Tawaran Murah Hotel

Selasa, Mei 14, 2013

Rejab: Bulan Bercucuk Tanam Amalan Menuju Ramadhan


Rejab: Bulan Bercucuk Tanam Amalan Menuju Ramadhan


Bismillah..


Berkata para ulama, "Rejab adalah bulan istighfar, dan Sya'ban adalah bulan berselawat kepada Nabi SAW dan Ramadhan adalah bulan al-Quran, maka bermujahadah dan berusungguh-sungguhlah kalian dalam beribadah di bulan Rejab moga Allah merahmati kalian, kerana ia adalah musim perniagaan(amalan), dan imarahkanlah waktu-waktu kamu di bulan ini kerana ia adalah waktu untuk kita mengimarahkan (menghidupkan dengan amalan), barangsiapa yang di kalangan pedagang(amalan), maka musimnya telah sampai, dan barangsiapa yang sakit dengan dosa dan noda, maka ubat-ubatnya telah dibawa sampai."

Berkata Wahb bin Munabbih r.a: "Sungai-sungai di dunia menziarahi telaga Zamzam di bulan Rejab sebagai penghormatan kepada bulan ini."

Berkata Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali, "Bulan Rejab pembuka bulan-bulan kebaikan dan keberkatan"

Berkata Abu Bakar Al-Warraq Al-Balkhi, "Bulan Rejab bulan bercucuk tanam, dan Sya'ban bulan mengairi tanaman, dan bulan Ramadhan adalah bulan menuai tanaman."

Kata beliau lagi, "Bulan Rejab umpama angin, dan bulan Sya'ban adalah umpama awan mendung dan bulan Ramadhan pula umpama titisan hujan."

Berkata sebahagian ulama, "Tahun itu umpama pohon, dan bulan Rejab adalah waktu pertumbuhan dedaunan, dan Sya'ban adalah waktu tumbuhnya dahan-dahan, dan Ramadhan adalah hari memetik buah-buahan(pahala)"

Rejab Antara Bulan-Bulan Haram:

Firman Allah:

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu(dengan perbuatan yang dilarang) dalam bulan yang empat itu."[At-Taubah: 36]

Sabda Nabi SAW

“Sesungguhnya zaman(tahun) telah berputar sebagaimana keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu terdapat dua belas bulan dan di antaranya ada empat bulan yang suci, tiga berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram dan keempatnya ialah bulan Rejab ‘Mudhar’ yang jatuh antara dua Jamadil (iaitu Jamadil Awal dan Jamadil akhir) dan Sya’ban”. ( Hadith Muttafaqun ‘Alaih).




Bulan Haram Yang Mana Paling Afdhal?

Terdapat perbezaan pendapat dalam perkara ini di mana menurut sebahagian Syafi'iyah, sebaik-baik bulan antara 4 bulan haram ini adalah bulan Rejab, pendapat ini dilemahkan Imam an-Nawawi, dan selainnya.
Imam Hasan Al-Basri pula berpendapat yang paling afdhal antaranya adalah Muharram, pendapat ini diutamakan dan disokong oleh Imam Nawawi kerana terdapat hadis sahih tentangnya, dan dikatakan juga bulan Dzulhijjah, ianya diriwayatkan dari Sa'id bin Jubair dan lain-lain dan Imam Ibnu Rejab al-Hanbali cenderung kepada pendapat ini(kerana bulan Haji).

Mengapa Dinamakan Bulan Haram?

*Haram adalah dari kata Harrama, Yuharrimu dan Al-Hurmah. Ianya boleh diertikan sebagai pengharaman(dari perkara keji) atau penghormatan dan pengagungan, ataupun bulan yang suci dari perkara-perkara yang dilarang.

Terdapat banyak pendapat mengapa bulan-bulan tersebut dinamakan bulan-bulan haram, antaranya:

Kerana besarnya kesucian dan kehormatan bulan-bulan ini serta beratnya dosa maksiat yang dilakukan di bulan ini.
Berkata Ali Ibnu Abi Talhah daripada Ibnu Abbas r.a.: "Allah telah mengkhususkan 4 bulan ini dan menjadikannya bulan haram dan mengagungkan kehormatannya, serta menjadikan dosa pada waktu tersebut lebih berat dan pahala amalan soleh lebih banyak."

Kerana diharamkan untuk berperang di bulan-bulan ini. Adalah perkara ini makruf di zaman jahiliyyah (mereka berperang pada bulan-bulan ini).

Firman Allah:

"Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar;.." [Al-Baqarah: 217]

Ianya (dimuliakan) sejak zaman Nabi Ibrahim AS
Dimuliakan dan diharamkan perang dan kekejian pada bulan-bulan ini kerana terdapat di dalamnya Haji dan Umrah. Haramnya bulan Dzulhijjah kerana ada ibadah Haji di dalamnya, haramnya bulan Dzulqaedah kerana manusia berkelana menuju ke Mekah untuk menunnaikan Haji pada bulan ini, dan haramnya Muharram pula kerana ianya tempoh pulang dari menunaikan Haji agar aman dari gangguan dan peperangan ketika perjalanan. Manakala haramnya bulan Rejab kerana biasanya mereka menunaikan Umrah di tempoh ini (pertengahan tahun).

Mengapa Dinamakan Rejab?

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali:

"Dinamakan bulan Rejab sebaga Rejab kerana bulan ini adalah bulan direjabkan(يُرْجَب), yakni yang diagungkan. Ianya dikatakan oleh al-Asma'i, al-Mufdhil dan al-Farra. Dan dikatakan bahawa malaikat memuliakan dengan bertasbih dan bertahmid di bulan ini."

Ini kerana perkataan arab bagi Rejab iaitu 'Rojabun' adalah berasal dari 'Rojaba' yang bererti memuliakan, menghormati dan mengagungkan. (Rujuk Qomusika m/s 669)

Nama Lain Bagi Bulan Rejab

Berkata Imam Ibnu Rajab, sebahagian ulama menyebut bahawa bulan Rejab mempunyai 14 nama, antaranya Syahrullah(bulan Allah) Rejab Mudhor, Al-Asom, Al-Asob, Manfas, Mutahhir,Ma'la, Muqim, Mubarri', Rojim, Fard, Manza'ul Asinnah dan lain-lain..

Solat Raghaib

Riwayat-riwayat berkenaan kelebihan solat raghaib di awal malam Jumaat bulan Rejab semuanya adalah palsu dan tidak sahih dan solat ini adalah satu bid'ah di sisi jumhur ulama.

Imam an-Nawawi di dalam Al-Majmu' menyatakan bahawa solat 12 rakaat di antara maghrib dan isya' di awal Jumaat bulan Rejab adalah amalan bid'ah yang mungkar.

Hukum berpuasa pada bulan Rejab

Said berkata: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” [HR Muslim]

Imam al-Nawawi mengatakan(dalam syarah Sahih Muslim): “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain."

Justeru itu, berpuasa di bulan Rejab adalah sunat di sisi mazhab as-Syafie..

Rujuk:

1) Al-Mughni al-Muhtaj,karya Al-Khatib as-Syirbini cet. Darul Hadith(jilid 2, m/s 237)
2) Al-Manhaj al-Qawim, Darul Minhaj, (m/s 420-421)
3) Hasyiah al-Bujairimi 'ala al-Khatib, Darul fikr(jilid 2, m/s 407)
4) Al-Mu'tamad, Dr. Muhammad az-Zuhaili (jilid 2, m/s 211-212)

Berkata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu'(6/386) :

قال اصحابنا ومن الصوم المستحب صوم الاشهر الحرم وهي ذوالقعدة وذو الحجة والمحرم ورجب وافضلها المحرم
قال الرويانى في البحر افضلها رجب وهذا غلط لحديث ابي هريرة الذى سنذكره ان شاء الله تعالى :افضل الصوم بعد مضان شهر الله المحرم

"Berkata ulama syafi'iyah, antara puasa yang disunatkan untuk diamalkan adalah puasa di bulan-bulan haram, iaitu Dzulqaedah, Dzulhijjah, Muharram dan Rejab.
Dan bulan yang paling afdhal antaranya adalah Muharram, Berkata ar-Ruyani di dalam al-Bahr, yang afdhal adalah bulan Rejab, dan ini adalah silap kerana ada hadis Abu Hurairah r.a yang akan kami sebutkan insyaAllah: "Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadhan adalah bulan Allah al-Muharram" [HR Muslim]

Bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat bahawa mengkhususkan untuk berpuasa penuh di bulan Rejab sahaja adalah makruh.

Kelebihan Berpuasa Di Bulan Rejab

Tiada dalil-dalil khusus berkenaan kelebihan berpuasa dari Nabi SAW dan para sahabat, tetapi diriwayatkan oleh seorang Kibar Tabiin iaitu Abu Qilabah, ia berkata, "Di syurga ada istana bagi orang yang berpuasa di bulan Rejab"

Berkata Imam Baihaqi, "Abu Qilabah adalah kibar tabi'in, beliau tidak akan meriwayatkan sesuatu kecuali jika telah sampai kepada beliau(dari para sahabat)."

Walaupun tiada kelebihan berpuasa di bulan ini secara khusus, akan tetapi terdapat hadis-hadis yang menggalakkan untuk berpuasa di bulan-bulan haram yang mana Rejab termasuk dalam bulan-bulan haram.

Sabda Nabi SAW kepada al-Bahili, "Berpuasalah di bulan-bulan haram dan tinggalkanlah" Dalam riwayat yang lain, "Berpuasalah di bulan-bulan haram" [HR Abu Daud dan Ibnu Majah]

Berkata Imam an-Nawawi di dalam al-Majmu' setelah menyebut hadis ini secara panjangnya:

"Nabi SAW menyuruhnya sahabat tersebut untuk meninggalkannya kerana sahabat tersebut mengalami kesukaran dan keberatan untuk memperbanyakkan puasa sepertimana di awal hadis. Manakala bagi sesiapa yang tidak mengalami kesukaran untuk berpuasa, maka berpuasa penuh di bulan Rejab ini adalah satu amalan kelebihan yang baik."

Hadis panjangnya adalah:

Datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah(tinggalkan dari berpuasa)! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan” [Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik]

Berkata Imam Ibnu Rajab, "Adalah para salafussoleh berpuasa penuh pada setiap 4 bulan-bulan haram, antaranya Sayyiduna Ibnu Umar r.a, Imam Hasan al-Basri dan Abu Ishaq as-Sabi'i."

Berkata Imam at-Thauri, "Bulan-bulan haram lebih aku sukai untukku berpuasa pada waktunya"

Berpuasa Penuh Di Bulan Rejab

Berkata Sayyidah Aisyah r.a : وما رأيت رسول الله صلي الله عليه وسلم استكمل صيام شهر قط إلا رمضان
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa penuh kecuali Ramadhan" [HR Bukhari Muslim]

Berkata Imam Nawawi:
 قال العلماء وإنما لم يستكمل شهرا غير رمضان لئلا يظن وجوبه
"Berkata para ulama, bahawasanya Nabi SAW tidak berpuasa penuh di bulan selain Ramadhan supaya umat tidak menyangka ianya amalan wajib"

كان رسول الله صلى الله عليه واله وسلم يصوم حتى نقول لا يفطر ويفطر حتى نقول لا يصوم

"Adalah Rasulullah SAW berpuasa (pada bulan rejab) sehingga kami menyangka baginda tidak berbuka, dan berbuka sehingga kami menyangka baginda tidak berpuasa" [HR Muslim dan Abu Daud]

Berkata Al-Muhaddith Khalil Ahmad As-Saharanpuri dalam kitabnya Bazlul Majhud syarah Sunan Abi Daud:

"Di atas (hadith) ini, maka thabitlah kelebihan berpuasa pada bulan rejab, dan sesungguhnya Rasulullah s.a.w berpuasa pada bulan tersebut dengan banyak."(Bazlul Majhud, terbitan darul kutub al-ilmiyyah, jilid 11, m/s 166)

Daripada Abi Bakrah, beliau melihat bahawa keluarganya bersiap sedia untuk berpuasa di bulan Rejab, maka beliau berkata, "Adakah kalian menjadikan Rejab seperti Ramadhan?"(Menunjukkan beliau tidak menyukai perbuatan tersebut)

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa beliau kurang suka untuk berpuasa penuh di bulan Rejab, dan daripada Ibnu Umar dan Ibnu Abbas juga bahawa kedua-duanya berpendapat bahawa perlu ada hari-hari untuk tidak berpuasa(tidak boleh puasa penuh). Begitu juga Sayyiduna Anas dan Sa'id bin Jubair,Yahya bin Sa'id al-Ansari dan Imam Ahmad tidak menyukai perkara tersebut.

Berkata Imam as-Syafi'ie dalam mazhab qodim(lama), aku tidak menyukai jika seseorang berpuasa penuh(di selain Ramadhan) sepertimana di bulan Ramadhan, beliau memberikan dalil hadis Sayyidah 'Aisyah r.a, "Aku tidak pernah melihat Rasul SAW berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadhan", lalu ia berkata, aku tidak menyukainya agar tidak berlaku seorang jahil mengikuti amalannya dan menyangka ianya wajib, namun jika dia lakukan juga, maka ianya baik.

Perkataan Imam Syafiie ini dikuatkan lagi dengan perkataan Imam Nawawi yang telah dinyatakan di atas bahawa tidak haram untuk berpuasa penuh di bulan ini selagi ia mampu dan tidak berkeyakinan bahawa ianya adalah sunnah mahupun wajib, akan tetapi hanya sebagai amalan tambahan untuk mendekati Allah SWT.

Berkata Imam Ibnu Rajab, "Makruhnya berpuasa penuh di bulan Rejab terhapus sekiranya ia digandingkan dengan bulan-bulan lain di sisi sebahagian ulama mazhab Hanbali, seperti berpuasa setiap bulan-bulan haram atau Rejab dan Sya'ban."

Berumrah Di Bulan Rejab

Tiada dalil yang khusus tentang kelebihan berumrah di bulan ini, akan tetapi ianya adalah amalan para sahabat dan salafussoleh dahulu yang elok untuk diteladani.

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, "Sayyiduna Umar bin al-Khattab dan lain-lain menggalakkan untuk menunaikan umrah di bulan ini dan adalah Sayyidah Aisyah dan Ibnu Umar mengamalkannya. Dan dinaqalkan oleh Ibnu Sirin daripada salaf bahawa mereka mengamalkannya, dan bahawasanya sebaik-baik ibadah haji dan umrah adalah dengan memisahkan keduanya, yakni haji di perjalanan dan bulan Zulhijjah, dan Umrah di perjalanan dan bulan yang lain. ia juga merupakan pendapat majoriti sahabat seperti Sayyiduna Umar, Uthman, Ali r.a dan lain-lain."

Syair-Syair:

يا عبد أقبل منيباً واغتنم رجـــــــبا *** فإن عفوي عمن تاب قد وجـــبا

Wahai hamba datanglah dengan penuh penyesalan dan raihlah Rejab
Sesungguhnya kemaafanku bagi sesiapa yang bertaubat adalah satu kemestian.

Berkata Syaikh Abu Bakar al-Karji al-Wa'iz(w 478h):

بَيِّض صَحيفتَكَ السوداءَ فى رجب *** بصالح العملِ المُنجِى منَ اللهب
Putihkanlah lembaran hitam amalanmu di bulan Rejab,
Dengan amalan soleh yang menyelamatkanmu dari api yang menyala-nyala.

شهر حرام أتى من أشهر حُرم *** اذا دعا الله داع فيه لم يَخِبِ
Bulan haram yang datang dari bulan-bulan haram,
Jika ia berdoa kepada Allah, tidak akan tersia-sia.

طوبى لعبد زَكَى فيه له عمل *** فكف فيه عن الفحشاء والريبِ
Beruntunglah bagi hamba yang menyucikan diri dengan amalan
Dan berhenti di bulan ini dari perkara keji maksiat dan keraguan.

Rujukan:

Lataiful Ma'arif Fi Ma Limawasim al-'Ami Minal Wazhaif -Ibnu Rajab Al-Hanbali (m/s 157 cet. Darul Hadis)
Al-Majmu' Syarah Muhazzab -Imam an-Nawawi (Jilid 6 m/s 386-388)
Syarah Sahih Muslim -Imam Nawawi
Bazlul Majhud Syarah Sunan Abi Daud - Khalil bin Ahmad as-Saharanfuri
Laman Raudh ar-Rayaheen

Tiada ulasan: