Pelaris perniagaan membawa syirik
SOALANApa hukumnya memakai pelaris untuk sesuatu perniagaan?
JAWAPANPerniagaan adalah suatu yang disyariatkan di dalam Islam ayat-ayat al-Quran dan hadis berkaitan dengannya cukup banyak. Dalam erti kata yang lain perniagaan sangat digalakkan dalam Islam.
Nabi s.a.w. menggalakkan perniagaan dengan menyatakan 9/10 rezeki akan diperoleh melalui perniagaan. Sebahagian kehidupan Baginda s.a.w. dihabiskan dalam perniagaan. Cuma kadang-kadang apa yang dapat dilihat ialah keghairahan peniaga dalam mencari atau mengaut keuntungan itu yang berbeza.
Maka ada di kalangan peniaga yang sanggup menaikkan harga barang, ada yang menyembunyikan barang supaya barang naik harga, ada pula yang mencampuradukkan barang yang elok dengan yang tidak elok, mencampurkan barang lama dengan barang yang baru. Ditambah lagi apabila menipu dalam timbangan. Kesemua ini adalah haram dalam Islam dan terkeluar daripada etika peniaga yang diharapkan oleh syariat Islam.
Namun, persoalan menggunakan pelaris juga tidak terkecuali daripada kehidupan sesetengah peniaga. Kadang-kadang peniaga berusaha melariskan barang dengan mengantung tangkal pelaris. Ada pula yang mengantung ayat-ayat dan doa yang ditulis atau diukir mengikut bentuk tiga segi atau empat segi.
Pernah saya bertanya kepada pengusaha kedai ayat apa yang digantung pada dinding kedai, pengusaha itu menjawab sebagai pelaris.
Sebagai seorang peniaga Islam pergantungan mesti kepada Allah s.w.t yang mentakdirkan kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan hanya Allah. Keyakinan yang mutlak dengan rezeki yang ditentukan Allah s.w.t. sewajarnya menjadi dasar dalam perniagaan.
Selain itu, kejayaan seorang peniaga adalah bergantung kepada usahanya, tawakal yang disertakan dengan keazaman yang tinggi serta memelihara akhlak sebagai seorang peniaga Muslim dengan mencontohi sunah dan etika peniaga yang berjaya.
Cuba hayati ayat Allah yang bermaksud: Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (al-Talaq: 3). Kadang-kadang ayat ini digantung tanpa dihayati.
Dalam surah al-Jumuah, Allah berfirman yang bermaksud: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (Wahai Muhammad: pahala-balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki. (al-Jumuah: 11).
Di dalam satu athar ada menyebut seorang sahabat yang bernama ‘Irrak bin Malik r.a. apabila selesai solat Jumaat beliau akan meninggalkan keluar ke hadapan pintu masjid dan berdiri di situ lalu berdoa: “Wahai Allah aku telah menyahut seruan azanmu dan aku telah menunaikan kewajipan-Mu yang telah engkau fardukan (solat Jumaat) dan aku akan keluar mencari rezeki-Mu, maka limpahkan rezeki-Mu padaku sesungguhnya engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.” ( Ibn Abi Hatim, lihat tafsir Ibn Kathir, jld:4,hlm:367 ).
Pelaris yang digunakan untuk melariskan dan mencari pelanggan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Islam menegahnya dengan tegas perbuatan demikian. Ini kerana pergantungan manusia akan beralih kepada pelaris bukannya kepada Allah s.w.t. Hal ini juga akan membawa seseorang kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah s.w.t. dengan pelaris.
‘Pelarisnya’ ialah buka kedai awal, tutup lambat, kerja kuat, utamakan kepuasan pelanggan, selalu senyum dan bertanya khabar kepada pelanggan walaupun tidak kenal, jangan ambil untung yang tidak sepatutnya dan jujur dalam berniaga. Minta pertolongan Allah dengan solat dan berdoa dan bersabar.
Tidak payah menggunakan ‘pelaris’ apa-apa pun. Berdoa kepada Allah dan kerja keras itu pun sudah cukup untuk dijadikan pelaris.
Orang bukan Islam tiada pelaris pun boleh maju sebab kerja keras. Pelaris bagi perniagaan ialah jangan meninggalkan perintah Allah s.w.t., ini penting lihat ciri peniaga yang disebut dalam surah al-Nur, firman Allah yang bermaksud: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (al-Nur:37).
Memelihara solat dan menunaikan zakat menjadi ciri seorang peniaga yang berjaya dunia dan akhirat. Ramuan yang lain bagi melariskan perniagaan ialah dengan memelihara solat sunat Dhuha.
Keuntungan dikongsikan bersama orang yang memerlukan seperti fakir miskin, rumah anak-anak yatim. Allah s.w.t. memberi, lalu melihat kepada sikap orang yang diberi bersyukur atau kufur dengan nikmat limpah kurniaan-Nya. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Seorang peniaga yang jujur lagi amanah di akhirat kelak akan ditempatkan bersama para anbiya’ dan para syuhada.” (al-Tarmidzi: 1209).
Masakan seorang peniaga mendapat kemuliaan ini jika dia tidak mentuluskan perniagaannya hanya kerana Allah s.w.t., serta mentaqdiskan Allah s.w.t. dan bergantung kepada daya usaha dan kesungguhannya tanpa bergantung kepada pelaris atau tangkal.
www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan