Tawaran Murah Hotel

Rabu, Mei 25, 2011

Kita Mempertahan, Mereka Mencabar “


Kita Mempertahan, Mereka Mencabar “

    May 14, 2011
    5 Comments
    MUKADIMAH
     Sikap kumpulan-kumpulan Kristian yang dikatakan agak provokatif dan menghiris hati umat Islam di negara ini telah mendorong pimpinan-pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam utama dan arus perdana bersatu di bawah Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela).
    Pembela berperanan sebagai platform penting dalam menyelaraskan suara umat Islam demi mengelakkan senario-senario buruk seperti yang dihimbau di atas.
    Untuk itu, satu pertemuan diatur diantara wartawan Mynewshub.my, Syahril A. Kadirdan jurucakap Pembela, Dr. Yusri Mohamad bagi mendengar sendiri apa yang ‘meresahkan’ pertubuhan itu hingga dianggap terlalu ekstrem oleh banyak dalam perjuangan mereka sejak akhir-akhir ini
    Dr. Yusri yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang dari School Of Oriental and African Studies (SOAS), University Of London dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd) juga dalam bidang yang sama dari UIA.
    Mynewshub.my: Apakah ‘kemunculan’ Pembela sejak akhir-akhir ini mempunyai kaitan rapat dengan pendedahan dua buah blog dan akhbar Utusan Malaysia tentang ‘negara Kristian’ yang heboh diperkatakan itu?
    Dr. Yusri: Tidak ada kaitan sama sekali. Kita sendiri tak tahu menahu pasal pendedahan itu dan sejauh mana kebenarannya tetapi jika ianya betul sekalipun, kita tak terkejut sebab Al-Quran dah mengatakan yang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan agama Islam ini. Kita terima hakikat itu. Islam, Yahudi dan Kristian memang akan bersaing dan tak payahlah kita nak berlakon-lakon. Al-Quran dah sebut dan realitinya juga berlaku dalam sejarah…dalam perang Salibnya, Sepanyolnya. Yang terkini pun akan sentiasa ada persaingan.
    Cuma dalam pada nak bersaing itu, kita kenalah tengok ‘rules of the game’, gelanggangnya di mana? Gelanggang kita sekarang ini Malaysia.Kalau gelanggang Malaysia kenalah ikut peraturan Malaysia. Itu yang kita minta, kena hormat peraturan dalam negara ini. Kalau mana-mana agama nak perkembangkan agamanya, mereka kenalah ikut peraturan yang ditetapkan. Tak bolehlah sewenang-wenangnya berbuat demikian.
    Di Malaysia, Islam adalah agama yang diiktiraf sebagai agama persekutuan, sehubungan itu mana-mana pihak tak boleh nak membandingkannya dengan negara lain seperti di Indonesia atau Singapura. Sudah tentu negara barat yang memang sekular, yang tidak mengawal langsung hal ehwal agama, mereka serah pada ‘market forces’, tetapi Malaysia tidak seperti itu.
    Di Malaysia pula, itu salah satu formula keharmonian, maksudnya di Malaysia tak berlaku pergaduhan antara kaum dan agama kerana semuanya menghormati formula tersebut, jadi kalau formula itu hendak dikacau, sudah tentu orang tak boleh nak duduk diam. Kalau umat Islam asyik ditekan-tekan dan dicabar-cabar sebegitu, sudah pasti akan muncul golongan yang cenderung untuk keras dan ekstrim dalam agama ini
    Berbalik kepada laporan Utusan Malaysia itu, kalau pun ianya tidak betul, kecenderungan mubaligh Kristian ini untuk mencabar-cabar, cuba nak dapat ‘lebih lagi’ dari apa yang mereka dapat sekarang yang bagi kita dah cukup banyak.
    Ada kajian yang ditaja oleh Yadim mendapati rumah ibadat orang bukan Islam sebenarnya lebih banyak daripada orang Islam di negara ini, kecil besar soal lain, tapi tak selari dengan nisbah penduduk pun.
    Mereka dah dapat banyak, perayaan mereka diiktiraf, cuti umum diberi, diraikan, cuma mereka mungkin tak puas hati sebab tak boleh berdakwah secara bebas terhadap orang Islam.
    Yang ni memang pantanglah untuk kita, kalau mereka nak dakwah kepada mereka yang belum jelas agamanya seperti orang Asli, kita tak halang pun. Bahkan mereka dah ke depan pun dalam hal ini. Tetapi Kalau nak berdakwah pada orang Islam, memang tak boleh dan Pembela tidak akan biarkan ianya berlaku.
    Mynewshub.my: Apa yang Pembela ingin nyatakan sebenarnya?
    Dr. Yusri: Kita tak mahu mereka ini berlebih-lebihan, jangan sampai keluar daripada ‘peraturan permainan’ di Malaysia ini. Kita nampak mereka cuba untuk menukar peraturan itu dengan cara menekan kerajaan dan parti-parti politik. Parti-parti politik ini maklumlah, mereka mengharapkan sokongan, mereka harapkan undi.Golongan mubaligh ini cerdik. Semua orang tahu dalam realiti politik Malaysia sekarang ini, jadi mereka ini mengambil kesempatan di atas senario politik itu untuk menekan kerajaan yang memerintah termasuk parti politik pembangkang untuk mendapatkan lebih daripada apa yang sepatutnya.
    Mynewshub.my: Perkara-perkara sebegini jarang dibincangkan secara terbuka kerana dianggap sensitif, bagaimana Dr. Yusri dan Pembela sendiri melihatnya?
    Dr. Yusri: Saya setuju. Memang betul perkara-perkara sebegini sensitif, sebab itu kita ada Akta Hasutan. Itu yang menjadi subjek kepada tajuk yang membawa kepada hasutan, sepatutnya benda begini perlu dielakkan daripada ditimbulkan, masalahnya siapa yang mulakan?
    Kalau ada pihak yang dah mula timbulkan perkara itu, yang bertentangan dengan acuan perlembaaan dan undang-undang, maka perlulah ada tindakan untuk menegur percubaan untuk mencabar perkara-perkara ini.
    Sudah tentu yang paling bertanggungjawab adalah kerajaan untuk menegur mana-mana pihak yang cuba menghasut dalam isu-isu ini ini. Kalau kerajaan tak tegas terpaksalah kami NGO-NGO ini untuk sama menegur kerana kita turut bertanggungjawab untuk mempertahankan apa yang ada dalam perlembagaan.
    Kita kena bezakan, kalau kami yang bersuara (walaupun dalam isu yang sama), kami bersuara untuk MEMPERTAHANKAN, sedangkan pihak yang satu lagi lebih kepada hendak MENCABAR, jauh bezanya. Suara mereka itu bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan.Kita bukan menghasut untuk merosakkan, kita menegur untuk membina, kadang-kadang ia mungkin kedengaran agak keras, biasalah untuk menyampaikan mesej yang jelas dan tegas tetapi kalau nak kata Pembela ekstremis itu adalah satu tuduhan yang melampaulah. Kita adalah pertubuhan-pertubuhan yang ‘mainstream’, berdaftar dan sudah bergerak dalam jangka masa yang agak lama. Kita tiada pun rekod yang boleh dikaitkan dengan keganasan.
    Mynewshub.my: Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata yang kumpulan pemimpin Kristian telah memberi pengakuan bahawa mereka menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan tiada hasrat mencabar peruntukan itu dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa reaksi Pembela dalam hal ini?
    Dr. Yusri: Takkanlah mereka berani nak kata yang mereka tolak Islam sebagai agama persekutuan, itu kenyataan bunuh dirilah jawabnya. Masalahnya gerak kerja mereka itu sendiri adakalanya bercanggah dan ‘tak harmoni’ seperti mana yang mereka isytiharkan.
    Isu terbaru tentang kalimah Allah dan kitab Bible Bahasa Melayu. Kenapa kumpulan Kristian ini tak boleh nak tunggu sehingga isu ini diputuskan secara muktamad di mahkamah, kenapa nak diperbesarkan isu Bible ditahan di Pelabuhan Klang pada masa pilihan raya Sarawak sedangkan Bible itu dah ditahan dekat dua tahun. Kenapa tidak sebelum ini? Mereka pun faham Bible itu ditahan bukan atas niat jahat, ia kerana berkaitan satu kes yang sedang ditimbangkan oleh mahkamah.
    Kalau pun ada keperluan mendesak, bawa berbincang, jangan terus meletupkan isu ini di media dengan ‘ayat-ayat perang’ seolah-olah orang Kristian di Malaysia ini dizalimi. Mereka bercakap terus pada masyarakat antarabangsa yang mungkin tak faham konteks kita di Malaysia. Itu tak adil. Sudah tentu kalau masyarakat antarabangsa dengar yang Bible ditahan, memanglah nampak macam teruk sangat. Sebab itu mereka tak boleh bercakap dengan orang luar, orang luar situasi mereka lain.
    Bagi masyarakat mereka, buku pornografi pun boleh dijual secara terbuka!
    Kita nak bawa isu Malaysia, kenapa nak jaja di luar pula, itu tak patriotik namanya.
    Mynewshub.my: Pembela juga dilihat sangat konsisten dan memperjuangkan masalah murtad di negara, adakah masalah ini sudah menjadi semakin serius?
    Dr. Yusri: Isu ini sama seperti isu-isu agama yang lain, perlu ada suara untuk membela dan mempertahankan kedudukan sedia ada, kalau tiada isu, tiada cabaran, tiada percubaan untuk mengubah, Pembela tentu tidak akan bersuara.
    Sebenarnya ada ruang yang perlu dipertingkatkan, kita masih belum ada hukuman atau peruntukan kesalahan murtad secara seragam di negeri-negeri, ada isu contohnya ‘conversion’, kalau berlaku pertukaran agama macam mana dengan hak menjaga anak-anak yang bawah umur, isu-isu macam tu kita tak nafi, ada isu-isu yang ‘real’, kita boleh tangani dan kita boleh duduk berbincang, tetapi kalau nak cabar macam kes Azlina Jailaini hari itu, nak minta hak secara bebas dan mutlak di mana orang Islam/Melayu bebas nak tukar agama, itu tak bolehlah. 
    Kita kena ada suara yang mempertahankan bila dicabar, kita Pembela dulu bangkit isu IFC, isu Azlina Jailani kerana ini adalah jelas percubaan untuk mengubah ‘peraturan permainan’ di Malaysia, mahkamah dah putus pun kes Azlina. Apa yang kita buat dibuktikan betul oleh keputusan mahkamah, kerajaan pun menolak IFC, maknanya kerajaan bersetuju bahawa tuntutan-tuntutan yang dibelakang IFC tak sesuai diterima. Maknanya kita betul, dia salah.
    Mynewshub.my: Apakah yang berlaku terhadap umat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini sangat ‘kritikal’ hingga membuatkan Pembela terpaksa bangkit dan bersuara?
    Dr. Yusri: Ia serius kalau kita lihat daripada dua sudut. Daripada sudut agama, apa-apa saja kepincangan atau penyelewengan daripada segi akidah, kalau berlaku secara terbuka, itu satu kemungkaran yang besar, yang perlu dicegah walaupun hanya melibatkan seorang individu. Murtad adalah kemungkaran paling besar, lebih besar daripada kesalahan rasuah dan membunuh.
    Yang kedua, ianya boleh mengancam formula kerjasama, kestabilan dan keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia.Itu lagi besar. Dia boleh kacau semua benda lain termasuk pembinaan negara yang sedang kita pertahankan.
    Dalam Al-Quran dan hadis jelas, antara punca umat Islam mendapat bala daripada Allah SWT ialah apabila mereka meninggalkan Nahi Mungkar, hanya menjaga Amal Makhruf semata-mata.
    Kita memang tidak ada statistik, tapi daripada maklumat yang kita ada, memang wujud paderi Melayu, memang ada kes murtad, cuma mereka bergerak secara sembunyilah, tengok sajalah kes Azlina Jailani, Aishah Bukhari, semua ni memang wujud,
    Yang lebih parah ia bukan melibatkan individu, tetapi cuba digunakan kes-kes individu ini untuk mengsasarkan sistem. Kes Azlina Jailani contohnya, seorang perempuan kononnya sebab nak kahwin tetapi kes itu digunakan untuk ‘attack’ sistem. Di mahkamah, mereka turun ramai-ramai, apa maknanya?
    Kalau kes itu individu, kenapa paderi semua turun? Kemudian media antarabangsa ditarik sekali, apa makna semua ini? Adakah semata-mata kerana nak pastikan seorang perempuan dapat berkahwin dengan pakwenya?
    Atau yang lebih besar, mereka nak sistem itu diubah?
    Bila mereka bising pasal Bible yang ditahan tu, memang kita lewat ‘respond’ kerana kita bersangka baik. Kita bagi kerajaan tangani dulu. Ini kerana bagi kita masa tu kes ini ‘straight forward’, Bible itu perlu ditahan kerana ada kes mahkmah yang belum selesai melibatkan kalimah Allah dan sebagainya. Sepatutnya tak panjang isunya, kalau tak dilayan dan diberi ruang, tapi kerajaan terlalu melayan, sepatutnya kerajaan tegas. Bila kerajaan guna pendekatan ‘melayan’, akhirnya mereka rasa tak cukup, kerajaan bagi sikit, mereka rasa tak cukup lagi. Bagi betis nak peha. Sampai sekarang pakej Idris Jala yang kita rasa dah banyak itu, pun mereka masih tak puas hati lagi.
    Pembangkang pun sama, mereka turut menimbulkan tekanan pada kerajaan dan menyokong tuntutan-tuntutan itu, akhirnya ia tak membantu. Saya minta semua pihak, jangan terlalu dipengaruhi politik hingga melupakan asas agama yang perlu kita perjuangkan ini
    Mynewshub.my: Adakah masyarakat Islam negara ini semakin lemah?
    Dr. Yusri: Saya rasa berlaku sindrom selesa di Malaysia, kita dah biasa isu agama ini ditangani orang politik dan kerajaan. Jadi kita hanya serah saja pada golongan ini untuk menyelesaikannya.
    Mereka ini pun bahaya juga. Kadang-kadang suasana politik itu sendiri membuatkan orang-orang politik ini tidak efektif.
     Sebab itu saya syorkan dikukuhkan suara pertubuhan-pertubuhan Islam, orang Melayu Islam perlu pandai bergerak dalam gelanggang NGO.
    Pada masa yang sama kita mengharapkan pihak yang berwajib dan parti politik baik parti kerajaan atau parti pembangkang memainkan peranan mereka.
    Mereka adalah pemimpin saf barisan pertama dalam isu-isu yang melibatkan negara
    Mereka sepatutnya menangani sesuatu isu dengan lebih bertanggung jawab dan dengan lebih patriotik. (Mynewshub.my)

    Tiada ulasan: