MELAYU CYBER WEB BLOG adalah 'Khazanah Ilmu Warisan Bangsa' dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan intelektual bangsa melayu di alaf baru. Menyediakan pelbagai maklumat ilmiah dan bistari untuk santapan rohani dan jasmani bangsa melayu.
Tawaran Murah Hotel
Selasa, Disember 11, 2012
Mendidik remaja tadabbur Al-Quran
GENERASI al-Quran, dibentuk semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Generasi yang memahat hatinya dengan al-Quran kerana berpegang dengan saranan Baginda yang mengatakan bahawa tidak akan sesat bagi sesiapa yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah Baginda.
Namun tidak dinafikan, cabaran bagi generasi al-Quran begitu hebat pada zaman ini yang dikenali sebagai zaman berteknologi tinggi. Umat Islam perlu menjadikan kehidupan mereka seiring dengan teknologi moden tetapi dengan panduan dan batasan yang jelas agar diri tidak berubah menjadi haiwan teknologi semata-mata.
Jiwa al-Quran jiwa hamba
Pendakwah bebas, Amly Asenar berkata, generasi al-Quran bermaksud generasi berjiwa hamba kerana melazimi al-Quran dan hidup dengan panduan al-Quran dengan patuh kepada kata-kata Tuhan yang menciptanya. Inilah asas yang perlu ada iaitu hati seorang hamba bukan manusia.
Hati seorang manusia akan sentiasa melupakan Tuhannya apabila ia senang dan kembali mengingati-Nya apabila ditimpa kecelakaan dan kesempitan.
“Namun hati seorang hamba sentiasa mendengar dan menghayati kata-kata Tuhannya pada setiap masa sama ada siang dan malam dan pada setiap keadaan sama ada senang atau susah. Jiwa hamba inilah yang didapati dengan proses tadabbur iaitu menghayati dan memahami isi kandungan al-Quran.
“Kekuatan bagi orang beriman ialah hatinya maka tanpa disedari itulah juga sasaran utama bagi musuh-musuh Islam untuk melalaikan hati itu dengan pelbagai bentuk hiburan dan keseronokan yang tiada batasan kepada masyarakat Islam terutama para remaja,” katanya.
Imam Muhammad al- Ajurri mengatakan: “Tidakkah kamu memerhatikan kepada Tuhan mu bagaimana Dia menggalakkan manusia semua agar tadabbur kala-Nya. Sesiapa yang tadabbur kalam-Nya, nescaya ia akan kenal Tuhannya, akan kenal kebesaran kekuasaan dan kekuatan-Nya, akan kenal kebesaran kelebihan-Nya ke atas orang-orang yang beriman, akan kenal perkara yang diwajibkan ke atas hamba-Nya.”
Maka tidak hairanlah apabila Sayidina Ali juga mengatakan,
“Tiada kebaikan dalam ibadah bagi yang tidak memahaminya dan tiada kebaikan dalam membaca al-Quran bagi yang tidak tadabbur padanya.”
Didikan awal
Amly berkata, kehidupan berteknologi tidak semestinya merosakkan remaja. Perkara yang paling penting ialah kesedaran untuk mempersiapkan mereka dengan jiwa al-Quran. Bagaimanakah caranya? Caranya ialah dengan didikan peringkat awal yang betul dan konsisten iaitu bermula dari umur bayi sehingga penghujung sekolah rendah.
“Didikan awal ini penting kerana saat ini, pendengaran dan penglihatan amat mudah terkesan dan dilenturkan. Oleh itu, sewajarnya mereka dihidangkan dan diprogramkan dengan pengisian berasaskan al-Quran.
“Malangnya mereka lebih banyak disogokkan dengan rancangan kanak-kanak dan lagu-lagu yang melalaikan. Berikut antara perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang mahukan anak mereka membesar dalam suasana al-Quran:-
Bagi yang berumur tiga tahun ke bawah, tidak mendedahkan kepada rancangan kartun, lagu yang seumpamanya yang diambil dari Barat tetapi menumpukan kepada memperdengarkan bacaan al-Quran dan zikir-zikir yang menarik.
Bagi yang berumur empat tahun ke atas, rancangan kartun dan lagu perlu dipilih bersesuaian dan dihadkan masa tontonnya tanpa meninggalkan bacaan al-Quran dan zikir-zikir.
Menjadikan waktu perdana bersama bersama keluarga untuk mendengar al-Quran dan zikir seperti 15 minit sebelum azan Maghrib atau selepas Maghrib. Pemilihan masa adalah anjal, tidak semestinya waktu Maghrib kerana yang penting wujudnya zon masa berzikir dan mendengar al-Quran secara bersama.
Ini akan memperkuatkan lagi keinginan anak-anak kepada al-Quran.
Guru, ibu bapa boleh memperdengarkan ringkasan daripada juzuk amma sebagai latihan kepada si anak memahami isi kandungan dan mengambil pengajaran daripadanya. Secara tidak langsung minda tadabbur dibentuk kepada mereka.
Melatih mereka mendengar dan menghafal surah kecil dalam al-Quran dan juga zikir-zikir,” katanya yang juga penulis motivasi ini.
Apa sahaja yang diberikan kepada mereka ketika kecil akan dihayati. Masyarakat kita melewatkan pembelajaran al-Quran sehingga sudah pandai membaca tetapi dalam masa sama mereka sudah menghafal berpuluh-puluh lagu yang sudah tersedia terpahat lebih awal daripada al-Quran.
Remaja dan al-Quran
Didikan awal seperti disebutkan amatlah penting supaya anak-anak meningkat usia remaja, hati mereka tidak kosong malahan al-Quran sudah bertapak sekurang-kurangnya. Ini akan memudahkan proses pembentukan generasi al-Quran yang seterusnya, iaitu bagaimana cara untuk tadabbur al-Quran.
“Bagi remaja hari ini yang kebanyakan berjiwa kosong maka usaha untuk mendekatkan mereka dan memotivasikan mereka untuk membaca al-Quran terlebih dahulu amat penting.
“Lisan akan membawa ke hati dan juga pemikiran. Oleh sebab itu, kita disarankan membaca al-Quran tanpa putus dan para sahabat di zaman Nabi mereka beratus-ratus kali mengkhatamkan bacaan al-Quran. Saya berpandangan, pendekatan untuk membawa remaja kepada al-Quran perlu ditingkatkan, antaranya;
Maksud al-Quran dipelajari secara mudah dan interaksi dua hala dalam memahami dilakukan. Berfikir secara berkelompok lebih menyeronokkan dan lebih mudah dihayati.
Isi kandungan al-Quran diterjemahkan kepada tindakan dan kertas kerja projek yang boleh dimanfaatkan oleh semua remaja sama ada bersifat kem, ekspedisi, kembara dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, perkara yang paling penting ialah memahamkan remaja bahawa al-Quran adalah kehidupan dan ia boleh difahami dengan pelbagai cara. Duduk dan belajar memahami al-Quran sememangnya penting tetapi ilmunya perlu dihidupkan agar impak tadabbur itu akan lebih berkesan dan berkualiti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan