Sentiasa tingkat ilmu berumah tanggaJanuari 17, 2008
Oleh W.RAHIMAH DRAMAN
FATAH Almaushili rahimahullah dalam buku, Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin (syarah Ihya Ulummuddin Imam Al-Ghazali) berkata; “… seseorang yang sakit itu apabila sudah enggan makan dan minum serta enggan menelan ubat, akhirnya tentu mati.
Demikian pula hati, apabila enggan kepada hikmah dan ilmu selama tiga hari, pasti ia akan mati”.
Sebabnya, makanan hati adalah hikmah dan ilmu pengetahuan. Dengan kedua benda itulah (hikmah dan ilmu) hati seseorang insan itu hidup sebagaimana hidupnya tubuh kerana makan dan minum.
Jadi, seseorang yang sunyi dan culas dari ilmu, maka hatinya pada hakikat adalah sakit dan kematian sudah boleh dipastikan.
Ibnu Mas’ud pula berkata: “Hendaklah kamu semua berusaha mencari ilmu sebelum ia lenyap. Lenyapnya ilmu pengetahuan apabila matinya orang-orang yang berilmu, kerana seseorang itu tidak dilahirkan menjadi pandai. Jadi ilmu mesti dicari dan diusahakan dengan belajar”.
Natijahnya, ilmu adalah tunggak pada kehidupan. Apabila kurang berilmu, kehidupan manusia menjadi tidak terarah dan mudah terpengaruh serta dipengaruhi. Secara literal digelar ‘pak turut’.
Kepincangan dalam institusi kekeluargaan dan masalah moral manusia adalah berpunca daripada kejahilan ilmu terutama terhadap undang-undang kekeluargaan yang disyariatkan Islam.
Itulah fenomena mutakhir masyarakat sekarang. Semuanya gara-gara enggan mendalami dan menambah baik serta menyuburkan diri dengan keilmuan terutama ilmu-ilmu yang disyariatkan Allah s.w.t.
Al-Quran dan sunah banyak memperkatakan pentingnya ilmu dan kerana ilmulah yang membezakan darjat seseorang di sisi Allah s.w.t.
Akibat kedangkalan ilmu dan kedaifan pengetahuan, wujud pelbagai masalah sosial dan moral bermula dari dalam institusi kekeluargaan membawa kepada masyarakat dan negara.
Akhirnya membiaklah budaya manusia tidak bermoral dan tidak bermaruah sebagaimana yang berlaku kini.
Malah ketidakseimbangan memahami dan mengamalkan ilmu-ilmu dunia dan akhirat tidak kurang hebatnya dalam menyumbang kepada gejala keruntuhan rumah tangga dan kepincangan hidup.
Dalam hubungan ini, wanita sering menjadi fokus. Dalam institusi kekeluargaan golongan ini sering menjadi mangsa, sama ada terdera dan didera mahupun terabai dan diabaikan.
Tidak kurang pula yang terseksa dan diseksa emosi mahupun fizikal. Semuanya gara-gara kejahilan ilmu terutama mengenai hak dan keadilan syarie melalui undang-undang kekeluargaan yang ditetapkan Islam.
Untuk itu, wanita terutamanya diingatkan supaya belajar, mendalami dan memahami hak dan keadilan melalui peruntukan undang-undang kekeluargaan sebelum setuju dinikahi.
“Apa lagi setelah bergelar isteri dan ibu. Wanita perlu tahu dan mesti ambil tahu mengenai undang-undang kekeluargaan Islam,” kata Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya (UM), Dr. Siti Zubaidah Ismail.
Menurutnya, jika wanita khususnya isteri faham dan mengambil tahu mengenai undang-undang kekeluargaan Islam yang telah disyariatkan, tidak timbul masalah hidup terabai atau diabaikan suami.
“Namun, kerana kebanyakan isteri jahil dan tidak faham hukum-hakam yang disyariatkan Islam, dengan mudah mereka menjadi ‘alat’ dan diperalatkan lelaki bergelar suami,” katanya.
Dr. Siti Zubaidah menegaskan, bukan hak dan tanggungjawab wanita untuk mencari nafkah dalam hidup berumahtangga.
“Sebab itu Islam mewajibkan suami membayar mas kahwin kepada isteri apabila pasangan di ijab kabul,” katanya. Beliau turut mengetuai Unit Penyelidikan dan pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang API di UM serta peguam syarie di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Dr. Siti Zubaidah berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja mengenai Hak-hak wanita Menurut Hukum Islam dan Undang-undang Kekeluargaan Islam di Malaysia dalam Bengkel Wanita dan Undang-Undang Kekeluargaan Islam.
Bengkel dua hari yang berpusat di Kampus Kota UM, Jalan Tun Ismail Kuala Lumpur itu dikendalikan oleh Pusat Pendidikan Berterusan UM (UMCCed).
Menurut Dr. Siti Zubaidah, wanita dan isteri akan terus dibelenggu permasalahan rumah tangga selagi mereka tidak berusaha mendalami perundangan dalam kekeluargaan Islam secara berterusan.
Ini kerana, kata beliau, ilmu tidak statik tetapi sentiasa berkembang seiring dengan kemajuan tamadun pemikiran manusia dan ia perlu dipelajari secara berterusan.
Dalam hubungan ini, Dr. Siti Zubaidah turut mempersoalkan berapa ramai suami isteri yang tahu, faham dan amalkan konsep sakinah, mawaddah dan rahmah yang ditetapkan Islam dalam kehidupan berumahtangga.
Allah s.w.t. dalam mafhum-Nya menegaskan: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu merasa tenang dan tenteram (sakinah) dan dijadikan-Nya di antaramu kasih sayang (mawaddah) dan kasihan belas (rahmah). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (Ar-Rum: 21).
Sayangnya kata beliau, ketiga-tiga konsep itu hanya wujud semasa alam percintaan tetapi hilang setelah ijab dan kabul dilafaz serta beranak pinak.
“Sebab itu isteri tidak boleh patuh dan taat pada suami secara membuta tuli. Mereka mesti tahu dan berusaha mengambil tahu had-hadnya kerana Islam adalah untuk memastikan keadilan serta meninggikan martabat wanita,” jelasnya.
Undang-undang kekeluargaan Islam menurut Dr. Siti Zubaidah, digubal untuk membolehkan seseorang isteri menuntut hak dan keadilan sebagaimana ditetapkan syarak.
Katanya, mempelajari dan memahami undang-undang kekeluargaan penting bukan hanya untuk diri sendiri tetapi bagi membantu suami agar tidak mengabaikan amanah dan tanggungjawabnya terhadap keluarga, isteri dan anak-anak dalam rumah tangga.
“Apabila ada ilmu dan faham undang-undang, mudahlah bagi pasangan mencari jalan keluar dan menangani permasalahan apabila timbul salah faham dan konflik dalam hubungan suami isteri,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang API UM, Dr. Siti Mashitoh Mahamood berkata, mengetahui undang-undang syarak yang terpakai juga akan memudahkan seseorang isteri itu mengenalpasti hak-hak mereka ke atas harta suami dalam memastikan kesejahteraan hidup.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa syariah Jabatan Peguam Negara menambah, hak isteri ke atas nafkah dan harta sepencarian bukan setakat yang dihasilkan suami semasa perkahwinan dan boleh dituntut semasa perceraian sahaja.
“Tetapi meliputi semua dan boleh dituntut semasa dalam ikatan perkahwinan lagi, apabila berlaku poligami mahupun kematian ke atas pasangan,” jelasnya.
Apa kata peserta:
Mek Zah Che Ahmad (Pensyarah Politeknik Shah Alam)“Wanita perlu berusaha cari ilmu sama ada secara formal atau tidak formal dan ambil tahu mengenai hak-hak yang diperuntukkan dalam undang-undang kekeluargaan Islam.
“Kita tidak boleh salahkan orang lain jika rumahtangga bermasalah atau kita dianiaya suami kerana ia adalah tanggungjawab diri sendiri.
“Ramai yang tahu dan pandai cakap pasal tanggungjawab, tetapi apakah kita mahu dan bersedia untuk melaksanakannya,” katanya.
Hasnah Mahmud (Pengerusi Gerakan Wanita Felda Ijok Wilayah Trolak, Perak)“Anak-anak muda kena rajin dan biasakan diri mengikuti majlis-majlis ilmu dan mendalami ilmu-ilmu kekeluargaan sebelum mengambil keputusan berkahwin.
“Kepincangan rumah tangga dan masalah sosial sekarang berpunca daripada ibu bapa yang kurang faham undang-undang kekeluargaan dan malas mencari ilmu.
“Untuk hidup harmoni dan bahagian tidak ada jalan mudah melainkan dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan,” jelasnya.
Azizah Bahari (Pengerusi Gerakan Wanita Gugusan Felda Wilayah Mempaga, Pahang)“Suami dan isteri tidak boleh mengabaikan tanggungjawab dan amanah dalam rumah tangga.
“Golongan berilmu perlu perbanyakkan lagi bengkel, seminar dan kursus-kursus berkaitan undang-undang kekeluargaan agar masyarakat lebih terdedah dan tahu mengenai tanggungjawab dan hak masing-masing.
“Ramai wanita berminat mendalami ilmu kekeluargaan tetapi tidak tahu hendak tuju ke mana dan bagaimana. Saya harap pihak berkenaan perbanyakkan program keilmuan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan