Tawaran Murah Hotel

Isnin, Oktober 01, 2012

Hikmah dan Fiqh al-Hayah


Kebijaksanaan… Kalau itulah istilah, untuk menterjemahkan erti hikmah, iaitu melihat apa yang hakiki sebagai hakiki, dan tidak tertipu dengan apa yang fantasi.

Allah s.w.t. berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Surah al-Baqarah: 269)

Sebahagian ulama’ tafsir menafsirkan al-Hikmah sebagai pengetahuan terhadap hakikat sesuatu sebagaimana ia. Sebahagian ulama’ tafsir yang lain pula menafsirkan al-hikmah sebagai perealisasian ilmu (dalam bentuk penghayatan dan amalan) dan ketetapan ilmu (sampai tahap yakin). [1] Jika demikian maksud hikmah, maka ianya bersesuaian dengan kalimah al-Ilm al-Nafi’e atau ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang bermanfaat adalah apa yang sering diminta oleh Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Ilmu itu ada dua bentuk iaitu: ilmu berbentuk kefahaman dan ilmu berbentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat bagi ilmu berbentuk kefahaman adalah, penghayatan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq) atau penyaksian mata hati (syuhud). Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t. dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan.

Akhirnya, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang disertai amalan, samada ianya adalah amalan zahir mahupun amalan batin/perasaan (zauq dan syuhud).

Kita boleh dapati salah seorang manusia yang bersifat berhikmah dalam al-Qur’an. Allah s.w.t. berfirman lagi tentang Luqman r.a.:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)

Jumhur ulama’ salaf menegaskan bahawasanya Saidina Luqman adalah seorang al-Hakim, iaitu orang yang bijaksana, yang diberi hikmah oleh Allah s.w.t. dan bukan seorang nabi. Dikatakan bahawasanya, Luqman al-Hakim mempunyai lebih seratus kata-kata hikmah dalam kitab-kitab bani Israel.

Hikmah juga boleh difahami sebagai suatu kebijaksanaan iaitu pandangan akal yang cerdas dalam melihat banyak sudut dan persepsi yang berbeza daripada sesuatu perkara. Bahkan, kebijaksanaan juga adalah suatu kefahaman tentang hakikat yang luas di sebalik sesuatu yang dapat didapati dengan pancaindera yang terbatas.

Sebahagian ahli ilmu menjelaskan bahawasanya, hikmah adalah suatu jangkauan akal daripada maklumat-maklumat cabang menuju kefahaman-kefahaman menyeluruh. Maksudnya, sesorang yang berhikmah itu boleh menyimpulkan banyak bentuk atau perkara yang bersifat cabang kepada suatu kaedah kefahaman bersifat menyeluruh.

Kebijaksanaan atau hikmah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Sebagaimana ianya diberi kepada orang-orang yang beriman, kadang-kala, ianya diberi juga kepada orang-orang kafir. Cuma, hikmah tersebut terbatas kepada ilmu dan penguasaan kecerdikan akal, bukan ilmu yang bermanfaat sebagaimana disebutkan sebelum ini. Oleh sebab itulah, ahli falsafah menamakan diri mereka sebagai al-Hukama’ bahkan philoshopos itu sendiri dari perkataan Yunani yang bererti pencinta kebijaksanaan.

Sebagai orang-orang yang beriman yang melihat segala yang berlaku di sekelilingnya sebagai interaksi Allah s.w.t. kepada diri mereka, maka, mereka wajar mengambil kebaikan dan manfaat dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Di mana sahaja mereka menemukan kebijaksanaan ataupun kebaikan, sudah pastilah mereka lebih berhak untuk memilikinya, kerana mereka adalah golongan manusia yang sudah mempunyai hubungan yang murni dengan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Benar.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda dengan maksud demikian:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ أَيْنَ وَجَدَهَا أَخَذَهَا

Maksudnya: “Hikmah itu ciciran orang beriman. Di mana sahaja dia dapatinya, maka dia perlu mengambilnya.”[2]

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi[3], hikmah adalah ilmu dan kefahaman. Ilmu adalah pengetahuan terhadap sesuatu samada secara ringkas mahupun terperinci. Kefahaman pula adalah suatu pengetahuan dan dapatan akal yang bersifat terperinci dan tidak mudah didapati. Bahkan, kesempurnaan kehambaan seseorang manusia kembali kepada dua perkara:

Pertama: Mengetahui kebenaran sebagaimana ianya. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-Nazhoriyyah.

Kedua: Melakukan sesuatu dengan betul. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-‘Amaliyyah.

Maka, kedua-dua ini boleh dianggap sebagai hikmah bagi manusia, iaitu kemuncak kepada penguasaan ilmu dengan kecerdasan akal.[4]

Seseorang insan yang ingin mendapat kebahagiaan di dunia, maka, hendaklah meniti hari-harinya dengan penuh penghayatan terhadap makna diri sendiri, tujuan sebuah kehidupan dan erti perhubungan antara dirinya dengan Tuhan. Maka, daripada hikmah-hikmah para bijaksana terdahulu, samada daripada sumber wahyu yang utama, mahupun hikmah yang menjadi barang ciciran orang-orang beriman yang lain, kita cuba menyusun sebuah risalah dalam rangka mengajak para pembaca yang budiman, agar melihat sisi kehidupan dari sudut kehambaan. Ianya agar seseorang melihat kehidupan bukan sekadar suatu himpunan bagi hari-hari yang telah lalu, hari yang sedang dilalui dan hari-hari yang bakal datang, tetapi memahami kehidupan secara menyeluruh, lalu menghadapi perinciannya secara bijaksana.

Ini sangat penting kerana, kefahaman tentang kehidupan (fiqh al-hayah) menentukan watak seseorang dalam kehidupannya, sehingga akhirnya membentuk perjalanannya samada menuju kebahagiaan sejati atau kemurungan yang abadi. Seorang insan boleh hidup dengan mengabaikan prinsip-prinsip kehidupan, tujuan-tujuannya serta tugas diri dalam dunia, namun dia tidak akan mati sebagaimana yang dia ingini. Lalai bukan pintu merdeka, tetapi ianya pintu kecewa.

[1] Al-Bahr al-Madid pada ayat tersebut.
[2] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Thahir al-Silafi dalam Kitab al-Ilm dan sebagainya dengan sanad lemah kerana mengandungi Muhammad bin Humaid. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunan beliau, Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’e beliau, Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra,  dan sebagainya juga = dengan lafaz yang berbeza-beza dan sanad yang lemah kerana mengandungi perawi bernama Ibrahim bin al-Fadhl al-Makhzumi yang dinilai sebagai lemah sebagaimana disebut dalam Tazkirah al-Huffaz dan kitab al-Dhu’afa al-Kabir oleh al-Uqaili. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq dengan sanad yang lain namun lebih lemah. Walau bagaimanapun, makna hadis ini sahih bersesuaian dengan keterangan ayat al-Qur’an sebelum ini dan banyak perintah daripada al-Qur’an agar seseorang menuntut ilmu dan mencari kebenaran dari mana sahaja dia boleh cari.
[3] Beliau ialah al-Mujadddin al-Imam Fakhruddin Abu Abdillah Muhammad bin Imam Umar bin Al-Hasan bin Al-Husein At-Taimi Al-Bakri. Nasab beliau bersambung juga kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq r.a.. Beliau dilahirkan di Bandar Ri pada tahun 543 Hijrah. Ayahnda beliau adalah Imam Dhiya’uddin Umar bin Al-Husein bin Al-Hasan yang merupakan seorang ulama’ fiqh yang besar yang juga merupakan murid kepada Imam Al-Baghawi. Antara kitab-kitab beliau: Ikhtashar Dala’il Al-I’jaz, Asas At-Taqdis, Al-Masa’il Al-Khamshun fi Usul Al-Kalam, Tafsir Mafatih al-Ghaib dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada satu syawal tahun 606 Hijrah.
[4] Boleh rujuk kitab tafsir Mafatih al-Ghaib karangan al-Imam al-Razi

Tiada ulasan: