Tawaran Murah Hotel

Khamis, Julai 27, 2006

Peguam syarie menulis: Perlembagaan Persekutuan jamin Islam diamal harmoni

Peguam syarie menulis: Perlembagaan Persekutuan jamin Islam diamal harmoni


Kebebasan perlu dikawal bagi menjaga ketenteraman negara

ISLAM lama bertapak di Nusantara dan artifak lama menunjukkan kedatangan Islam seawal kurun ketiga hijrah lagi. Fakta sejarah ini tidak dapat dinafikan.

Ada bukti juga yang menunjukkan Islam datang lebih awal daripada pengaruh Buddha dan Hindu di Tanah Melayu. Mubaligh Islam dari Canton, China juga lebih dulu datang ke Tanah Melayu mengembangkan syiar Islam, khususnya di Kedah.

Jelaslah Tanah Melayu menerima Islam sejak dari zaman dulu lagi dan sinar keimanan ini terus berkembang pesat apabila kesultanan Melayu Melaka menerima Islam. Apabila Kesultanan Melayu Melaka menerima Islam, rakyat jelata juga berpusu-pusu meninggalkan kegelapan batil dan masuk ke dalam sinar Islam.

Undang-undang Islam diamalkan secara sepenuhnya seperti di dalam Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak dan banyak undang-undang lain. Dalam erti kata lain, undang-undang Islam menjadi lex loci atau undang-undang utama Tanah Melayu ketika itu.

Hakikat ini diperakui sehingga Suruhanjaya Reid yang dibentuk kerajaan British untuk merangka Perlembagaan terpaksa memasukkan kedudukan istimewa Islam dan mengambil kira kedudukan istimewa ini ketika menggubal Perlembagaan Persekutuan.

Hanya Islam satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara. Ia adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) yang akan dibincangkan selepas daripada ini.

Oleh kerana Islam disebut di dalam Perlembagaan dan Perlembagaan mengiktiraf status istimewa Islam ini, maka Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dikatakan sebagai perlembagaan sekular. Sekular bermakna pemisahan agama dari aspek kehidupan yang lain seperti undang-undang dan sebagainya seperti apa yang berlaku di Perancis.

Kedudukan istimewa Islam ini boleh difahami kerana ada peruntukan lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan. Antaranya:

a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan kerajaan negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatal atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Dalam hal demikian, Perlembagaan Persekutuan tidaklah bersifat sekular dalam erti kata sekular sebenar kerana tiada pemisahan yang jelas antara agama dan undang-undang. Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar pula mengatakan Perlembagaan Persekutuan bukanlah bersifat sekular, tetapi adalah ‘separa sekular’. Ia kerana Islam diiktiraf di dalam Perlembagaan, namun undang-undang Islam tidak diamalkan sepenuhnya seperti yang dijelaskan di dalam syariah.

Mutakhir ini ada usaha yang begitu agresif dan berterusan daripada sesetengah golongan yang seolah-olah cuba menggugat kedudukan Islam di Malaysia. Golongan ini bergerak atas nama hak asasi iaitu kebebasan memilih agama secara individu. Tindakan golongan ini menimbulkan rasa tidak senang dikalangan umat Islam di Malaysia kerana mempersoalkan kedudukan istimewa Islam.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia mempelopori usaha menubuhkan Peguam Pembela Islam (PPI) bagi meningkatkan kesedaran di kalangan peguam dan orang awam terhadap kedudukan Islam di sisi Perlembagaan. Pertubuhan bukan kerajaan lain juga tidak ketinggalan dalam usaha sebegini dengan menubuhkan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dengan matlamat sama.

Sebenarnya di dalam undang-undang tidak ada kebebasan yang mutlak. Setiap kebebasan perlu dikawal dengan undang-undang bagi menjaga keharmonian masyarakat dan ketenteraman negara. Umpamanya, apabila seorang itu lulus ujian memandu dan membeli kereta serta membayar cukai jalan bagi kereta – orang itu tidaklah bebas dalam erti kata total untuk memandu keretanya ke mana saja yang disukainya dan mengikut cara atau kelajuan yang dia inginkan. Pemandu itu masih "disekat" kebebasannya dengan undang-undang dan peraturan lalu lintas.

Jelas di sini kebebasan pemandu itu disekat oleh undang-undang dan tidak ada kebebasan yang mutlak bagi menjaga keharmonian masyarakat.

Begitu juga dalam aspek kebebasan beragama yang mana kebebasan itu juga ada hadnya.

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan walaupun memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan di dalam negara dalam aman dan harmoni. Secara jelasnya Perlembagaan memberi kebebasan kepada penganut setiap agama untuk mengamalkan agamanya dalam keadaan aman dan harmoni. Namun, kebebasan ini juga tidaklah mutlak.

Perkara 11(4) mengehadkan penyebaran agama lain kepada orang Islam melalui enakmen bagi negeri-negeri dan akta bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan. Inilah hakikat yang ada di dalam Perlembagaan dan mesti diakui oleh setiap rakyat Malaysia yang percaya kepada keagungan Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 4 Perlembagaan. Kita tidak boleh mengatakan Perkara 11(4) ini tidak berpelembagaan kerana Perkara 11(4) itu sendiri adalah sebahagian daripada Perlembagaan.

Tujuan Perkara 11(4) Perlembagaan ini adalah jelas iaitu bagi mengiktiraf kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan dan satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan. Ia juga bagi mengelak kucar-kacir, terutama di kalangan orang Melayu kerana Perkara 160 Perlembagaan mendefinisikan orang Melayu sebagai seorang yang berketurunan Melayu, beragama Islam mengamalkan budaya dan bercakap Melayu. Jika elemen agama ini hilang dalam diri orang Melayu, maka ia akan menjemput pelbagai masalah lain seperti keistimewaan orang Melayu, pemilikan tanah rizab Melayu dan sebagainya.

Perkara 160 Perlembagaan ini dapat difahami kerana Islam telah sebati dalam identiti bangsa Melayu di Malaysia walaupun orang Melayu telah dijajah oleh Portugis, Inggeris dan Jepun. Nenek moyang orang Melayu mempertahankan identiti ini dan enggan mengubah agama mereka walaupun dijajah selama lebih 500 tahun.

Dalam hal demikian, janganlah diusik kedudukan Islam yang diterima sekian lama segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

FAKTA
Kedudukan Islam di Malaysia


Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam;

Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan bagi tujuan pembangunan syiar Islam;

Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campur tangan, membatalkan atau tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Tiada ulasan: