Tawaran Murah Hotel

Khamis, Oktober 18, 2012

Amalan-amalan Pada Bulan Zulhijjah


Amalan-amalan Pada Bulan Zulhijjah


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Fajr, ayat 1-2 yang lebih kurang ertinya:

“Demi waktu Fajar, dan malam yang sepuluh”

Para Ulamak berselisih pada tafsiran ayat di atas. Al-Imam Assuyuthi di dalam Tafsirnya mengatakan Al-Fajr di daam ayat tersebut membawa erti setiap pagi secara mutlak. Sesetengah ulamak pula mengatakan, pagi hari pertama Zulhijjah, ada yang mengatakan pagi 9 Zulhijjah (Hari Arafah) dan ada yang mengatakan ia memberi isyarat kepada pagi 10 Zulhijjah.

Malam yang sepuluh atau Walayalin Asyr di dalam ayat yang kedua pula mempunyai tiga tafsiran. Sesetengah Ulamak mengatakannya sepuluh malam terakhir Ramadhan. Tafsiran kedua, ia adalah sepuluh malam pertama bulan Muharram. Tasfiran yang ketiga dan masyhur seperti dipersetujui oleh Imam Suyuthi, yang dimaksudkan di sini adalah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Pendapat ini juga disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Nasiriddin Addimasyqi As-Syafie.

Sebahagian ulamak salafussoleh menyebutkan, terdapat 3 himpunan sepuluh hari yang dimuliakan oleh Allah iaitu, 10 hari terakhir bulan Ramadhan, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari pertama bulan Muharram. Sebahagian ulamak mengatakan, antara ketiga-tiga himpunan tersebut, 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah yang paling mulia, kerana padanya terdapat Hari Tarwiah (8 Zulhijjah), Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Hari Nahr (10 Zulhijjah), selain ia merupakan penutup kepada Asyhurum Ma’lumat (bulan-bulan yang dimaklumkan untuk melakukan ibadah Haji).

Selain itu, fadilat bulan Zulhijjah ini sebagai salah satu bulan Haram yang mulia tidak perlu disebutkan lagi di sini dan umum patut sudah mengetahuinya.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, rebutlah peluang untuk mengecas semula bateri keimanan kita yang kian pudar, dan menggarap sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah kepada hamba-Nya dengan memuliakan hari-hari ini. Marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadat kita secara umum dan mempertingkatkan lagi kualiti ibadah yang sedia ada.

Ulamak Salafussoleh juga menganjurkan kita memperbanyakkan bacaan-bacaan di bawah sepanjang 10 hari pertama bulan Zulhijjah. (Maaf, ada masalah pada Arabic Font, jadi perlu ditransliterasikan ke rumi)

La Ilaha Illallah ‘adadad duhur
La Ilaha Illallah ‘adada amwajil buhur
La Ilaha Illallah ‘adadan nabati wassyajar
La Ilaha Illallah ‘adadal qutri walmator
La Ilaha Illallah ‘adada lamhil ‘uyun
La Ilaha Illallah khairum mimma yajma’un
La Ilaha Illallah min yaumina hadza ila yaumi nufikha fis sur

Ana sebutkan tujuh zikir sahaja daripada banyak lagi zikir yang dianjurkan, kerana tujuh zikir di atas adalah yang paling masyhur dan disepakati oleh para salafussoleh. Untuk mendapatkan lagi zikir yang lain rujuklah kepada tok-tok guru yang mulia.

Usah dilayan pula mereka yang ditimpa “Mental Block” sehingga mengatakan amalan ini bid’ah yang haram dan sebagainya. Biarkan sahaja mereka dengan khayalan mereka. KIta teruskan beribadat mengikut sunnah dan memperbanyakkan zikir, moga ditenangkan hati-hati kita oleh Allah dengan mengingati-Nya. Semoga kita diberi kemudahan oleh Allah untuk merebut peluang yang diberikan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Amiin.

Tiada ulasan: