Tawaran Murah Hotel

Selasa, Julai 18, 2006

Menuntut Ilmu Agama

Menuntut Ilmu Agama
Kiriman: SystemOfADown pada Isnin, 03 Julai, 2006 - 01:56 AM GMT

Seperti yang yang diamalkan oleh Salafussoleh, belajar ilmu itu perlu berguru secara musyafaah. Oleh kerana ilmu yang diperoleh dari buku-buku atau kitab-kitab itu saja, di kalangan ahli ilmu seperti tiada, dan tidak dapat kita aman menaqalkannya kembali untuk diterapkan kemudian, kerana ia tidak mempunyai sanad masyaikh, persandaran keguruan, sebagaimana lazimnya ditempuh alim ulama sebelumnya. Sebagaimana Sayyiduna Musa a.s. berpergian jauh untuk bertalaqqi ilmu kepada Khidir a.s. Dan sebagaimana berjalan jauh Sayyidina Jabir bin Abdullah, perjalanan satu bulan untuk menemui Abdullah bin Anis, hanya untuk mempelajari sebuah hadith sahaja.





Kerana tidak mengetahui tentang sesuatu itu, wajib bertanya kepada Ulama. Dan sekiranya ketiadaan Ulama, wajiblah berlayat walaupun sampai ke Kutub. Telah berkata Syeikh Ibnu Ruslan di dalam zubadnya:

“Barangsiapa yang tidak mengetahui sesuatu, maka hendaklah ia bertanya, dan barangsiapa tidak mendapatkan guru, hendaklah ia berangkat ke manapun untuk mencarinya.”

Tersebut dalam Qashidaturraiyyahnya al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad Nafa’allahu bihi wa bi’ulumihi, sebagai berikut:

“Dan ambillah olehmu daripada ilmu-ilmu agama itu, akan bahagian yang banyak. Maka dengan ilmu itulah engkau terangkat derajat di dalam kehidupan dan pada saat pengumpulan kelak.”

Telah menganalisa akan bait ini oleh al-Habib Ahmad bin Abi Bakar bin Sumaith al-Alawi al-Hadrami di dalam syarahnya atas ar-Raiyyah tersebut yang bernama Manhalul Wurrad min Fadlil Imdad bisyarhi abyatil Quthbi Abdillah bin Alawi al-Haddad, halaman 102, sebagai berikut:

“Maka sesungguhnya telah memberi faham oleh keterangan Nadzim nafaallahu bihi, dengan perkataannya: Dan ambillah dari ilmu-ilmu agama dan seterusnya bahawa mengambil ilmu dari seorang guru yang sempurna penalaahannya itu, terbilang daripada apa-apa yang tertentu atas orang yang menuntut ilmu. Dan adapun semata-mata muthala’ah tanpa guru, kerana mengharapkan atas kefahaman sendiri saja, maka sedikit hasilnya. Kerana tidak dapat tidak, jika datang atasnya kemusykilan-kemusykilan, tidaklah dapat menjadi jelas baginya kecuali dengan penghuraian guru.”

Mari kita renungi beberapa kata sastera, berbentuk syi’ir-syi’ir yang disusun oleh para pujangga Islam:

“Barangsiapa yang mengambil ilmu dari seorang guru dengan secara langsung berhadap-hadapan, nescaya terjagalah ia dari kesesatan dan kekeliruan. Dan barangsiapa yang mengambil ilmu dari buku-buku saja, maka pengetahuannya itu di sisi para ahli ilmu, seperti tiada saja.”

Dan kata syair pula:

“Wahai orang yang mengaku berilmu, padahal ia tidak membaca kitab atas seorang guru, padanya akan mudahlah berdukacita. Apakah engkau menyangka bahawa fikiran itu dapat menyatakan kemusykilan, tanpa seorang pembimbing. Demi Allah sesungguhnya telah berdustalah fikiran itu. Dan sesungguhnya menuntut ilmu tanpa guru, seperti orang yang menyalakan pelita, padahal pelita itu tidak berminyak.”

Dan kata syair pula:

“Orang menyangka bahawa kitab-kitab itu dapat memberikan hasil kepada saudara yang memahami, untuk mendapatkan ilmu-ilmu. Dan tidaklah si dungu itu mengetahui di dalam kitab-kitab itu, terdapat banyak kepelikan yang membingungkan akalnya orang yang mengerti. Apabila engkau mencari ilmu tanpa seorang guru, sesatlah engkau dari jalan yang lurus. Dan akan tersamarlah bagimu segala persoalan, sehingga jadilah engkau lebih sesat dari al-Hakim Tuma.”

Dan kata syair pula:

“Tidaklah ada di dalam kitab-kitab dan buku-buku itu ilmu. Hanya sanya ilmu itu ada pada hati ahlinya. Tiap orang yang menuntut ilmu, dengan cara sendiri tanpa guru, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan.”

Berkata al-Imamul Muhaqqiq Ibnu Arofah al-Maliki:

“Bahawa Ijma’ telah menyimpulkan bahawa ilmu agama itu tidak dapat diperolehi kecuali dengan sengaja mengambil ajaran guru.”

Tiada ulasan: