Tokoh-tokoh Islam Terbilang
Umar Al-Khattab
“Ya Allah! Kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua orang Umar iaitu ‘Amr bin Hisyam ataupun Umar Ibnul-Khattab.’ Doa Rasulullah SAW dimakbulkan setelah lima tahun dakwah Islam diserukan. Umar Ibnu al-Khattab adalah putera Nufail al-Quraisy, suku Bani Adiy satu suku yang dipandang mulia dan berkedudukan tinggi sebelum Islam."
Abdullah bin Mas’ud pernah berkata, “Islamnya Umar adalah suatu kemenangan, hijrahnya adalah suatu pertolongan dan pemerintahannya adalah rahmat. Mulanya kita tidak dapat mengerjakan sembahyang di rumah kita sendiri, kerana takut kepada Quraisy. Tetapi sesudah Islamnya Umar, dilawannya kaum Quraisy itu sehingga mereka membiarkan kita mengerjakan sembahyang.”
Afifah Abu Yazid
Tokoh-tokoh terbilang di dalam sejarah Islam adalah terdiri daripada mereka yang telah meninggalkan jasa memahatkan Islam sebagai suatu agama suci dan benar di dalam sanubari manusia yang celik mata hatinya. Ketokohan mereka bukan kerana limpahan harta ataupun pangkat tetapi nilai titisan darah, keringat dan air mata yang tumpah bersama-sama perjuangan Rasulullah SAW di dalam mempertahankan agama Allah di atas muka bumi ini. Antara mereka ialah;
Abu Bakar As-Siddiq
As-Siddiq iaitu yang amat membenarkan adalah gelaran yang digelar kepada beliau oleh Rasulullah SAW. Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abu Qahafah at-Tamimy. Di masa jahiliahnya sudah terkenal sebagai seorang yang jujur dan berhati suci. Selepas memeluk Islam beliau menumpahkan seluruh harta dan perhatiannya untuk menyebarkan Islam bersama-sama Rasulullah. Beliau amat percayakan Rasulullah meskipun di waktu orang lain mendustakannya terutama apabila Nabi menceritakan peristiwa Israk dan Mikraj yang dilaluinya. Abu Bakar adalah di antara orang-orang Arab Quraisy yang terawal memeluk Islam selain isteri Rasulullah sendiri iaitu Sayidatina Khadijah bt Khuwailid. Sewaktu Rasulullah akan berhijrah ke Madinah beliau telah diberi penghormatan menjadi peneman Nabi. Abu Bakar turut menjadi bapa mertua Nabi apabila Sayidatina Aisyah berkahwin dengan Rasulullah SAW.
Selepas kewafatan Rasulullah Abu Bakar telah dibai’ah oleh umat Islam waktu itu sebagai khalifah pertama di dalam Islam. Antara cabaran yang ditempuh semasa menjadi khalifah ialah kemunculan sekumpulan manusia munafik yang mengaku menjadi nabi dan menolak untuk membayar zakat. Abu Bakar bersama-sama kaum Muslimin lain telah berjaya menghadapi golongan Riddah ini. Abu bakar memerintah selama lebih kurang dua tahun sahaja dan kembali ke rahmatullah pada tahun 634M/13H sewaktu pertempuran di antara tentera Muslimin dan askar Parsi dan Rom sedang berkobar.
Umar Al-Khattab
“Ya Allah! Kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua orang Umar iaitu ‘Amr bin Hisyam ataupun Umar Ibnul-Khattab.’ Doa Rasulullah SAW dimakbulkan setelah lima tahun dakwah Islam diserukan. Umar Ibnu al-Khattab adalah putera Nufail al-Quraisy, suku Bani Adiy satu suku yang dipandang mulia dan berkedudukan tinggi sebelum Islam. Abdullah bin Mas’ud pernah berkata, “Islamnya Umar adalah suatu kemenangan, hijrahnya adalah suatu pertolongan dan pemerintahannya adalah rahmat. Mulanya kita tidak dapat mengerjakan sembahyang di rumah kita sendiri, kerana takut kepada Quraisy. Tetapi sesudah Islamnya Umar, dilawannya kaum Quraisy itu sehingga mereka membiarkan kita mengerjakan sembahyang.”
Di zaman jahiliahnya Umar terkenal sebagai seorang yang berani serta kuat memusuhi Islam serta diri Rasulullah sendiri, tetapi Allah telah membukakan hatinya tatkala mendengar adik perempuannya Fathimah mendendangkan ayat-ayat al-Quran dalam perjalanannya untuk membunuh adiknya itu. Sebagaimana kuatnya Umar menentang Islam pada zaman jahiliahnya begitulah juga kuat dan beraninya ia menyebarkan Islam selepas zaman Islamnya. Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat bengis dan gagah. Sehingga pengislamannya tidak berani ditegur ataupun ditentang oleh kafir Quraisy. Pelantikan Sayidina Umar al-Khattab sebagai khalifah Islam kedua adalah dibuat oleh Abu Bakar sendiri dan pemilihan ini dipersetujui sebulat suara oleh kaum Muslimin pada waktu itu. Hanya Umar sahaja yang dipandang layak untuk mengendalikan suasana umat Islam dalam menghadapi tentera Parsi dan Rom pada waktu itu. Usaha-usaha membangunkan negara Islam telah banyak dibuat oleh Umar. Antaranya menyusun dewan-dewan (jawatan kerajaan), mendirikan Baitulmal, memperkenalkan mata wang, mengatur gaji, memperkenalkan sistem pos, menetapkan tahun Hijrah dan melaksanakan hisbah (pengawasan terhadap pasar termasuk timbangan dan sukatan serta adab dan etika perniagaan, pengawasan terhadap kebersihan jalan dan sebagainya).
Tokoh Islam tersohor ini kembali ke rahmatullah akibat dibunuh oleh Abu Lu’luah, seorang Parsi yang berkomplot bersama Hurmuzan dan Jufainah, bekas pembesar Parsi yang mendendami Umar kerana menewaskan kerajaan mereka. Beliau ditikam pada suatu subuh, sebelum sempat Umar menunaikan solatnya pada tahun 644M / 32H.
Uthman bin Affan
Uthman bin Affan bin Abul-‘As bin Umayyah adalah khalifah Islam yang ketiga, daripada keturunan bani Umayyah. Beliau dilahirkan sewaktu Rasulullah berusia lima tahun dan memeluk Islam atas seruan Abu Bakar as-Siddiq ra, Uthman bin Affan terkenal dalam sejarah Islam sebagai seorang sahabat yang lunak hatinya atau lemah lembut sifatnya serta seorang saudagar besar yang kaya dan dermawan. Selepas menjadi Muslim beliau menafkahkan seluruh hartanya demi kepentingan agama Islam. Diberi gelaran Zu-nurain yang bermaksud ‘orang yang memiliki dua cahaya’ kerana pernah berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqaiyah dan Umi Kalthum pada masa-masa yang berasingan. Ada riwayat pernah menyatakan bahawa Nabi pernah bersabda, “Tiap-tiap Nabi mempunyai teman, temanku di syurga ialah Uthman.”
Uthman pernah mewakili atau menjadi utusan Rasulullah kepada kaum Quraisy dalam peristiwa Hudaibiyah. Beliau diangkat menjadi khalifah hasil perundingan di antara enam orang calon yang telah ditandakan oleh khalifah kedua, Umar al-Khattab yang terdiri daripada Uthman bin Affan, Ali bin Au Talib, Talhah bin Ubaidullah, Zubair bin Al-‘Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul rahman bin Auf. Sewaktu pemerintahan Uthman kaum Muslimin sedang mara meluaskan kuasa penyebaran Islam hingga ke Armenia, Turkistan, Bactria, Kabul dan Kepulauan Cyprus. Perluasan kuasa ini dapat disimpulkan seperti berikut:
1. Menumpaskan penderhakaan dan pemberontakan yang terjadi di beberapa negeri yang dikuasai oleh Islam pada zaman Umar al-Khattab.
2. Melanjutkan perluasan kuasa Islam ke daerah-daerah yang terhenti semasa pemerintahan Umar al-Khattab.
Seperti juga nasib yang menimpa Umar, Uthman bin Affan wafat akibat dibunuh di dalam rumahnya sendiri sewaktu sedang membaca al-Quran. Pelbagai riwayat yang diketengahkan oleh tokoh-tokoh pemikir dan penulis berhubung peristiwa pembunuhan tersebut. Antaranya ialah wujudnya bibit iri hati di kalangan Bani Hasyim yang ingin mengangkat ‘Ali sebagai khalifah sesudah Umar dengan Bani Umayyah yang mengangkat Uthman bin ‘Affan. Keadaan ini menjadi lebih kusut apabila Uthman yang telah lanjut usia (hampir tujuh puluh tahun) dan dikatakan pernah hidup mewah dan terlalu pemurah dan belas kasihan kepada sesiapa sahaja itu telah terlanjur menggunakan wang Baitulmal kepada kaum keluarganya. Tambahan pula dengan empayar Islam yang luas telah menyebabkan ia menyerahkan tugas mentadbir kepada kaum bani Umayyah sahaja.
Dalam suasana ketidaktentuan itu muncul seorang Yahudi iaitu Abdullah bin Saba’ yang berpura-pura menjadi Islam dan cuba menyalakan api pemberontakan di kalangan kaum Muslimin agar menyingkirkan Uthman dan menaikkan ‘Ali. Sifat melaga-lagakan inilah mainan syaitan yang ada dalam diri Yahudi dan sebilangan rakyat yang tidak puas hati terhadap pemerintahan khalifah Uthman. Akhirnya pada tahun 35H/656M setelah rumah Uthman dikepung selama 22 hari, seorang pemberontak yang bernama al-Ghafiqi berjaya memecah masuk rumah yang dikawal oleh beberapa pemuda yang setia dengan khalifah lalu membunuhnya.
Walau bagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan Uthman dalam hal ini melainkan merujuk kepada pelbagai kitab yang muktabar. Sesungguhnya apa yang berlaku adalah suatu fenomena ke hadapan apabila umat manusia semakin jauh daripada zaman Rasulullah SAW dan apabila hati manusia itu telah dikuasai syaitan. Kita harus percaya bahawa sahabat-sahabat Rasulullah adalah manusia-manusia yang mulia dan sentiasa mendapat inayah daripada Allah SWT dan dijanjikan syurga untuk mereka.
Ali bin Abi Talib
Beliau adalah seorang sahabat merangkap sepupu dan menantu kepada Rasulullah SAW. Ali bin Abi Talib terkenal di dalam sejarah Islam sebagai seorang yang fasih berbicara, soleh, adil, bersih jiwa serta seorang yang berpengetahuan luas berbanding sahabat-sahabat yang lain. Ini adalah kerana Rasulullah pernah tinggal bersama-sama ayahandanya, Abu Talib yang juga bapa saudara Nabi sendiri selepas kematian Abdul Mutalib, datuk Rasulullah dan Ali. Sebagai membalas jasa Ali dipelihara dan dididik oleh Nabi sendiri pula selepas Abu Talib meninggal dunia. Di masa Muhammad diutus menjadi rasul Ali adalah orang yang pertama mengimani baginda sedangkan pada masa itu ia masih kecil. Ali menjadi menantu Nabi setelah berkahwin dengan puteri Rasulullah Fatimah az-Zahrah. Daripada perkahwinan Fatimah dengan Ali ini sahajalah Rasulullah mempunyai keturunan sampai sekarang.
Sejak kecil Ali dididik dengan budi pekerti mulia. Pengetahuannya juga amat luas kerana sering berdampingan dengan Nabi. Oleh itu, beliau termasuk orang yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah. Hampir setiap peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah disertai oleh Ali malah beliau menjadi pemimpin di barisan hadapan. Keberanian beliau terus dibuktikan pada malam penghijrahan Rasulullah ke Madinah di mana Ali dengan rela hati menggantikan Nabi di tempat tidurnya. Keberanian dan kerelaan ini adalah terhasil daripada keimanan yang tinggi dan tidak berbelah bagi.
Sayidina Ali Karamallahuwajhah mungkin seorang yang tidak bernasib baik sebagai pemimpin. Kalau diikutkan giliran sememangnya Alilah yang paling layak di dalam senarai menunggu selepas Umar dan Abu Bakar, tetapi suasana selepas pembunuhan Uthman bin Affan telah menjadikan situasi jauh berbeza. Golongan orang ramai yang kecewa dengan pemerintahan Uthman memberikan bai’ah sepenuhnya untuk jawatan khalifah kepada Ali, tetapi di satu pihak yang lain Ali tidak disenangi oleh puak Muawiyah yang menjatuhkan Uthman dan bercita-cita untuk duduk di kerusi khalifah. Mereka ini terdiri daripada golongan yang sudah biasa dibuai kemewahan dan terlibat di dalam banyak penyelewengan sewaktu pemerintahan Uthman bin Affan. Sudah pastilah Ali yang tegas dan berdisiplin akan membanteras segala perkara ini.
Perasaan tidak puas hati ini telah menjerumuskan kaum Muslimin yang terdiri daripada pengikut Ali dan Muawiyah ke dalam kancah peperangan saudara. Turut menyedihkan ialah penglibatan Ummul Mukminin Aisyah di dalam peperangan menentang menentunya sendiri Ali dengan berpihak kepada Abdullah bin Zubair bin Awwam atas alasan membalas dendam kematian Uthman. Pelbagai spekulasi sejarah timbul berhubung kes ini. Abdullah juga difahamkan ingin menduduki kerusi khalifah juga kerana telah menjadi anak angkat Aisyah. Peperangan ini terkenal sebagai Peperangan Jamal (Unta) lantaran Aisyah yang mengenderai unta. Walau bagaimanapun atas tipu daya Muawiyah bin Abi Sufian, majlis Tahkim telah menyaksikan perlucutan jawatan Ali dan menguntungkan Muawiyah di satu pihak lain yang sengaja dirancang. Peristiwa ini menyebabkan puak Khawarij mengambil tindakan untuk membunuh ketiga-tiga pemuka yang terlibat dalam peperangan ini iaitu Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abi Sufian dan ‘Amru bin al-‘As. Dalam komplot tiga serangkai ini Muawiyah dan Amru terselamat tetapi Sayidina Ali telah menemui ajal di tangan Abdul Rahman bin Muljam di Kufah. Dengan itu Ali telah wafat pada tahun 40H/661M dan berakhirlah era pemerintahan Khulafa al-Rasyidin yang penuh cabaran dan sejarah.
Abdullah bin Masud
Abdullah ibn Masud telah memeluk agama Islam ketika masih kanak-kanak lagi. Beliau bekerja sebagai penggembala kambing kepada seorang bangsawan Quraisy bernama Uqbah ibn Mu’aith. Di jalan-jalan kecil kawasan bukit Mekah. Beliau pernah mendengar berita mengenai Nabi yang baru diutuskan serta seruan dakwah yang disampaikan. Tetapi ia tidak mengindahkan perkara itu kerana usianya yang masih kecil dan berada jauh dari masyarakat Mekah, tempat bermulanya seruan dakwah.
Beliau telah memeluk Islam setelah bertemu dengan Rasulullah SAW dan menyaksikan dalam satu peristiwa yang menakjubkan. Pada satu hari, ketika Abdullah ibn Masud sedang menggembala kambing, beliau telah menemui dua orang lelaki yang kedahagaan dan letih. Mereka ialah Rasulullah SAW dan Abu Bakar. Rasulullah SAW meminta padanya sedikit susu untuk menghilangkan dahaga. Abdullah dengan sopan menolak permintaan itu dengan alas an kambing-kambing itu bukan kepunyaan beliau. Baginda meminta kepadanya seekor kambing betina dara. Dengan lafaz Bismillah baginda mengusap susunya, lantas ia mengeluarkan susu dan mereka bertiga minum dengan sepuasnya. Peristiwa ini telah menyebabkan beliau tertarik untuk memeluk agama Islam.
Setelah memeluk agama Islam, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu Rasulullah. Beliau sentiasa mendampingi Rasulullah, bahkan Rasulullah mengizinkan Abdullah memasuki kamarnya jika perlu. Bahkan beliau adalah orang yang paling dipercayai oleh baginda sehingga digelar Sahibus Sirri Rasulullah iaitu penyimpan rahsia Rasulullah. Abdullah mendapat didikan yang sempurna di bawah asuhan Rasulullah, sehingga ada orang mengatakan bahawa akhlak dan keperibadiannya paling mirip dengan akhlak Rasulullah. Diriwayatkan bahawa beliau adalah seorang sahabat yang paling elok bacaan al-Qurannya, paling faham maknanya dan sangat alim tentang syariat Islam. Rasulullah pernah bersabda:” Siapa yang ingin yang ingin membaca al-Quran dengan baik seperti yang diturunkan Allah, bacalah seperti bacaan Ibnu Ummi Abd”. Abdullah juga pernah berkata tentang pengetahuannya mengenai kitabullah,” Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia! Tiada satu ayat pun dalam al-Quran, melainkan aku tahu di mana diturunkan dan dalam situasi bagaimana. Seandainya ada orang yang lebih tahu daripada saya, saya akan pergi belajar dengannya.
Abdullah ibn Masud juga seorang yang berani dan pejuang yang terkemuka. Beliau tercatat sebagai Muslim pertama yang mengumandangkan al-Quran dengan suara yang lantang. Akibatnya beliau telah dipukul sehingga berdarah oleh orang Kafir Quraisy. Beliau meninggal dunia pada masa pemerintahan Khalifah Uthman ibn Affan.
Shuhaib Al-Rumy
Shuhaib al-Rumy bukan berbangsa Rom tetapi Arab asli. Bapanya Raja Ubullah (Basrah), Sinan Bin Malik al-Numairy, dan ibunya dari Bani Tamim. Ketika beliau masih kecil, beliau telah ditawan oleh tentera Rom dan dijual sebagai hamba abdi. Beliau telah membesar sebagai hamba abdi di Negara Rom dan berpindah dari satu majikan kepada majikan yang lain. Beliau telah melihat bagaimana bentuk kehidupan masyarakat Rom yang penuh dengan kepalsuan, kezaliman dan kepincangan. Beliau benci dan memandang rendah masyarakat seperti itu.
Oleh kerana beliau dibesarkan di Negara Rom, beliau telah lupa berbahasa Arab, apa yang tidak hilang hanya ingatan bahawa beliau adalah dari bangsa Arab. Kerinduannya kepada Negara Arab semakin berlonjak ketika beliau mendengar seorang pendeta Nasrani berkata kepada majikannya, bahawa akan muncul di Mekah, dalam wilayah Jazirah Arabiyyah seorang Nabi yang mengakui kerasulan Isa ibn Maryam, dia mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang.
Shuhaib berjaya melarikan diri lalu menuju ke Mekah. Setibanya di Mekah, ramai orang memanggilnya Shuhaib al-Rumy kerana beliau tidak fasih berbahasa Arab dan rambutnya merah. Di Mekah, Shuhaib telah bekerja dengan Abdullah ibn Ju’dan, seorang pedagang Mekah, untuk membawa barang dagangannya ke pasar-pasar tertentu. Walaupun sibuk bekerja, beliau sentiasa ternanti-nanti perkhabaran tentang kelahiran Nabi sebagaimana yang diceritakan oleh pendeta Nasrani dulu. Apabila sampai perkhabaran tentang ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, beliau segera menemui baginda dan beriman dengannya. Shuhaib turut menanggung penderitaan akibat penganiayaan kaum kafir Quraisy, seperti yang ditanggung Bilal, Ammar, Sumaiyyah, Khabbab dan lain-lain. Namun semuanya ditanggung dengan tenang dan sabar, kerana beliau tahu bahawa syurga dipagari dengan hal-hal yang tidak menyenangkan.
Apabila Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah, Shuhaib bertekad untuk berhijrah bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar. Tetapi orang Kafir Quraisy telah mengetahui rancangan Shuhaib dan berusaha menghalangnya dari berhijrah. Mereka telah mengawal beliau dengan ketat sehingga Shuhaib tidak berupaya untuk melarikan diri. Pada satu malam, Suhaib telah merancang satu helah untuk melepaskan diri. Akhirnya beliau telah berjaya melepaskan diri dari kawalan orang Kafir Quraisy, namun kehilangannya disedari oleh kumpulan yang mengawalnya dan mereka telah mengejarnya. Walau bagaimanapun mereka telah melepaskan Shuhaib setelah beliau bersetuju menyerahkan segala harta kekayaannya. Shuhaib pergi ke Madinah tanpa merasa kesal atau sedih atas harta yang dikorbankannya demi agama yang dianutinya. Sesampainya di Quba, Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa perniagaannya beruntung berdasarkan wahyu dari Allah. Memang benar selepas pembukaan kota Mekah kekayaan Suhaib telah dikembalikan semula.
Tokoh yang disebutkan di atas adalah mereka yang telah berjasa di dalam menerajui umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Dunia dapat menyaksikan bahawa menjadi pengganti atau khalifah selepas ketiadaan Rasulullah bukanlah suatu tugas yang mudah walaupun Islam itu diturunkan di kalangan bangsa Arab sendiri. Maka terbuktilah betapa Rasulullah sewaktu hayatnya begitu sabar dalam menghadapi karenah umat Islam dan musuh-musuhnya dan bagaimana kentalnya juga iman para sahabat yang tidak menerima wahyu untuk berjuang menegakkan Islam di dalam jiwa manusia. Selain daripada mereka terdapat ramai lagi tokoh-tokoh yang tidak dapat disebutkan di sini lantaran ramainya mereka. Masing-masing bermanfaat kepada Islam dalam cara dan kemampuan mereka sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan