Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Disember 28, 2007

Mutiara-mutiara Indah

Mutiara-mutiara Indah
Dari Hadis-hadis Rasulullah (s.a.w.)
Dalam buku “Halatu Ahli Al-Haqiqah Ma’a Allah”
Karangan Imam Ahmad Ar-Rifa’ie rahimahullah

Hadis Kedua: Amal Persiapan Untuk Menghadapi Hari Setelah Kematian

Dari Abi Ya’la bin Syaddad bin Aus r.a., bahawasanya beliau pernah berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud):

“Orang yang bijak ialah orang yang melawan nafsunya dan beramal untuk selepas kematiannya. Adapun orang yang tidak pandai (lemah) ialah, orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan dengan Allah s.w.t.”

Hadis riwayat At-Tirmizi r.a., Ahmad r.a., Ibn Majah r.a., Al-Hakim r.a., dan Imam Ar-Rifa’ie r.a. di dalam buku beliau “Al-Halah” tersebut.

Sheikh Imam Ar-Rifa’ie seterusnya menerangkan bahawa: “Amal yang dimaksudkan di dalam hadis ini, dari sudut rahsianya, ialah makrifat (mengenal Allah s.w.t.).

As-Sheikh seterusnya mengulas bahawa, memanglah makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.) itu dari hamba tersebut (atau natijah dari amal seseorang hamba tersebut). Tetapi, Allah s.w.t. lah sebenarnya yang memperkenalkan diri-Nya kepada hamba yang mempunyai marifatullah tersebut. Sesungguhnya, ia merupakan semulia-mulia dan sebesar-besar hadiah dari Allah s.w.t. kepada para hamba-Nya. Jika Allah s.w.t. ingin memilih seseorang hamba-Nya dari kalangan para hamba-Nya yang lain, dan memberi kelebihan kepadanya berbanding yang lain, dan untuk menyingkap kepadanya rahsia-Nya dengan mentari makrifat, maka Allah s.w.t. akan memandangnya dengan mata (pandangan) kemurahan dan rahmat-Nya, mumbuka kepadanya pintu hidayah, dan kemudian memuliakannya dengan kesedaran, mengejutnya dari tidur orang-orang yang lalai (kelalaian dengan menyibukkan diri dalam mencari selain dari Allah s.w.t.), melapangkan hatinya, menghidupkan hatinya dengan kefahaman (bahawa seseorang tidak akan sampai kepada Allah s.w.t. melainkan dengan ketaatan-syarah Sheikh Muhammad Adib Al-Jadir), menjauhkan darinya kesamaran, memuliakannya dengan kehidupan (hati), ketakutan (kepada Allah s.w.t.) dan keyakinan (terhadap-Nya), dan menjauhkan darinya syak.

“Apabila terhimpunnya tanda-tanda tersebut di dalam diri seseorang, maka bersinarlah sanubarinya dengan cahaya, maka dia melihat apa yang di sebalik hijab jabarut, syurga pun merinduinya sedangkan neraka pula tidak berkehendak kepadanya. Seandainya makrifat ini dsulam di atas sesuatu, nescaya orang-orang yang melihatnya akan mati kerana kilauan kecantikan dan keindahannya.”

(Alfaqir menulis dengan izin-Nya):

Dari penjelasan As-Sheikh r.a., sebenarnya, seseorang hamba sebenarnya mengenal Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t.lah yang memperkenalkan diri-Nya kepada hamba tersebut. Oleh yang demikian, Allah s.w.t.lah yang memilih orang-orang tertentu dari kalangan para hamba-Nya, untuk mendapat makrifatullah.

Jika Allah s.w.t. inginkan seseorang hamba itu mengenali-Nya, maka Dia akan mempermudahkan jalan hamba tersebut untuk mengenali-Nya, dengan pelbagai kenikmatan. Di antara kemudahan-kemudahan tersebut ialah, di mana Allah s.w.t. membangkitkan suatu perasaan kesedaran dan keinsafan dalam diri seseorang hamba tersebut, lantaran kelalaiannya yang lalu. Bertolak dari kesedaran inilah, akhirnya seseorang hamba tersebut mula mengorak langkah baru dalam melangkah menuju-Nya dengan kejernihan hati, setelah mana ia memahami bahawa, “hidup dan matinya sebenarnya dari Allah s.w.t., untuk Allah s.w.t. dan kerana Allah s.w.t. dengan izin Allah s.w.t..”

Hal yang sedemikian ibarat suatu U-Turn bagi seseorang hamba-Nya yang dahulunya lemas di dalam sungai kelalaian, sehingga akhirnya hanyut dibawa arus Ar-Rahman, untuk menyelamatkannya ke samudera makrifatullah di penghujungnya.

Jadi, ini juga memberi motivasi kepada mereka yang terjerumus ke dalam lembah maksiat dan noda dosa kelalaian, untuk bersegara dalam berpatah balik menuju Allah s.w.t. dengan kembali mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, dengan pintu taubat sebagai permulaannya.

Hal ini kerana, disebalik maksiat yang dilakukan oleh seseorang hamba Allah s.w.t., ada pelbagai rahsia dan hikmah yang tersembunyi. Kadang-kala, maksiat merupakan satu batu loncatan bagi seseorang hamba Allah s.w.t. yang dikasihi-Nya, untuk terus mempertingkatkan dirinya di hadrah-Nya. Oleh kerana itu, banyak para sulama’ sufi mengingatkan kita bahawa, di sebalik maksiat juga, kadang-kala tersembunyi rahsia dan hikmah dalam meningkatkan martabat seseorang hamba Allah s.w.t..

Maksiat terbahagi kepada dua, iaitu untuk merendahkan darjat seseorang dan untuk meninggikan darjat seseorang.

Di antara contoh maksiat yang di sebaliknya tersimpan rahsia untuk meninggikan darjat seseorang ialah maksiat yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. takkala baginda a.s. memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah s.w.t.. Ia sebenarnya telah disusun oleh Allah s.w.t. untuk menjadi sebab untuk menurunkan Adam a.s. ke dunia untuk melantiknya menjadi khalifah dan Nabi yang diberi amanah yang merupakan kemuliaan kepada baginda a.s..

Banyak juga para auliya’ yang pernah tenggelam di dalam lautan syahwat dan lemas dalam gelora maksiat, kemudian berjaya keluar darinya seterusnya mencapai tahap dan maqam yang tinggi di sisi Allah s.w.t., seperti Malik bin Dinar r.a., Ibrahim bin Adham r.a. dan sebagainya.

Rahsianya, maksiat merupakan suatu penyebab untuk seseorang hamba-Nya meningkatkan hubungannya dengan Allah s.w.t., jika hamba tersebut bersifat rendah diri di hadrah Ilahi s.w.t. dan sanggup untuk mengaku salah dan menyalahkan diri sendiri di hadapan Allah s.w.t. dengan taubat nasuha.

Taubat merupakan kunci terbesar seseorang untuk berjinak-jinak di hadrah Ilahi s.w.t. dengan tangisan munajat dan mempersembahkan kehinaan diri di hadapan Allah s.w.t.. Seseorang hamba yang bersifat rendah diri di hadapan Allah s.w.t., merupakan antara mereka yang diaturkan maksiat ke atas diri mereka untuk meningkatkan lagi maqam mereka di sisi Allah s.w.t..

Antara tanda-tanda golongan yang mendapat rahmat ini adalah, mereka tidak memandang kecil sesuatu dosa tersebut, bersifat menyalahkan diri sendiri dengan dosa yang dilakukan, bersegera dalam bertaubat setelah melakukan dosa, merendah diri di hadapan Allah s.w.t. dengan taubat nasuha, mengakui kezaliman diri sendiri di hadapan Allah s.w.t. dan sentiasa berbaik sangka dengan Allah s.w.t. serta sentiasa mengadu kepada Allah s.w.t. dan menzahirkan ketergantungan kita kepada-Nya. Rahsia ciri-ciri ini dapat dirasai apabila kita menghayati doa-doa dan munajat para Rasul a.s..

Lihatlah doa dan taubat Nabi Adam a.s. setelah melakukan kesalahan, di hadapan Allah s.w.t.. Doa baginda a.s.:

“Wahai Tuhan kami, kami menzalimi diri sendiri, dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan merahmati (mengasihi kami), sudah pasti kami termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi”.

Doa ini merupakan doa yang diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam a.s. untuk berdoa dan memohon ampun kepada-Nya. Dalam doa tersebut, mengandungi rahsia-rahsia dan tanda-tanda yang disebutkan sebelum ini, antaranya:

Baginda a.s. berdoa: “Wahai Tuhan kami, kami menzalimi diri-sendiri…”

Di sini, jelaslah bahawa, Nabi Adam a.s. menyalahkan diri sendiri dan mengakui kesalahannya di hadapan Allah s.w.t..

Dalam doa baginda a.s. lagi: “…kalau Engkau tidak mengampuni dan merahmati kami, sudah pasti kami termasuk dari kalangan orang-orang yang rugi”

Di sini juga menunjukkan sifat rendah diri Nabi Adam a.s. di hadapan Allah s.w.t. dan sifat menzahirkan kebergantungan diri kepada Allah s.w.t., yang mana, tanpa rahmat dari-Nya, nescaya baginda a.s. (bahkan kita semua) termasuk dari kalangan golongan yang rugi.

Lihatlah pula doa Nabi Yunus a.s. di dalam perut ikan nun seraya berdoa:

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau (wahai Allah s.w.t.), sesungguhnya aku termasuk dari golongan orang-orang yang zalim”.

Dalam doa Nabi Yunus a.s. ini juga mengandungi rahsia kerendahan diri yang amat tinggi di mana, baginda a.s. memuji kebesaran Allah s.w.t. walaupun baginda a.s. diuji dengan ujian yang amat mencabar, tetapi masih melihat Allah s.w.t. sebagai Tuhannya yang Maha Mulia. Ini menunjukkan sikap husnu zhon (baik sangka) kepada Allah s.w.t. di sebalik setiap yang ditentukan oleh-Nya ke atas kita, yang diajarkan oleh Nabi Yunus a.s..

Di samping itu juga, tersimpan makna yang agung di dalam doa ini, yang menunjukkan sifat menyalahkan diri sendiri yang menjadi ciri-ciri paling utama bagi golongan yang mendapat rahmat Allah s.w.t. di sebalik kesalahan dan maksiat yang dilakukan. Nabi Yunus a.s. menunjukkan contoh di mana, baginda a.s. mengakui bahawasanya diri sendiri termasuk dari golongan orang-orang yang zalim, walaupun pada hakikatnya baginda a.s. seorang Nabi dan Rasul yang ma’shum.

Bagi mereka yang mampu merasai zauq (perasaan) yang tersembunyi dalam doa ini, mereka pasti akan dapat merasai banyak lagi sifat-sifat kerendahan diri dan kehambaan di dalam doa ini, dan semoga Allah s.w.t. menjadikan kita dari kalangan mereka yang merasainya dan seterusnya merasai-Nya.

Antara munajat lain yang mengandungi rahsia kehambaan yang tinggi ialah munajat Saidina Rasulillah s.a.w. yang dinisbahkan kepada Nabi Adam a.s., dan digelar sebagai Saiyyiidul Istighfar (penghulu bagi Istighfar) iaitu:

“Allahumma Anta Rabbi La Ilaha Illa Anta…” dan seterusnya…

Dalam munajat ini mengandungi sejumlah rahsia kehambaan dan kerendahan diri yang amat agung sehingga tidak termuat di dalam kesempatan yang pendek ini untuk mengeluarkannya dan menukilkannya di samping ketiadak layakan alfaqir (penulis) untuk memperkatakan tentangnya kerana kejahilan alfaqir sendiri di samping kehinaan alfaqir di hadapan-Nya.

Demikianlah sedikit penerangan di mana, kadang-kala, maksiat juga sebenarnya merupakan pintu bagi peningkatan seseorang hamba yang bersifat dengan sifat-sifat kehambaan yang sejati di hadapan Allah s.w.t. di samping bersegera dalam bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam dengan sekuat-kuat azam untuk tidak kembali melakukan dosa dan maksiat tersebut.

Berbeza pula dengan golongan yang ditimpakan maksiat ke atasnya untuk menjatuhkan mereka dan merendahkan martabat mereka hasil dari kezaliman dan kesombongan mereka sendiri, sedangkan Maha Suci Allah s.w.t. dari perbuatan-perbuatan yang zalim.

Maksiat pula merupakan pintu kejatuhan seseorang hamba sekiranya hamba tersebut merupakan seseorang yang mempunyai sikap sombong dan bongkak dalam diri sendiri dan merasakan diri sendiri paling baik. Sifat sombong dan bongkak inilah yang menghalang seseorang mendapat rahmat di sebalik maksiat yang mereka kerjakan dan akhirnya terus terjerumus di dalam kemurkaan Allah s.w.t. kerana tidak mahu bertaubat.

Contoh yang paling ketara ialah, seperti yang berlaku kepada Iblis, di mana dia pernah diangkat sebagai setinggi-tinggi makhluk dai sudut darjatnya, namun akibat kesombongan dalam dirinya yang membuak-buak, menyebabkan dia diuji oleh Allah s.w.t. dengan maksiat (sewaktu dia tidak sujud kepada Nabi Adam a.s.), namun gagal untuk bertaubat kerana tidak mahu melihat diri sendiri sebagai pesalah dan tidak juga mahu menyalahkan diri sendiri dan merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t. dengan pengakuan salah seperti yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dalam munajat baginda a.s..

Iblis sewaktu dipersalahkan oleh Allah s.w.t., dan dilaknat oleh Allah s.w.t., tidak sedikitpun menzahirkan sikap takutnya terhadap Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa, dan tidak sedikitpun menzahirkan rasa penyesalannya terhadap maksiat yang dilakukannya, bahkan mencabar Allah s.w.t. pula untuk “berperang dengan keturunan Nabi Adam a.s.” yang mana, menurut Iblis, baginda a.s.-lah yang perlu dipersalahkan dalam maksiatnya terhadap Allah s.w.t..

Allah s.w.t. membiarkan Iblis menggoda keturunan Nabi Adam a.s. kerana, berdasarkan ilmu-Nya yang qadim, Dia sudah mengetahui ada juga di kalangan Bani Adam yang bersifat dengan sifat Iblis yang sombong dan tidak bersifat dengan sifat-sifat kehambaan, dan selayaknya bersama dengan Iblis di dalam neraka. Namun, Allah s.w.t. tetap memberi jaminan bahawasanya, masih terdapat dari kalangan para hamba-Nya yang tidak mampu dijatuhkan oleh Iblis kerana sifat-sifat kehambaan mereka di hadapan Allah s.w.t..

Jadi, orang-orang yang melakukan maksiat dan terus terjerumus ke dalam lembah maksiat dan seterusnya mati dalam suuk al-khatimah sebenarnya merupakan golongan yang menzalimi diri sendiri dengan bersikap sombong terhadap Allah s.w.t. dan bangga dengan diri sendiri, yang merupakan sifat Iblis, dan seterusnya maksiat yang dilakukan oleh mereka tidak lain melainkan penyebab untuk kejatuhan mereka di hadapan Allah s.w.t.. (Na’uzubillahi min zalik. Allahumma Farhamna Jami’aa).

Antara ciri-ciri golongan yang mendapat kehinaan di sebalik maksiat mereka adalah: mereka meremehkan dosa-dosa yang dilakukan, tidak mahu mengakui kesalahan di hadapan Allah s.w.t., tinggi diri, sombong, tidak merasa ketergantungan diri hanya kepada Allah s.w.t. malah merasakan bahawa, cukuplah bergantung kepada diri sendiri, melengah-lengahkan taubat kerana memperkecilkan Allah s.w.t. yang Maha Agung dan sebagainya.

Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dari sifat-sifat terhina tersebut yang menghalang kita dari mendapat rahmat dan belas kasih-Nya.

Jelaslah bahawa, maksiat semata-mata, walaupun ianya merupakan satu perkara yang besar, namun sikap takabbur dalam diri seseorang lebih besar dari itu. Maksiat, tanpa sengaja dilakukan dan meremehkannya, tanpa ada sikap meremehkan Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa, kadang-kala mengandungi hikmah dan rahmat dari Allah s.w.t.. Apa yang penting, kejujuran kita di hadapan Allah s.w.t. dan memandang bahawa, maksiat itu merupakan suatu perkara yang amat besar bagi kita, dan sedaya-upaya untuk kita menjauhinya. Hanyasanya, jika kita “terjerumus” dalam lembah maksiat, kerana desakan nafsu dan tipu-daya syaitan yang kuat, bersegeralah untuk bertaubat kerana takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan sentiasalah berbaik sangka dengan Allah s.w.t. yang Maha Pengampun, bahawa Dia s.w.t. akan sentiasa mengampunkan kita.

Janganlah cuba mempermain-mainkan diri sendiri seperti berkata: “nantilah bertaubat, Tuhan kan Maha Panyayang” dan sebagainya kerana ianya merupakan antara tanda-tanda bahawasanya maksiat tersebut sebenarnya akan mengundang kepada kecelakaan baginya, dan tiada yang tertipu melainkan diri sendiri.

Ini sebagai satu motivasi bagi orang-orang yang jujur untuk kembali kepada Allah s.w.t. setelah dosa yang menggunung, supaya tidak berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. di samping mengingati bahawasanya, kemungkinan besar di sebalik maksiat yang dilakukan, mempunyai hikmah untuk meningkatkan kualiti kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. dan berbaik sangkalah terhadap Allah s.w.t. dan ketentuan-Nya, dengan menganggap maksiat kita sebelum ini merupakan batu loncatan bagi meningkatkan martabat kita di sisi-Nya, dan mudah-mudahan kita sebenarnya dari golongan yang pertama tadi (Amin ya Rabbal ‘Alamin).

Ingatlah sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Setiap Bani Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”.

Ingatlah juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang sering bertaubat…”

Ingatlah dan berbaik sangkalah terhadap ketentuan Allah s.w.t. di sebalik maksiat yang dilakukan, moga-moga Allah s.w.t. menentukan perkara tersebut kerana inginkan kita menjadi di kalangan orang-orang yang bertaubat dari dosa-dosa dan maksiat dengan taubat nasuha dan seterusnya ingin menyukai kita kerana Dia s.w.t. menyukai orang-orang yang bertaubat. Orang-orang yang jujur pasti berbaik sangka sebegini terhadap Allah s.w.t. dan tidak putus asa dari rahmat Allah s.w.t. seterusnya tidak melengahkan taubat kerana mereka yang berbaik sangka terhadap Allah s.w.t. buktinya pada baik perbuatannya, dan pintu perbuatan yang baik ialah taubat.

Barangsiapa yang tergolong dalam golongan yang pertama tadi, pastilah di saat ini (membaca tulisan ini) sudahpun terdetik untuk bertaubat dari sebarang maksiat yang menjauhkan diri dari Allah s.w.t. dan berazam untuk tidak melakukan dosa-dosa tersebut.

Dari huraian As-Sheikh juga, ia juga mengingatkan kepada kita bahawa, corak permulaan hidup kita tidak semestinya menunjukkan corak penghujung hidup kita. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan kepada kita bahawa, “seseorang itu dinilai pada dari bagaimanakah kesudahannya (kesudahan hidupnya)”. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami husnul-khatimah (kesudahan hayat yang baik). Amin…

Apabila terdetik di hati seseorang hamba untuk menginsafi diri dari perbuatan dan keterlanjuran lalu, dia mula melangkah, menyusun gerak menuju Rabbil ‘Alamin dengan ketaatan dan kehambaan dalam bantuan dan izin Allah s.w.t..

Ini merupakan suatu tanda positif bagi seseorang hamba, di mana ianya merupakan juga petanda bahawa, Allah s.w.t. sememangnya menginginkannya untuk mengenali-Nya.

Apa yang penting bagi mereka yang berjalan menuju Allah s.w.t. ialah, husnu-az-zhon (baik sangka) kita terhadap Allah s.w.t. (seperti yang dibincangkan sebelum ini), di mana kita mengharapkan bahawa, mudah-mudahan perjalanan kita menuju-Nya ialah suatu tanda bahawa Dia sebenarnya menginginkan pertemuan dengan kita dan meredhai kita, dan hanya redha-Nyalah yang menjadi harapan kita dari setiap langkah perjalanan kita menuju-Nya. Ingatlah bahawa, Allah s.w.t. pernah berfirman dalam satu hadis qudsi yang bermaksud: “Aku (ialah) pada apa yang disangkakan oleh hamba-Ku terhadap-Ku” Maka berbaik sangkalah terhadap Allah s.w.t., dan kamu akan dapati Dia bersama-sama dengan kamu sesuai dengan sangkaanmu (yang baik itu) terhadap-Nya, bahkan lebih baik dari apa yang kamu sangkakan.

Sesungguhnya, rahmat Allah s.w.t. itu amat diharapkan, bahkan ianya amat mahal dan tiada tolok bandingannya di sisi seseorang hamba. Pandangan redha dan kemurahan dari-Nya ke atas kita merupakan pengharapan para kekasih-Nya.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan bahawa: “Kita ini serba kekurangan. Ya, kita mengaku di hadapan Allah s.w.t., bahawa kita ini serba hina lagi penuh kekurangan. Benar, tiada amalan yang sempurna dari kita, untuk dipersembahkan di hadapan Allah s.w.t.. Tetapi, dengan kejujuran, dengan kerendahan diri di samping amal ketaatan, seseorang hamba dapat menghadap-Nya dengan kemuliaan dan seterusnya memperolehi cinta dan redha-Nya.

“Seorang sang kekasih, jika mengasihi kekasihnya, maka setiap apa yang lahir dari kekasih tersebut, indah di pandangannya. Jika kekasihnya penuh kekurangan sekalipun, dia tetap sempurna di matanya, kerana mata yang mencintai tidak akan melihat dari apa yang dicintainya, melainkan kesempurnaan dan keindahan.

“Nah. Jika anda memahami bahasa cinta ini, bayangkanlah, bagaimana pula apabila Allah s.w.t. sudahpun meredhai kita? Bukankah Dia akan melihat kita dengan pandangan redha-Nya? Maka, apalah yang ada di mata keredhaan Allah s.w.t., melainkan hanya melihat hamba-Nya (yang diredhai) dalam keadaan penuh kesempurnaan dan keindahan jua, kerana inilah bahasa cinta yang difahami oleh semua yang bercinta. Tiada ertinya kekurangan amalan kita di pandangan redha-Nya dan tiada pula kesempurnaan amalan kita di pandangan kemurkaan-Nya. Semoga Allah s.w.t. meredhai kita (Amin)…”

Lihatlah, saudara-saudariku dan semoga Allah s.w.t. memahamkan kita semua.

Sesungguhnya, pandangan rahmat Allah s.w.t.-lah yang melayakkan seseorang hamba yang hina mendapat kemuliaan di sisi-Nya. Pandangan redha Allah s.w.t.-lah yang melayakkan seseorang hamba yang serba kekurangan mendapat kurniaan dari-Nya. Kerana cinta-Nyalah, seseorang hamba yang penuh kelalaian diterima untuk mencintai-Nya.

Kita tidak akan memahami bahasa cinta melainkan kita sendiri bercinta dengan apa yang dicintai. Ingatlah bahawa, segala gerak langkah kita dalam beramal dan taat kepada-Nya, hanyalah kerana Allah s.w.t.lah yang sudahpun mengizinkan kita untuk ketaatan tersebut. Kata Sheikhuna Al-Hasani: “Janganlah sesekali terpegun dengan ketaatan kita kepada-Nya. Kita sebenarnya tidak layak untuk mentaati-Nya. Siapa kita yang penuh hina ini, untuk layak mentaati-Nya. Kita hanya mentaati-Nya, kerana Dia mahu kita mentaati-Nya dan kerana Dialah yang mengizinkan kita untuk mentaati-Nya. Ingatlah, ketaatan kamu kepada-Nya bukanlah sesuatu yang dari kamu kepada-Nya, tetapi ia hanyalah suatu yang dari-Nya kepada-Nya, dan kamu hanya tempat ia bertajalli dan berlalu. Ingatlah, ketaatan ialah anugerah, dari-Nya, supaya kamu layak menghadap-Nya, dengan kemuliaan-Nya, yang juga dari-Nya”

Seorang pengemis fakir yang merempat di penghujung kampung, yang tidak ada nilai di sisi masyarakat, jika disukai oleh seorang raja dalam negara berkenaan, maka pasti raja tersebut akan menjemputnya untuk mengadapnya. Oleh yang demikian, untuk mengadapnya di singgahsananya, sudah tentulah tidak boleh dalam keadaan serba kotor dan tidak terurus.

Jadi, sang raja tersebut akan menganugerahkan persalinan kepada pengemis fakir tersebut untuk mempersiapkan dirinya dengan persalinan tersebut, untuk mengadapnya di singgahsananya dalam keadaan yang mulia dan berkelayakan untuk mengadapnya di persada keagungan dan kemuliaan.

Maka, si pengemis fakir ini pun mengadap raja tersebut dengan persalinan yang dipakainya yang dianugerahkan oleh raja tersebut kepadanya. Cuba anda bayangkan, perasaan si pengemis fakir tadi sewaktu mengadap sang raja tersebut. Adakah dia mengadap raja tersebut dengan penuh rasa bangga dan sombong dengan kemegahan persalinan yang ada padanya di hadapan raja tersebut (yang pada hakikatnyalah yang menganugerahkan persalinan tersebut kepadanya), atau mengadap raja tersebut dalam keadaan penuh rendah diri (kerana mengenangkan status diri yang sebenar sebelum ini), malu (kerana rasa tidak layak memakai persalinan tersebut apatah lagi mengadap raja tersebut sedangkan di sekelilingnya terdapat ramai lagi pembesar-pembesar raja yang lebih layak mengadap raja tersebut selain daripanya yang hanya seorang pengemis yang fakir) dan penuh kesyukuran terhadap raja tersebut (kerana memberi kemuliaan kepadanya).

Lihatlah, dan bandingkan realiti tersebut dengan realiti kita di hadapan Allah s.w.t.. Kita ini lebih hina dari pengemis fakir dalam cerita tadi, bahkan Allah s.w.t. pula lebih mulia dari sang raja tadi kerana Dialah yang Maha Mulia lagi Raja kepada segala raja. Pun begitu, hanya kerana Allah s.w.t. suka kepada kita, (mudah-mudahan ya Rab..Amin…), maka Allah s.w.t. memilih kita untuk mengadap-Nya di hadrah-Nya (yang dikenali dengan ihsan) dan menganugerahkan persalinan Iman dan Islam yang membuahkan pakaian taqwa dan ketaatan, dalam rangka untuk mempersiapkan kita untuk mengadap-Nya. Lihatlah, betapa kita ini tiada nilainya di hadapan keagungan-Nya, sedangkan ketaatan kita terhadap-Nya tidak lebih ibarat persalinan yang dianugerahkan oleh sang raja kepada pengemis tersebut. Ketaatan ialah anugerah dari-Nya, bukan kerana kita layak untuk menerimanya tetapi kerana Allah s.w.t.-lah yang mahu kita menerimanya.

Sesiapa yang memahami makna-makna tersebut, maka dia sudah tentu akan bersikap dengan sikap pengemis fakir sewaktu mengadap raja tersebut iaitu:

Rendah Diri di hadapan Allah s.w.t. kerana sepatutnya kita seorang yang hina tanpa kemuliaan dari-Nya.

Malu terhadap-Nya kerana kemuliaan yang kita pakai dalam bentuk ketaatan kita kepada-Nya tidak lebih daripada hanya sebagai anugerah-Nya kepada kita, sedangkan kita tidak layak untuknya dengan kesedaran diri kita tentang kehinaan diri kita tanpa-Nya.

Bersyukur kepada-Nya kerana anugerah-Nya kepada kita, dalam bentuk ketaatan tersebut yang seterusnya melayakkan kita untuk mengadap-Nya di hadrah-Nya.

Sesiapa yang merasai makna-makna perumpamaan tersebut sudah pasti memahami bahawa, seseorang yang ‘ujub atau bangga dengan ketaatan diri sendiri merupakan seseorang yang tertipu kerana pada hakikatnya, ketaatannya kepada-Nya tidak lain melainkan dari-Nya semata-mata, sebagai anugerah. Memang layak bagi orang yang ujub dalam ketaatan untuk dibenci oleh Allah s.w.t. kerana sikapnya yang tidak kenang jasa Allah s.w.t. dan sikapnya yang lupa daratan dan melupai hakikat dirinya yang lebih hina dari sang pengemis fakir di dalam kerajaan-Nya. Semoga Allah s.w.t. menjauhkan kita dari sifat tersebut. Amin…

Apabila anda memahami apa yang tersurat dan tersirat dari perumpaan si pengemis fakir dan sang raja tersebut, dan menterjemahkan ke dalam bahasa realiti anda, anda akan dapati rahsia adab yang tinggi dan seterusnya memahami hakikat yang asas iaitu, Allah s.w.t.-lah sebenarnya yang menyayangi anda terlebih dahulu sebelum anda menyayangi-Nya, kerana Dialah yang mengatur perjalanan anda supaya anda menyayangi-Nya. Kalaulah Dia tidak menyayangi anda, sudah tentu Dia pun tidak menyusun perjalanan anda untuk menyayangi-Nya. Oleh itu, berbaik sangkalah terhadap Allah s.w.t..

Sheikuna Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan bahawa: “Percayalah sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai anda. Kalau Dia s.w.t. tidak mencintai anda, maka Dia tidak akan menciptakan anda. Maka, fahamilah makna ini dan persiapkanlah diri anda untuk menghargai cinta-Nya dengan mencintai-Nya dan ketaatan kita ialah bukti kecintaan kita kepada-Nya”

Dalam ucapan Sheikhuna (semoga Allah s.w.t. melanjutkan usia beliau dan menjaga beliau), menunjukkan bahawa, kita seharusnya bersifat baik sangka terhadap Allah s.w.t. yang mana, Dia s.w.t. sebenarnya mengasihi kita dan mencintai kita. Kalau dalam istilah cinta, ia dipanggil sebagai “perasan”. Namun, dalam bahasa cinta di hadrah Ilahi s.w.t., “perasan” tersebut merupakan suatu perkara positif kerana tidak membawa kepada “SS” (Syok Sendiri), kerana sememangnya, pada hakikatnya kita tidak akan merasai Allah s.w.t. mencintai kita, melainkan pada hakikatnya Dia terlebih dahulu mencintai kita, sebelum kita merasai diri kita dicintai.

Cinta-Nya sejak azali sedangkan cinta kita baharu. Bukti cinta-Nya terhadap kita, seperti yang dijelaskan oleh Sheikhuna Al-Hasani ialah, kewujudan kita di dunia ini sendiri. Jelaslah bahawa, Allah s.w.t. tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, kerana setiap kewujudan ada hikmahnya dan di sebaliknya ada makna-makna. Adapun makna yang paling besar dalam kewujudan manusia ialah: “cinta-Nya”.

Ia merupakan antara sifat-sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna seperti Ar-Rahman (Maha Pengasih) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). Sheikhuna Sidi Yusuf sehingga menjelaskan maksud moden yang mudah difahami dari sifat Al-Lutf Allah s.w.t. ialah, Dia yang Maha Romantik. Al-Lutf inilah yang menjadi sifat-sifat tunjang dalam kewujudan alam ini. Seluruh alam ini merupakan simbol Al-Lutf Allah s.w.t..

Jadi, bagi sesiapa yang memahami cinta Allah s.w.t. terhadap dirinya, maka sudah tentu akan terharu dan bersiap-sedia untuk menghargai cinta-Nya dengan mencintai-Nya. Bukti kecintaan kita ialah ketaatan kita dalam melaksanakan syariat dan tasawuf Islam di samping keutuhan aqidah Islam yang mantap dalam jiwa.

Apa yang jelas juga, kefahaman kita tentang cinta-Nya juga adalah anugerah dari-Nya seperti juga ketaatan kita kepada-Nya yang menjadi bukti cinta kita kepada-Nya juga adalah anugerah-Nya kepada kita dari-Nya.

Jika kefahaman kita tentang cinta-Nya terhadap kita pun dari-Nya, jika bukti cinta kita kepada-Nya (ketaatan) tersebut dari-Nya, (malah) jika cinta kita kepada-Nya pun dari-Nya, maka siapalah kita di hadapan-Nya melainkan “tiada siapa”. Nasab kita kepada-Nyalah yang sebenarnya merungkai ketiadaan kita di hadapan-Nya iaitu nasab Ubudiyyah (kehambaan) kita kepada-Nya seraya Dia berfirman: “Wahai hamba-Ku” dan menisbahkan “hamba” kepada diri-Nya dengan nisbah yang paling agung iaitu “kehambaan”.

Seseorang yang mampu merasainya akan merasai fana’ yang lebih besar maknanya (yang mana sini bukanlah tempat perbincangannya) dan semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam menuju-Nya.

Inilah antara ranting-ranting makrifatullah yang mana pohonnya amat besar.

Oleh yang demikian As-Sheikh (Ar-Rifa’ie r.a.) seterusnya menegaskan: “Menurutku, makrifat ibarat pohon yang ditanam oleh seorang raja dalam kebunnya. Pohon tersebut besar pada zahirnya, berbuah ranting-rantingnya, manis buah-buahannya, rimbun dedaunannya, tinggi cabang-cabangnya, bersih tanahnya, jernih airnya, wangi baunya, tuannya menyayanginya kerana kemuliaannya, gembira dengan kecantikan bebunganya dan mencegah dari kerosakan yang cuba mendekatinya (pohon tersebut).

“Begitulah pohon makrifat yang ditanam oleh Allah s.w.t. dalam kebun hati hamba-Nya, memuliakannya, mengutuskan setiap ketika, awan-awan rahmatnya (untuk memayunginya), menyiraminya dengan hujan karamah (kemuliaan), dan guruh kekuasaan-Nya, dan kilatan keinginan-Nya, untuk membersihkannya (pohon makrifat tersebut) dari debu-debu penglihatan kehambaan (melihat kehambaan diri yang boleh membawa kepada ujub-ulasan alfaqir), kemudian mengutuskan ke atasnya hembusan kelembutan-Nya, dengan hijab-hijab bantuan-Nya, untuk menyempurnakan kemuliaan wilayah (kewaliannya) dengan penjagaan dan pencegahan.

“Orang yang Arif (mengenal Allah s.w.t.) sentiasa mengelilingi (dengan rahsianya) di bawah teduhan pohon makrifat tersebut, menghirup wangiannya, memotong buah-buah yang rosak padanya dengan adab yang teliti dan membersihkannya dari kekotoran. Apabila sirr (rahsia) seseorang Arif terlalu lama di bawah teduhan pohon makrifat tersebut, dan sentiasa bersiar-siar di sekitarnya, terasa keinginannya untuk menikmati buah-buahnya, lalu menghulurkan tangan bersihnya, dan memetik buah-buah pohon tersebut dengan menjaga adab dan kehormatan, seterusnya memakannya dengan mulut kerinduan, sehingga tercekik dalam hangat kelemasan (lemas dalam kelazatan makrifat), maka tangan kemurahan mengambilnya dan meletakkannya ke dalam lautan widad (kemurahan Allah s.w.t. dan anugerah-Nya), dan dia minum dari lautan tersebut sehingga mabuk dengannya, mabuk dari melihat selain-Nya, dengan mabuk yang tidak dapat dipulihkan melainkan dengan bantuan dan kebersamaan, kemudian terbang dengan sayap kesungguhan menuju kepada apa yang tidak dapat digambarkan oleh makhluk.”

Demikianlah perumpamaan dari As-Sheikh yang sememangnya membawa makna-makna zauq yang hanya difahami oleh ahlinya sahaja. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam mengenali-Nya, Amin…

Wallahu a’lam…

Diterjemah, diolah dan disusun semula oleh:

Khadimul Ahl Allah wa Al-Qaum
Al-faqir Ila Rabbihi Al-Jalil

Tiada ulasan: