Tawaran Murah Hotel

Isnin, Disember 07, 2009

Antimazhab Ancam Syariat Islam

Antimazhab Ancam Syariat Islam
Peringatan Kepada Golongan Yang Menyeru Untuk Tidak Bermazhab
Oleh: Muhammad Rashidi bin Haji Wahab.*

Mungkin terdapat sesetengah golongan yang cetek penyelidikkan dan pengetahuannya tentang perbahasan di dalam ilmu-ilmu agama Islam berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. Mereka berpendapat sudah cukup dengan segulung ijazah sarjana ataupun Phd sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir. Adakah kenyataan seperti ini benar-benar ilmiah?
Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. (Surah al-Nahl: Ayat 43).
Berkata Imam Syatibi:
Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahid. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang bertaqlid adalah sama sahaja kerena mereka sedikitpun tidak mampu mengambil faedah daripadanya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath (mengeluarkan hukum) bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan untuk melakukan hal tersebut. (Kitab: al-Muwafaqat).
Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk Bahaya Anti Mazhab. Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah ini secara khusus. Selain daripada Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, masih ramai lagi ulama yang bangkit menjelaskan perkara ini melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan ini. Pujian dan sokongan juga mesti diberikan terhadap pihak mufti-mufti negeri dan alim ulama tempatan yang sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan bahayanya fahaman alLa Mazhabiyyah.
Berkata Imam Ghazali:
Bagi golongan awam adalah wajib bagi mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama. (Kitab: al-Mustasfa).
Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja maka ketahuilah bahawa para ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kenyataan seperti ni seringkali kita dengari dari lidah-lidah mereka yang tidak memahami kedudukan khilaf mazhab di dalam Islam lantas memperkecilkan dan merendah-rendahkan para ulama muktabar terdahulu dengan anggapan para ulama terdahulu mengeluarkan hukum tanpa disandarkan secara tepat kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Mereka merasakan diri mereka terlalu hebat berbanding para ulama muktabar sedangkan asal mereka juga tidak terlepas daripada mengambil ilmu agama dari lidah-lidah dan kitab-kitab para ulama tersebut. Kita katakan kepada golongan ini: Benar, kami juga mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. secara bersungguh-sungguh, akan tetapi ikutan kami dengan kefahaman dan penerangan daripada para ulama muktabar!
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
Mereka hanya berpegang dan menganggap bahawa pendapat mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil-dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sahajalah yang mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. yang merupakan sumber utama untuk mengeluarkan hukum lantas mengatakan sesiapa yang tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil-dalil. Adakah mereka juga maksum sepertimana Rasulullah S.A.W.?
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja. (Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).
Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini. Golongan ini menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahidin bahkan menganggap imam-imam tersebut sebagai penyekat dan penentang syariat Islam. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini merupakan pendukung slogan-slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu yang mereka bawakan ini.
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu. (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).
Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi ini sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jikalau kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun telah memiliki segulung Phd. Ini belum ditanya lagi berapa banyakkah ilmu agama yang mereka pelajari dan fahami daripada para ulama serta pelbagai persoalan lain lagi. Bagaimanakah mereka boleh mendakwa mereka begitu memahami Islam dan mengatakan pendapat mereka sahajalah yang benar sedangkan ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. belum mampu mereka kuasai sepenuhnya? Sedangkan para ulama muktabar yang telah memahami dan menguasai segala ilmu tidak merasa diri hebat bahkan merekalah yang paling merendah diri kerana takutkan Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.
(Surah Faathir: Ayat 28).
Adalah menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum-hakam agama di dalam kitab-kitab matan hadis secara mentah. Seseorang yang hanya mengetahui nas-nas hadis tidak boleh berijtihad sendirian tanpa bantuan ahli fiqh yang mahir. Sedangkan ahli fiqh ini pula terdiri daripada golongan yang mesti menguasai ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sebelum mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Golongan yang menegah orang lain daripada mengikut mazhab dan ulama muktabar adalah pencetus kepada tertubuhnya sebuah lagi mazhab yang baru. Mazhab ini adalah mazhab yang kelima tajaan mereka diri sendiri.
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:
Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima! (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).
Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat. Layakkah golongan tersebut mendakwa bahawa mereka mampu berijtihad sedangkan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. tidak dihafal dan difahami? Jadilah kita seorang penuntut ilmu agama dengan terus-menerus belajar bersungguh-sungguh dan ikhlas. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat. Moga-moga kita turut layak untuk menjadi salah seorang ulama pada suatu hari nanti dan bukan berlagak menjadi ulama. Wallahualam.
* Penulis adalah seorang mahasiswa dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Penulis boleh dihubungi melalui email: shidi_buluh@yahoo.com dan blog: http://buluh.iluvislam.com.

Jumaat, Disember 04, 2009

Jadual Pengajian di Pusat Pengajian Ba'alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah (belakang Zoo Negara)

Jadual Pengajian di Pusat Pengajian Ba'alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah (belakang Zoo Negara)
Tarikh : 17 Dhulhijjah 1430/4 Disember 2009 (Jum'at)Masa : Selepas MaghribKitab : Pengajian Kilat Kitab Muktashor Abi JamrahGuru : Ustaz Syed Ibrahim Ben YahyaTarikh : 18 Dhulhijjah 1430/5 Disember 2009 (Sabtu)Masa : 9.30 pagi (Kuliah Dhuha)Kitab : Syamail MuhammadiyyahGuru : Ustaz Syed Ibrahim Ben YahyaTarikh : 19 Dhulhijjah 1430/6 Disember 2009 (Ahad)Masa : Bermula MaghribKitab : Tafsir Surah Al-KahfiGuru : Habib Ali Zainal Abidin al-HamidTarikh : 24, 25, 26 Dhulhijjah 1430/11, 12 dan 13 Disember 2009 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)Masa : Bermula Maghrib dan Kuliah Dhuha (10 pagi)Kitab : Qatrul GhosiyyahGuru : Tuan Guru Baba Haji Abdul Aziz al-FathoniTarikh : 26 Dhulhijjah 1430/13 Disember 2009 (Ahad)Masa : Bermula MaghribKitab : Kitab Bekalan AkhiratGuru : Tuan Guru Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki an-NadwiTarikh : 10 Muharram 1431/27 Disember 2009 (Ahad)Masa : Bermula MaghribKitab : Kitab Bekalan AkhiratGuru : Tuan Guru Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki an-NadwiPengajian Tuan Guru Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki an-Nadwi di Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor.Tarikh : 26 Dhulhijjah 1430/13 Disember 2009 (Ahad)Masa : 9.00 pagi - 12.30 tengahariKitab : Siyarus SalikinTarikh : 10 Muharram 1431/27 Disember 2009 (Ahad)Masa : 9.00 pagi - 12.30 tengahariKitab : Siyarus Salikin

Rabu, Disember 02, 2009

Beradab Dalam Berbeza Pendapat

Beradab Dalam Berbeza Pendapat
KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.
Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.
Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.
Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.
Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ia dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bidaah sesat. Bahkan ada hadis dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)
Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya 'memperbaharui' agama daripada perkara-perkara khurafat dan bidaah sesat, sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeza pendapat (agree to disagree).
Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.
Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulu pun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat daripada ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan generasi Salaf.
Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "kebenaran dalam perkara ranting (furuk) itu berbilang-bilang." Ia suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat 'cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama.
Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka insya-Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.
Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis: Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ia berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain. (al-I'tisom 2/191)
Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab.
Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan seperti mana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".
Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi 'bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap 'bidaah' paling bahaya yang menentang syariat Islam seperti mana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu al-Shari'at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam).
Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal dunia 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba'ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).
Kita perlu faham bahawa apabila disebut 'mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata.
Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafie seorang diri sahaja, tetapi ia melibatkan sekumpulan para alim ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.
Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu.
Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.
Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali sama ada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun pada ceramah-ceramah.
Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.
Kesimpulannya, kelemahan para ulama bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan 'mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.
Kita harus ingat bahawa kita juga ulama dan apabila kita 'mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita selaku ulama suatu hari kelak'.
Tulisan Ustaz Nik Roskiman Abdul Samad,Felo Pusat Perundingan & Latihan,Institut Kefahaman Islam Malaysia

Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?
MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini, sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.
Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.
Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.
Tauhid Asma' dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.
Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?
Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:
Jawapan Pertama
Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.
Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' dan sifat.
Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.
Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?
Jawapan Kedua
Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: "Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin".
Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.
Jawapan Ketiga
Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu'jam-mu'jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.
Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.
Jawapan Keempat
Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.
Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian "Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah". Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)
Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)
Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.
Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, "Serulah mereka kepada tauhid uluhiah," dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, "Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma' dan sifat?"
Jawapan Kelima
Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.
Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.
Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?
Jawapan Keenam
Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.
Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma' dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.
Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.
Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.
Panel Penyelidikan Yayasan SofaUtusan Online