi yang basah kemudian pergi sembahyang, nescaya sah sembahyang disisi mereka.
Kalau mereka bergelumbang dalam reban ayam atau kandang kambing atau lembu dan jadi baunya sebusuk-busuk manusia, kemudian ia sembahyang sah juga sembahyang disisi mereka.
Dan setengah dari ‘alamat mereka itu (wahhabi), mereka bersungguh mengamat-amati dan mengambil susah dalam perkara yang kecil-kecil seperti talqin, tahlil dan seumpamanya dan tiada menghiraukan perkara-perkara yang besar-besar seperti dosa-dosa besar yang telah membiak setengah daripadanya berzina, riba, was-was sangka pada Allah dan mengajar kanak-kanak Islam agama yang bukan Agama Islam. Perkara ini semua tiada disebut (dititik beratkan oleh wahhabi)dan tiada dihiraukannya.
Dan setengah daripada ‘alamat mereka itu, mereka berseteru dan merekakan masalah-masalah fiqh yang tiada padanya khilaf, barangsiapa menyalahi akan mereka itu pada satu daripada masalah-masalah fiqah seperti suatu hukum daripada hukum-hukum sembahyang atau sujud sahwi atau tayammum atau sunnah talqin, nescaya mereka jadikan orang itu seteru, terus diingkarkannya.
Semuanya ini ialah adat orang-orang khawarij (orang-orang yang benci akan Sayyidina ‘Ali karramahu wajhah) dan ‘adat ahlul bid’ah yang menyalahi puak-puak Islam kerana sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم, al-Tabi’in, mereka yang kemudian daripada Imam-imam mazhab yang empat dan sekalian ‘ulama’ mazhab, mereka bersalah-salahan (berselisihan pendapat) pada beberapa masalah dalam masalah fiqah (furu’ fiqhiyyah) tetapi mereka tiada berseteru diantara setengah dengan setengahnya dengan sebab bersalah-salahan ambilnya itu kerana bukannya bersalahan itu pada usul (asal masalah) bahkan pada furu’ (cawangan-cawangan) sahaja. …….
Syaikh Hasan Ma’shum Mufti Kerajaan Deli yang nama lengkapnya ialah Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Namun lebih dikenali dengan Syaikh Hasan Ma’shum. Asal keturunan dari Acheh kemudian berpindah ke Deli. Lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937M. Ayah dan datuknya juga merupakan ulama. Seorang pembela kamu tua ketika berlaku pertembungan pendapat antara kaum tua dan kaum muda. Antara kitab yang beliau tulis untuk menyanggah pendapat kaum muda adalah Al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam al-Fawaid al-‘Aliyah [kitab ini mendapat pujian dari gurunya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili], Beberapa Masail [untuk menangkis 19 perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda @ Wahabi yang dianggap bidaah oleh mereka iaitu antaranya tentang melafazkan ‘Usalli’, membaca talkin, mengaji (membaca al-Quran) di kubur,berdiri ketika marhaban, mempercayai ulama, lafaz ‘Saidina’ dalam shalawat, qadha sembahyang, mengangkat tangan ketika qunut, ziarah makam Nabi صلى الله عليه وسلم , membaca al-Quran untuk orang mati, fidyah sembahyang, ziarah kubur dan lain-lain lagi. Kitab ini dicetak pada tahun 1929 (cetakan kedua)]Jelas bahawa ulama-ulama diatas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal mereka itu dengan ke’aliman dalam pelbagai cabang ilmu, kewarakan dan ketaqwaannya.Kata al-Marhum Tuan Guru Syaikh Wan Muhammad Shaghir bin Wan Abdullah:
“Ada orang jadi masyhur namanya kerana mempertahankan sesuatu pegangan yang diamalkan oleh orang ramai. Tidak dinafikan juga bahawa seseorang jadi masyhur kerana membantah amalan orang lain. Seseorang yang mempertahankan pegangan, sama ada yang betul ataupun yang salah, ada yang terikat dengan adab-adab yang tertentu, tetapi tidak sedikit yang tiada beradab. - Walau bagaimana hebat pun seseorang memperoleh kemasyhuran sanjungan manusia, tetapi jika pemikiran, pekerjaan dan perbuatannya tiada diredhai Allah, dia bukanlah seorang yang bijak. Hakikatnya dialah orang yang paling bodoh”

(sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/ )

Ratib al-Haddad

Ratib al-Haddad
Amalan peninggalan Imam al-Haddad rhm. yang terkenal dan banyak diamal orang kita di rantau sini, bahkan di seluruh pelusuk dunia Islam. Amalan yang berkat ini ialah ratib beliau yang terkenal dengan panggilan "Ratibusy Syahiir" atau "Ratibul Haddad". Ratib ini telah banyak diamal oleh para ulama kita terdahulu dan posting aku kali ini hanya untuk mengkhabarkan beberapa nukilan ulama kita di Nusantara ini berhubung Ratibul Haddad. Aku mulakan dengan tulisan ulama terbilang yang paling produktif menulis iaitu Tok Syaikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Di mana dalam "Kaifiyyah Khatm al-Quran" pada halaman 256 - 260, beliau memuatkan Ratibul Haddad sepenuhnya dan memberi pengenalan ratib ini dalam bahasa 'Arab (maaflah aku masih tak dapat nak tulis dalam font Arabic, masih tak tahu apa penyakitnya) yang bererti: "Inilah ratib Tuanku Wali yang 'arif billah, Imam ahlillah, asy-Syaikh al-Kabiir pada jalan Allah, Quthub rahaa-ddin, 'Ayn a'yaanish Shiddiiqiin as-Sayyid 'Abdillah bin 'Alawi bin Muhammad bin Ahmad bin 'Abdullah yang dikenali sebagai al-Haddad Ba 'Alawi al-Husaini....." Dan pada halaman 261, Tok Syaikh Daud menukilkan satu faedah bahawa Sayyidina al-Imam Ahmad bin Zain mendengar daripada sebahagian orang sholeh dan ahli ilmu menyatakan yang Imam al-Haddad berkata:-

"Bahawasanya sesiapa yang membaca ratib ini teristimewa lafaz tahlilnya dengan adab, hudhur hati, yakin dan niat (ikhlas bertaqarrub kepada Allah) dan menyempurnakan tahlilnya 1,000 kali, nescaya akan terzahir baginya sesuatu daripada segala nur milik Allah ta`ala."
Syaikh Ahmad bin Muhammad Kasim ulama kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan pada tahun 1901M dan kembali ke rahmatullah pada tahun 1943. Menuntut ilmu ke Makkah al-Musyarrafah dan akhirnya membuka madrasah "al-Mubtadi` li Syari`ah al-Musthofa al-Hadi" atau madrasah "Nur ad-Diniyyah" di Melaka. Di madrasahnya Ratibul Haddad dijadikan wirid tetap dibaca setiap malam.Tuan Guru Haji Muhammad Sulum @ Sulung al-Fathani (1895M - 1954M) pula menukilkan Ratibul Haddad dalam khatimahnya bagi karangannya "Gugusan Cahaya Keselamatan" di mana sebagai pengenalannya beliau menulis:-
"Kenyataan wirid yang sangat berkat dunia dan akhirat bagi waliyullah yang besar Habib 'Abdullah al-Haddad dan ratib baginya." Bahkan ramai lagi ulama kita yang menjadikan Ratibul Haddad ini sebagai pakaian mereka seperti al-'Alim al-'Allaamah asy-Syaikh Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani yang dikenali sebagai Tok Kelaba al-Fathani dan juga ulama terbilang Acheh Darus Salam, asy-Syaikh Teungku Hasan Krueng Kalee yang empunya kitab berjodol "Risalah Lathifah fi adabi adz-dzikri wa at-tahlil wa kaifiyyati tilaawati ash-Shomadiyyah 'ala thoriqati Quthubil Irsyad al-Habib 'Abdullah al-Haddad".Sebagai penutup, aku nukilkan di sini artikel berjodol "Syarh Ratib al-Haddad - Dari Yaman ke Dunia Melayu" karangan Fadhilatul Ustaz Wan Mohd. Shoghir bin Wan Abdullah al-Fathani (mudah-mudahan Allah memanjangkan usia beliau serta memanfaatkannya bagi agama dan umat).
Syarh Ratib al-HaddadDari Yaman ke Dunia Melayu
SEKURANG-KURANGNYA ada dua jenis "wirid" atau disebut juga dengan "Ratib" yang sangat berpengaruh di kalangan orang-orang Arab, terutama golongan "Habaib" (Habib-Habib atau Saiyid/Syed) yang datang ke dunia Melayu. Yang pertama disebut "Ratib Al-Haddad" dan yang satu lagi dinamakan "Ratib Al-Attas". Sebahagian besar yang diketahui oleh para pengamalnya, "Ratib Al-Haddad" ialah satu amalan yang dapat menenangkan jiwa, penuh berkat, terdapat beberapa fadhilat yang kadang-kadang menyalahi adat. Wirid atau ratib yang tersebut adalah disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar, dan sejenisnya. Yang pertama mengamalkannya ialah Al-Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad Ba'alawi al-Huseini al-Hadhrami asy-Syafi'ie. Ulama besar keturunan Nabi Muhammad S.A.W ini dilahirkan di Tarim, Yaman, pada 5 Safar 1044 H/30 Julai 1634 M dan wafat pada 7 Zulqa'idah 1132 H/10 September 1720 M.
Artikel ini bukan menceritakan riwayat hidup ulama yang tersebut tetapi adalah lebih memperkenalkan satu-satunya manuskrip bahasa Melayu yang membahas secara mendalam tentang "Ratib Al-Haddad". Perlu saya sebutkan di sini bahawa hingga kini belum dijumpai "Ratib Al-Haddad" bahasan yang mendalam sepertinya dalam bentuk cetakan bahasa Melayu. Sungguh pun demikian, belum begitu lama, terdapat yang diusahakan oleh Syed Ahmad bin Muhammad bin Zain bin Semit cetakan yang ditulis dalam bahasa Arab, cetakan yang kedua Zulhijjah 1417 H/1997M, diterbitkan oleh Pustaka Nasional Singapura. Manuskrip yang dalam bahasa Melayu diselesaikan pada hari Ahad, jam 4.00 petang, bulan 24 Syawal 1224 H/2 Disember 1809 M. Disalin kembali tahun 1317 H/1899 M. Judul lengkap manuskrip dalam bahasa Arab "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad fi Syarh ar-Ratib al-Haddad". Judul terjemahan dalam bahasa Melayu "Jalan Pertunjuk dan Pengajaran Pada Menyatakan Faedah Kelebihan Quthub Bangsa Haddad". Karangan asal dalam bahasa Arab dilakukan oleh keturunan ulama tersebut, beliau ialah Habib 'Alawi bin Ahmad bin al-Hasan bin 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu tidak dinyatakan, kemungkinan adalah diterjemahkan oleh yang mengaku pemiliknya bernama Ahmad Salim ibnu al-Marhum Syeikh Mat Juban Pontianak, Kampung Melayu.
Selain yang diberi judul di atas terdapat lagi manuskrip dalam bahasa Melayu, tetapi bahasan kandungannya berbeza, ialah "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad". Judul ini diterjemah oleh Saiyid Ahmad bin Muhammad al-'Aidrus, tidak terdapat tarikh selesai penterjemahan. Manuskrip ini bekas dimiliki oleh Ahmad bin 'Abdullah bin Qadhi. Manuskrip "Kaifiyat Qiraat ar-Ratib al-Haddad" lebih bercorak cara-cara mengamalkan ratib, tanpa mengemukakan dalil. Sedang "Sabil al-Hidayah wa ar-Rasyad" (manuskrip yang pertama) secara garis besar kandungannya ialah lebih mengutamakan dalil-dalil al-Quran dan hadis lebih lengkap untuk membuktikan bahawa amalan yang diajar oleh Quthub al-Ghauts al-Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad adalah tidak menyimpang dari ajaran Islam yang diajarkan oleh datuk nenek beliau, iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita membuat perbandingan kandungan yang terperinci antara manuskrip bahasa Melayu dengan yang bahasa Arab cetakan Pustaka Nasional Singapura ternyata ada beberapa perkara yang dibicarakan dalam manuskrip Melayu tidak terdapat dalam yang bahasa Arab. Demikian juga sebaliknya.
Dalam manuskrip yang bahasa Melayu dicatatkan tulisan Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam "Kitab Manaqib", kata beliau, "Barangsiapa orang yang membiasakan atas ratib kami, nescaya dikurniai [oleh] Allah Ta'ala akan dia sebaik-baik kesudahan mati di dalam kalimah ... ". Yang dimaksudkan di sini ialah mati dalam agama Islam dan beriman. Sebagaimana terdapat pada salah satu doa dalam ratib, yang terjemahannya "... matikan kami dalam agama Islam". Doa ini pula ada hubungkait dengan doa dalam ratib juga, yang maksudnya, "Kami semata-mata ridha terhadap Allah, tuhan kami, kami suka agama Islam, adalah agama kami dan Nabi Muhammad S.A.W, Nabi kami. " Terhadap Allah, Islam dan Nabi adalah sangat ditekankan dalam ilmu 'aqidah supaya beri'tiqad dengan jazam dan betul. Perlulah diperhatikan, kerana sewaktu kita masuk kubur yang tersebut adalah pertama-tama perkara yang ditanya. Selain fadhilah untuk menghadapi sakarat al-maut, beliau sebut juga bahawa "Ratib al-Haddad" berfungsi "Dipeliharakan [oleh] Allah Ta'ala daripada terbakar, dan kecurian, dan tiada terbunuh orang akan dia ... Ratib ini dibaca tiap-tiap ditimpa dukacita, nescaya diberi [oleh] Allah kesukaan". Semua yang diriwayatkan bahawa bacaan-bacaan dalam ratib ada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam hadits shahih.
Sebagai bukti "Ratib al-Haddad" sangat berpengaruh, dalam rangka "Majlis Haul Habib as-Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad", telah diadakan perhimpunan acara membaca ratib tersebut di Masjid Baitul Aman, di Jalan Damai, Kuala Lumpur, pada malam Sabtu 1 Zulqa'idah 1426 H/3 Disember 2005 M. Yang hadir selain dari seluruh Malaysia, ramai pula yang datang dari Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, India, Yaman, dan negara-negara lainnya. Acara diteruskan ke Batu Pahat (Johor), Temerloh (Pahang) dan Singapura. Selain membaca "Ratib al-Haddad" juga diadakan ceramah yang khusus membicarakan kehebatan dan jasa-jasa besar Saiyid 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad dalam penyebaran Islam. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan tersebar di seluruh dunia.
Mudah-mudahan Allah mencucurkan hujan rahmat dan keredhaan atas Shohibur Ratib Imam al-Haddad serta para ulama kita terdahulu ...... al-Fatihah.

Jabal Abi Qubais

Jabal Abi Qubais
Di timur Baitullah, jika kita membelakangkan hajarul aswad yang mulia, akan terpandanglah kita sebuah istana megah berdiri atas sebuah bukit yang telah ditarah habis. Bukit yang telah diperkosa sedemikian rupa, itulah Jabal Abi Qubais yang mempunyai sejarah berkait rapat dengan sejarah Baitullah dan Kota Makkah al-Mukarramah. Jabal Abi Qubais atau lebih masyhur di lidah orang kita sebagai Jabal Qubais atau orang kampung aku panggil "Jabal Kobes", dahulunya mencapai ketinggian 420 meter. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Jabal Abi Qubais inilah seawal-awal gunung / bukit yang dicipta Allah atas muka bumi ini. Imam as-Sayuthi rhm. meriwayatkan dalam "al-Wasaa-il fi Musaamiratil Awaa-il" halaman 6 menulis:-

Dan seawal-awal jabal yang diletakkan Allah atas bumi adalah Abu Qubais, kemudian terpencar (tersebar) darinya segala jabal. Ibnu 'Asaakir menyatakan bahawa dalam sanad hadits ini ada rawi yang majhul dan bahawasanya ianya dihafaz / diterima daripada perkataan 'Atho`.
Banyak peristiwa bersejarah berkait dengan Jabal Abi Qubais. Jabal Abi Qubais dikenali juga sebagai Jabal al-Amin (bukit kepercayaan / bukit penyimpan amanah), kerana Allah telah mengamanahkan hajarul aswad dalam simpanannya pada waktu taufan dan bah zaman Nabi Nuh a.s. Tatkala Nabi Ibrahim membina semula Baitullah, maka Jabal Abi Qubais mengeluarkan kembali hajarul aswad lalu dibawa oleh Sayyidina Jibril a.s. dan serahkan kepada Nabi Ibrahim a.s.Dalam sebahagian kitab-kitab tafsir seperti "Tafsir al-Jalalain" dan "Tafsir al-Qurthubi", dalam memberikan tafsiran bagi firman Allah s.w.t. yang kira-kira bererti:- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh", (al-Hajj: 25 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman") menyatakan bahawa seruannya Nabi Ibrahim ini dilakukan baginda dari puncak Jabal Abi Qubais. Imam al-Qurthubi meriwayatkan dalam tafsirnya tersebut daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas r.a. dan Sayyidina Ibnu Jubair r.a. yang menceritakan bahawa setelah Nabi Ibrahim menyelesaikan pembinaan Baitullah, maka Allah berfirman kepada baginda: "Serukanlah segala manusia untuk mengerjakan haji." Maka Nabi Ibrahim bertanya: "Wahai Tuhan, adakah seruanku akan sampai kepada mereka"? Allah menjawab: "Serulah dan atas Akulah menyampaikannya." Lalu naiklah Nabi Ibrahim Khalilullah akan Jabal Abi Qubais dan berteriaklah baginda dengan katanya: "Wahai manusia ! Bahawasanya Allah telah memerintahkan kamu untuk menunaikan haji ke Baitullah ini, untuk diganjari kamu dengan haji tersebut akan syurga dan diselamatkan kamu daripada azab neraka, maka berhajilah kamu." Seruan Nabi Ibrahim ini telah dijawab oleh segala roh manusia yang berada di tulang-tulang sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan dengan ucapan talbiyyah "LaibaikAllahumma labbaik", sesiapa yang menjawabnya pada hari tersebut maka dia akan berhaji sebanyak mana jawapannya, jika menjawab sekali akan berhaji sekali dan jika dua kali akan berhaji dua kali, dan dari sinilah bermulanya ucapan talbiyyah yang menjadi semboyan atau syiar para hujjaj. Selain daripada itu, diriwayatkan juga bahawa batu-batu yang digunakan untuk membina Baitullah yang mulia diambil dari Jabal Abi Qubais.Terdapat juga riwayat yang menyatakan bahawa mukjizat Junjungan s.a.w. membelah bulan berlaku di Jabal Abi Qubais, di mana setelah diminta oleh kaum musyrikin Makkah agar Junjungan Nabi s.a.w. memperlihatkan satu mukjizat, maka baginda dengan tunjukan jari baginda yang mulia telah membelah bulan menjadi dua belahan, sehingga disaksikan oleh kaum musyrikin Makkah bahawa bulan benar-benar terbelah dua, satu belahan di atas Jabal Qubais, manakala belahan keduanya pergi ke Jabal Qu`ayqa`aan (Jabal Qiiqa`aan atau Jabal Hindi).Selain peristiwa tersebut, sebahagian mufassir juga menceritakan bahawa tatkala turun firman Allah s.w.t yang kira-kira bererti:- "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (asy-Syu`araa`: 214 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), yang memerintahkan dakwah secara terang-terangan kepada kaum kerabat baginda, maka Junjungan Nabi s.a.w. membuat seruan tersebut dari Jabal Abi Qubais Ini adalah mengikut riwayat sebahagian mufassir, manakala sebahagian lain menyatakan baginda melakukan seruan dakwah tersebut dari Bukit Shofa. Kedua-dua riwayat ini tidaklah bercanggah kerana Jabal Shofa tempat memulakan ibadah sa`ie, terletak di hujung Jabal Abi Qubais dan merupakan sebahagian daripada jajaran Jabal Abi Qubais, manakala Jabal Marwah berada di permulaan jajaran Jabal Qiiqa`aan / Jabal Qu`ayqa`aan / Jabal Hindi.Berbalik kepada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. membuat seruannya agar umat manusia menunaikan haji dari atas Jabal Abi Qubais, maka dahulu ramai orang naik ke atasnya untuk berbuat sedemikian kerana mengambil sempena. Dahulu di atas puncak bukit tersebut ada sebuah masjid kecil yang dinamakan Masjid Bilal. Menurut cerita sesetengah orang, masjid tersebut dibina atas tapak di mana Nabi Ibrahim membuat seruan baginda tersebut. Oleh itu, maka sebagai menelusuri jejak sejarah dan mengambil sempena, manusia datang menziarahi masjid tersebut untuk "melambai", yakni berdoa agar ahli keluarga dan rakan taulan yang belum berkesempatan datang ke Baitullah diberi peluang untuk ke sana. Alhamdulillah, musim haji tahun 1974, aku sempat menaiki Jabal Abi Qubais dan menziarahi masjid tersebut dan memang Baitullah nampak dengan jelas dari sana. Sekarang, semua ini sudah tidak ada lagi, kerana kini tiada lagi rumah, tiada lagi rubath, tiada lagi masjid atas Jabal Abi Qubais, yang ada hanyalah istana mewah keluarga Sa`ud....Allahu .... Allah.Pemusnahan dan penjarahan tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci hingga kini berterusan atas nama pembangunan dan pemodenan. Tidak mustahil satu hari di masa hadapan, masjid agung Makkah ini akan dikelilingi bangunan - bangunan moden pencakar langit kerana sekarang pun telah ada pencakar langit berupa hotel mewah bersebelahan Masjidil Haram yang mulia. Harap-harap janganlah berlaku di masa hadapan di mana jika bukan kerana Masjidil Haram, Baitullah, dan suasana ibadah, manusia merasakan dirinya berada di Kota New York yang penuh pencakar langit (kata orang le...sebab aku belum pernah lagi ke New York). Mudah-mudahan segala tempat bersejarah ini tetap dikenang dan dikenali umat.

Pengajian Kitab & Isya' Mikraj dari 2hb Ogos-10hb Ogos 2008

Pengajian Kitab & Isya' Mikraj dari 2hb Ogos-9hb Ogos 2008
Majlis Pengajian Kitab Bersama Shaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Maliki an-Nadwi di
Anjung Rahmat, Gombak dan Pusat Pengajian Ba'alawi, Kemensah
pada 9 dan 10 Ogos 2008

Tarikh: 7 Sya'aban 1429 / 9 Ogos 2008 (Sabtu)
Tempat: Surau Anjung Rahmat, Gombak
Masa: Selepas sholat Maghrib
Kitab: Hikam Ibn 'Athoillah



Tarikh: 8 Sya'aban 1429 / 10 Ogos 2008 (Ahad)
Masa: Selepas sholat Maghrib
Kitab: Qul Hazihi Sabili karangan al-'Alim al-'Allamah al-Sayyid Muhammad bin
'Alawi bin Abbas al-Maliki al-Hasani
Tempat: Pusat Pengajian Ba’alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah
[belakang Zoo Negara]
[masuk ikut tepi Zoo Negara, turus sehingga jumpa simpang pertama – ada
signboard disitu – masuk kiri, ie Jalan 1, terus sehingga jumpa Jalan 3, ikut
kiri, terus sehingga jumpa jalan 5, kekanan, terus sehingga nampak guardroom
sebelah kiri – masuk masuk kiri – terus dan ambil kiri kemudian ambil kanan –
dan parking diawal jalan - ]




Pengajian Kitab 1: SAIRUS SALIKIN @ MAF USJ9
MAJLIS PENGAJIAN ILMU
PENGAJIAN KITAB “kitab 1 : SAIRUS SALIKIN “
bersama : SYEIKH AHMAD FAHMI ZAMZAM AL-BANJARI AL-MALIKI
Tarikh : 9 Ogos( Sabtu )
Masa : 9.00 pagi - 12.30 tengahhari
Tempat : DI MASJID AL-FALAH USJ 9 Subang Jaya




Ceramah Khas @ Masjid Kolej Islam PJ
Ceramah Khas Isra’ & Mikraj Oleh :
YB Dato Dr. Harun Din
Tempat : Masjid Kolej Islam
Seksyen 17 P Jaya
Tarikh : 3 Ogos 2008 (ahad)
Masa : Selepas Solat Maghrib



Sambutan ISRA’ & MIKRAJ
Tajuk Ceramah : Israk & Mik’raj
Penceramah : Ust Nor Azam
Tarikh : 3 Ogos( Ahad )
Masa : Lepas Maghrib
Bertempat di : Masjid Al Amin
Taman Setapak Indah, Setapak K.L



Ceramah Khas Oleh :
YB Ust HJ AHMAD MUSTAFA HJ MOHD SIDIN
Mantan Imam 1, Masjid Negeri Shah Alam
Tempat : Surau Al Madaniah USJ 18
UEP Subang Jaya
Tarikh : 2 Ogos 2008 (sabtu)
Masa : 8.00 mlm - 10.30 mlm
Ceramah Khas @ USJ 2




Tajuk Ceramah : Israk & Mik’raj
Penceramah : Ust Hj ZAHAZAN MOHAMED dari Univ Islam Antarabangsa
Tarikh : 2 Ogos( Sabtu )
Masa : 3.00 ptg
Bertempat di : Masjid Al Mukminun USJ 2 Subang Jaya