PENGHULU WANITA DI SYURGA.... SAIDATINA FATIMAH..
Kiriman: alhussainiatul_azzah pada Selasa, 04 Oktober, 2005 - 12:16 PM GMT-3
Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu
muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang
mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci,
mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.
Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat
beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan
tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah
daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang
dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang,
puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya
mengalunkan irama Al Quran.
Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang
sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas
kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah
berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan
penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya
Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan
untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah
Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk
berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana
yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi
Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu
kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui
ibadah-ibadah yang dibangunkan.
Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil
menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin,
Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air,
berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40
hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala
dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat
kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.
Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum,
Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat
keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada
Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat
air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat
menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya
seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan
anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang
menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli
kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia
demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di
sisi-Nya.
Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji
Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan,
segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada
Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah
tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka.
Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.
Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu
bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain
yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita.
Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya
tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang
cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran
kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak
yatim' di Madinah.
Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali
tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina
Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka
suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi
Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon
dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali
lantas memaafkan isterinya itu.
"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak
memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah
SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke
pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan
Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu
perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa
yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi,
bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka,
merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun
Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.
Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka
Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan
Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun
11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh
sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah
membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis,
kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.
Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian
baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama
yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya.
Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW,
dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.
Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam
al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu
oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih
hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang
lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau
bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka
dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa,
tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang
sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang
berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan
Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat
bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.
aku cinta Malaysia.....tapi lebih cintakan ALLAH........... oleh itu, jika
berlaku pertembungan antara kepentingan manusia dengan kepentingan
Allah......DAHULUKAN KEPENTINGAN ALLAH....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan