Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Mac 26, 2010

Keistimewaan Pengajian Syeikh Fuad al-Maliki

Keistimewaan Pengajian Syeikh Fuad al-Maliki.

Kita sering dihidangkan dengan pengajian kitab oleh beberapa penceramah atau
ustaz-ustaz di masjid-masjid ataupun surau-surau. Namun pengajian kitab yang
disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh Mohd Fuad al-Maliki ada kelainannya dan begitu
istimewa sekali jika dibanding dengan pengajian yang disampaikan oleh
ustaz-ustaz yang lain.Bukanlah coretan saya kali ini untuk membandingkan
kehebatan seseorang tetapi apabila saya sering mengikuti pengajian yang
disampaikan oleh ulama muda iaitu Syeikh Fuad al-Maliki, membuatkan kita terasa
betapa kerdil dan hinanya kita di sisi Allah swt.
Setiap kali sebelum pengajian kitab dimulakan oleh Syeikh Fuad al-Maliki, kita
akan dihidangkan, malah turut serta untuk membaca Hizib Selawat, Bacaan Qasidah
memuji Rasulullah s.a.w., malah beliau sendiri turut serta dalam majlis selawat
yang diadakan. Ini menunjukkan betapa kasih dan cintanya beliau terhadap
junjungan Rasulullah s.a.w maka beliau sering menganjurkan jemaah-jemaah yang
duduk dalam majlis pengajian beliau untuk memperbanyakkan selawat ke atas
Rasulullah s.a.w. Maka tidak hairan jika beliau begitu lantang menentang
golongan-golongan yang menyamatarafkan Rasulullah s.a.w dengan manusia lain yang
ada di muka bumi ini. Dalam buku bertajuk "Keistimewaan Rasulullah s.a.w" yang
ditulis oleh Syeikh Fuad al-Maliki, diceritakan betapa banyaknya keistimewaan
Rasulullah s.a.w dengan mukjizat-mukjizat yang jarang-jarang dinukilkan oleh
orang lain. Begitu juga dengan buku tulisan Syeikh Fuad bertajuk "Pohon
Nabawiyyah". Beliau menukilkan tentang Nasab Nabi, isteri-isterinya,
putera-putri baginda dan segala-gala yang berkaitan lagsung dengan Rasulullah
s.a.w.
Sewaktu pengajian di Pusat Tahfiz Al-Jazari, sebelum beliau memulakan pengajian
Kitab Dalail Al-Khairat, bacaan Hizib Selawat ke atas junjungan Rasulullah
s.a.w. akan berkumandang dengan begitu indah sekali. Begitu juga sebelum beliau
memulakan pengajian Kitab Syamail Muhammadiyah dan Tafsir Surah Yassin, bacaan
Qasidah memuji Rasulullah s.a.w akan berkumandang dalam majlis yang penuh dengan
keharuman daripada gaharu yang dibakar. Kepetahan dan keilmuan yang dimiliki
oleh Syeikh Fuad al-Maliki akan membuatkan para pendengar akan terus berada
dalam majlis pengajian beliau sehingga ianya berakhir. Syeikh Fuad al-Maliki
bukan sekadar membaca hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab yang
diajarnya, malah beliau turut menghuraikan maksud sebenar hadis, malah
mengaitkannya dengan hadis-hadis yang seumpama dengan hadis-hadis yang yang
dibacanya. Sikap tawadduk dan rendah hati yang ditunjukkan oleh beliau
membuatkan kita begitu kasih dan semakin gemar mendengar kepetahan ucapan-ucapan
yang disampaikannya.
Kesempatan mengikuti pengajian Syeikh Fuad al-Maliki di beberapa tempat telah
saya abadikan dalam paparan video Youtube untuk dimanafaatkan oleh
pencinta-pencinta ilmu. Insya'allah dengan izin Allah swt, saya akan terus
mengikuti pengajian kitab oleh ulama muda ini dan menyebarkannya pula dalam
bentuk video di Youtube dan berharap ia dapat dikongsi oleh seluruh umat Islam
di mana jua mereka berada. Semoga Allah memberkati segala usaha murni ini
daripada hambaNya yang masih lagi belajar dan terus belajar menuntut ilmu
daripada insan yang telah dipilih oleh Allah dengan keilmuannya yang tinggi.

http://pondokhabib.wordpress.com

Tiada ulasan: