al-Quthub al-Habib 'Abdul Qadir as-Saggaf
al-Quthub al-Habib 'Abdul Qadir as-Saggaf
إنا لله وإنا إليه راجعون
Tengahari tadi hamba mendapat sms yang membawa khabar sedih dari al-Fadhil Ustaz Azian, Imam Masjid al-Falah USJ. Kabar sedih yang mengugah hati. Bukan sahaja makhluk di bumi menangisinya, bahkah penduduk langit. Allahu Allah ..... Khabar sedih tersebut adalah kembalinya ke rahmatUllah al-Imam al-Quthub, Baqiyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf, al-Allamah al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Saqqaf (1331/1911 - 1431/2010) pagi tadi. Allahu Allah ..... Tiada musibah yang lebih besar daripada perginya seorang ulama yang arifbillah, faqih, murabbi, mursyid ...... Allahu Allah ....
Sayyiduna Abu Darda رضي الله عنه berkata: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu kabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim. [Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi]
Perginya seorang ulama, bererti hilanglah sebahagian ilmu, Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما meriwayatkan sebuah hadits:
Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang *******, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)
Wafatnya ulama, bererti hilanglah satu bintang yang menjadi petunjuk kepada umat, terlebih lagilah ulama dari kalangan ahlulbait. Mereka seumpama bintang dilangit yang menjadi petunjuk kepada para pengembara, maka apabila mereka tiada, pengembara kan hilang pedoman dan langit menjadi suram tiada tidak berseri.
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه katanya: Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perumpamaan ulama di bumi ini adalah seperti bintang-bintang yang dijadikan petunjuk di dalam kegelapan-kegelapan darat dan lautan, apabila bintang-bintang ini sirna di antara kegelapan-kegelapan tadi, maka sudah tentu para penunjuk jalan akan berhadapan dengan kesesatan jalan [Hadits riwayat Imam Ahmad]
الله يغفرله ويرحمه ويتجاوز عن سيئاته ويضاعف حسناته ويجعل مستقر روحه الفردوس الأعلى مع النبيين والصديقين و الشهداء والصالحين ويخلفه فينا وفي المسلمين أجمعين بالخلف الصالح. آمين
Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memaafkan semua kesalahannya, melipatgandakan kebaikannya, menempatkan ruhnya di Syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan sholihin dan semoga Allah memberi ganti yang baik bagi kami dan kaum muslimin. Ameen.
Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada beliau.
http://wp.me/piAx4-1np
Tiada ulasan:
Catat Ulasan