Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Februari 17, 2006

Tidur pengaruhi kadar kesuburan

Tidur pengaruhi kadar kesuburan

Oleh PROFESOR DR SYED HASSAN AHMAD
(Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Unimas)

ILMU kajijantina bererti bidang ilmu yang berkaitan dengan pengetahuan mengenai kejantinaan. Ini bermaksud hubungan antara lelaki dan perempuan daripada pelbagai sudut iaitu dari aspek psikologi, sosiologi dan biologi.




Mengikut pakar psikologi, hubungan antara lelaki dan perempuan menjadi lebih nyata apabila seseorang itu mencapai umur 20 hingga 30 tahun.

Dalam lingkungan umur ini, seorang gadis akan berasa intim dengan sahabat lelakinya apabila hubungan persahabatan mereka menjadi mesra atau boleh berasa tersisih jika berlaku keretakan dalam hubungan persahabatan dengan teruna impian.

Daripada aspek biologi pula, dikatakan perubahan fizikal dan mental disebabkan rembesan hormon umpamanya boleh mendorong dan mempengaruhi hubungan persahabatan antara lelaki dan perempuan.

Walau apapun perubahan yang berlaku, lazimnya sudah pasti wujud jalinan intim antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Dalam sesebuah komuniti berwibawa, undang-undang digubal bagi menjamin keharmonian komuniti itu supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.

Tidak kurang juga pengaruh agama dalam isu seperti ini. Semua prosedur seperti ini bertujuan baik bagi memberi keutuhan atau integriti kepada masyarakat.

Namun, jika berlaku penyelewengan dan sepasang kekasih dikenakan hukuman kerana melanggar undang-undang berkaitan, ia mudah menjadi bahan bualan orang ramai. Tidak kurang juga berita seperti ini menjadi tajuk utama akhbar kerana dianggap sensasi.

Apakah kaitan kejantinaan dengan tidur? Satu perkara penting yang ada kaitan dengan hubungkait seperti ini ialah perihal reproduksi. Semua orang sedia maklum, antara sebab mengapa manusia berumah tangga adalah untuk mendapat zuriat.

Lazimnya ramai suami isteri apabila mendirikan rumah tangga akan menimang cahaya mata dalam masa dua tahun pertama selepas hidup bersama.

Kadar kelahiran seperti ini boleh dikatakan mencerminkan kadar kesuburan sesebuah masyarakat atau negara.

Kadar kesuburan bergantung pada pelbagai perkara dan satu daripadanya adalah status kesejahteraan dan kebahagiaan dikecapi penduduk.

Sebagai contoh, akhbar melaporkan, kadar kesuburan di sebuah negara jiran turun dengan mendadak hingga dikatakan bagi setiap lima pasangan suami isteri, satu pasangan mengalami masalah kemandulan.

Ini bermaksud kadar kemandulan mencecah hampir 20 peratus. Ini satu angka kadar kemandulan tinggi dan besar kemungkinan jumlah penduduk negara itu berkurangan dengan peredaran masa.

Satu sebab mengapa perkara ini berlaku adalah berkaitan dengan tekanan perasaan tinggi dihadapi penduduk negara itu.

Mereka dikatakan sentiasa berdepan pelbagai cabaran dan persaingan bagi memastikan kualiti hidup di tahap terbaik.

Oleh itu ada golongan tidak terdaya menangani kehendak seperti ini lalu mengalami tanda tekanan perasaan. Akibatnya mereka sering mengalami keletihan dan secara tidak langsung ia membabitkan kitaran dan kualiti tidur hingga boleh membawa kepada kurang kekerapan hubungan jenis.

Contoh seperti ini menunjukkan pentingnya kualiti tidur dan tahap emosi terbaik bagi memastikan kadar kesuburan di tahap tinggi. Perkara seperti ini juga akan menjamin jumlah penduduk sesebuah negara tidak menurun dengan peredaran masa.

Satu kajian kejantinaan yang dibuat di luar negara pada haiwan menunjukkan, selepas berlaku hubungan jenis, kualiti tidur haiwan itu bertambah baik.

Kajian ini secara objektifnya membuktikan wujud hubungkait antara reproduksi dan tidur.

Sejauh mana hasil kajian kejantinaan pada haiwan boleh disamakan dengan perubahan yang mungkin berlaku kepada manusia boleh dipertikaikan.

Selain isu di atas, perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam konteks kejantinaan ketika tidur memang berlaku.

Golongan lelaki boleh mengalami tanda peningkatan seksual ketika tidur apabila berlaku peralihan fasa tidur, di mana wujud perubahan aktiviti sistem saraf tertentu pada masa itu.

Tidak kurang juga dalam ilmu kajijantina dan tidur ini, ada pasangan suami isteri tidak melakukan hubungan jenis walaupun sudah berumah tangga beberapa tahun.

Sebabnya gangguan fobia dialami isteri. Ada isteri minta rawatan diberi untuk mereka tidur hingga tidak sedar supaya suami boleh melakukan hubungan jenis kepada mereka. Ini bukan cara terbaik bagi merawat pasangan yang kurang bernasib baik seperti ini.

Jika isteri mengalami fobia ketika melakukan jimak, doktor yang merawat harus mengenal pasti punca sebenar. Adakah ia disebabkan perkara fizikal atau mental?

Daripada aspek mental, selalunya ia berpunca daripada perasaan takut yang keterlaluan hingga mereka terbayang sesuatu yang ngeri boleh berlaku. Oleh itu mereka cuba elakkan hubungan jenis dengan suami.

Gangguan minda seperti ini lambat laun boleh meruntuhkan rumah tangga pasangan terbabit. Kini ada ramai pakar sakit puan dan pakar perubatan psikologi, oleh itu gangguan fobia seperti ini sepatutnya boleh diatasi supaya hasrat mendapat zuriat selepas membentuk rumah tangga tercapai.

Seperkara lagi mengenai hubungan seksual suami isteri ialah berkenaan hubungan seksual sesama jenis. Andainya seorang suami lebih suka melakukan hubungan seksual dengan lelaki juga, ini akan memberi kesan pada tahap reproduksi. Hubungan homoseksual sesungguhnya membawa banyak kemudaratan.

Begitu juga jika seorang isteri lebih suka kepada wanita lain daripada perspektif seksual. Hubungan lesbianisme seperti ini juga menjejas reproduksi.

Baru-baru ini masyarakat kita digegarkan dengan perkahwinan sesama jenis. Mana boleh pasangan itu mendapat zuriat secara semula jadi. Perkara seperti ini perlu penjelasan sebaik mungkin supaya semua yang terbabit tidak terkeliru dengan maklumat sedia ada.


metro

Tiada ulasan: