Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Disember 28, 2007

NABI MUHAMMAD S.A.W.

NABI MUHAMMAD S.A.W.
RAHMAT BAGI SELURUH ALAM,
Oleh:
Ustaz Syed Hasan Alatas
http://www.shiar-islam.com
“Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi Rahmat bagi sekalian alam.” (Quran s. al- Anbiya : 107)
Peribadi Nabi Mohammad s.a.w. sungguh menarik hati seluruh manusia yang mengakui kebenaran, keperibadian Rasulallah jelas diterangkan dalam al-Quran antaranya Allah berfirman yang bermaksud:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah (kepadamu Muhammad s.a.w) , engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari kamu. Oleh itu ma’afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau, dan mohonlah keampunan bagi mereka, dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (permasaalahan keduniaan) itu. Kemudian setelah engkau berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal kepadaNya. (al-Quran s. Ali Imran: 159)
Ini salah satu sifat terpuji dari peribadi Nabi Muhammad s.a.w. diantara banyak lagi sifat terpuji yang dimiliki oleh Rasulallah s.a.w., sehingga menyebabkan baginda Nabi s.a.w. telah dapat membawa suatu perubahan yang luar biasa terhadap masyarakat ummat manusia, khasnya masyarakat Arab di zaman jahiliah .
Sebelum Islam, Dunia berada dalam kegelapan, terutama sekali dunia Arab. Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa, telah bertukar kepada penyembahan kepada berhala yang mereka ciptakan sendiri. Perikemanusiaan telah bertukar kepada sifat-sifat kebinatangan; yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, wanita dijadikan sebagai alat pemuas nafsu ataupun sebagai iklan untuk melariskan perniagaan, jika lahir anak lelaki mereka sungguh gembira, akan tetapi jika lahir perempuan mereka sampai hati membunuhnya. Ramai pula mereka yang mengamalkan cinta sesama sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, kalau ini terus dibenarkan apa akan jadi terhadap ummat manusia didunia ini, sudah tentu mereka akan pupus, keturunan mereka akan terputus, inilah yang telah diamalkan oleh kaum Luth.
Sebelum Islam Dunia Arab berpecah belah, Yaman dikuasai oleh Kerajaan Persia, dan Habasyah, disamping dikuasai oleh ketua-ketua kabilah. Iraq dikuasai oleh Manazirah yang tunduk kepada kerajaan Romawi. Najd dan Hijaz dikuasai oleh kabilah Arab yang masing-masing berdiri sendiri. Perpecahan dan permusuhan diantara mereka berlarutan beratus tahun, sehingga bangsa Arab mundur dalam banyak hal.
Setalah Islam dibawah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. bangsa Arab telah disatukan, dibawah satu pimpinan. Mereka menjadi Ummat yang maju dalam berbagai bidang, malah dapat mengalahkan dua kerajaan besar Rome dan Parsi. Selanjutnya para sahabat telah mengembangkan Islam kemerata tempat di dunia ini.
Ummat Islam telah membawa perubahan besar di Timur ataupun di Barat. Amat menyedihkan setelah Ummat Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeru kepada kebenaran dan keadilan, dan mereka terikut-ikut hanyut dalam kancah bertuhankan hawa nafsu, maka semenjak itu ummat Islam menjadi lemah, mereka dapat dikalahkan oleh musuh-musuh Islam, sehingga meskipun jumlah Ummat Islam melebihi seperlima penduduk dunia, dan memiliki jumlah sumber kekayaan yang melimpah ruah, tetapi semua itu tidak membawa manfaat apa-apa. Malah ummat Islam dipermainkan, dihina, ditindas. Semua ini terjadi karena kesalahan Ummat Islam sendiri, oleh itu telah tiba masanya seluruh Ummat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Insya Allah Ummat Islam akan memperoleh kemuliaan dan kesejahteraan yang telah pernah mereka miliki di zaman Rasullah s.a.w. dan para sahabatnya yang terpilih, Insya Allah.
Rasulallah s.a.w.adalah contoh teladan yang sebaik-baiknya bagi kita, dalam semua hal, sebab nabi s.a.w. telah berjaya membawa perubahan yang luar biasa dalam semua bidang dalam masa yang begitu singkat (hanya 23 tahun).
Baginda telah berjaya merubah masyarakat musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak, zalim, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai menipu yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan disebabkan amal perbuatan mereka.
Semuanya itu telah dirobah, menjadi masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. Masyarakat yang berpecah belah, bersuku puak, telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu.
Masyarakat yang zalim, menjadi masyarakat yang harmonis dimana si lemah dilindungi, si miskin dibela nasib mereka, wanita mendapat hak-hak mereka yang sebelumnya mereka tak punya nilai, hanya sebagai alat untuk pemuas nafsu lelaki sahaja, malah mereka dibunuh hidup-hidup. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w.dari sehari ke sehari terus mendapat sambutan dari orang ramai. Pimpinan Quraisy semakin khuatir, kepimpinan mereka akan beralih kepada kepimpinan Nabi s.a.w. Oleh itu mereka bekerja keras untuk menghalang perkembangan Islam dengan berbagai cara. Tetapi semua usaha mereka yang jahat itu tak dapat menyekat usaha gigih Nabi s.a.w. dan pengikutnya yang setia. Melihat kegagalan demi kegagalan yang mereka alami, maka pihak penguasa Quraisy, mulai berlembut dan mengajak bekerjasama untuk menghilangkan segala perbedaan yang ada.
Sebagai permulaan mereka sanggup menyembah Allah s.w.t. di satu masa dan di lain masa pula nabi s.a.w. dan ummat Islam diminta menyembah berhala yang mereka ciptakan. Semua ajakan tolak ansur yang menyesatkan ini, juga ditegah untuk diamalkan.
Kita dilarang keras menyembah makhluk, sama ada (apakah) dia berhala, manusia, ataupun haiwan dsb.
Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak menyembah apa yang aku sembah. Aku tak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak pernah menyembah apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Q.S.al-Kaafirun:1-6)
Inilah suara Iman dan Tauhid yang sebenarnya. Kita dilarang keras menyengutukan Allah dengan apapun juga. Semua dosa Allah akan ampunkan kecuali dosa mensyarikatkan (menyengutukan) Allah, tidak akan diampunkan oleh Allah s.w.t.
Pemimpin Quraisy menjadi berang, mereka berusaha pula mengadakan berbagai tekanan yang lainnya, yang kemuncaknya dengan mengambil suatu keputusan bersama, untuk memulaukan Nabi s.a.w.dan para pengikutnya yang setia, supaya nabi s.a.w. dan pengikutnya menjadi lemah dan menyerah kalah. Pimpinan Quraisy mengadakan pertemuan dan mengambil suatu keputusan bertulis, dan digantungkan di ka'bah, sebagai satu keputusan yang mesti dilaksanakan dan dipatuhi oleh semua suku Quraisy untuk memulaukan Nabi s.a.w. dan kaum beliau Bani Hasyim, antaranya isi dari keputusan itu ialah:
(1) Melarang semua orang Quraisy berurusan perniagaan dengan Nabi dan pengikut Nabi s.a.w. terutama bani Hashim dan bani Muthalib.
(2) Tidak boleh mengadakan ikatan pernikahan dengan kaum Muslimin.
(3) Melarang sesiapapun untuk bergaul dengan Muhammad dan pengikutnya.
(4) Pihak Quraisy akan bekerjasama dan membantu sesiapa yang sedia memusuhi Muhammad dan pengikutnya.
Teks perjanjian itu disahkan oleh semua pemuka Quraisy dan dilaksanakan dengan tegas.
Abu Thalib bapa saudara nabi s.a.w. sebagai pendukung dan pembela utama Nabi s.a.w. menjemput semua kerabat nabi s.a.w.dari keturunan Bani Hasyim, dan meminta mereka supaya bertanggung jawab dan membela Nabi s.a.w.Semua kerabat Nabi s.a.w. daripada kalangan Bani Hasyim diarahkan berkumpul di sebuah lembah gersang, yang terkenal dengan nama lembah Abu Thalib. Pemulauan ini berjalan selama tiga tahun. Kezaliman yang diluar perikemanusiaan ini, terpaksa ditangggung oleh semua keluarga Bani Hasyim, dalam suasana kekurangan makanan dan minuman, sehingga ada yang terpaksa memakan umbut-umbut rumput, kulit binatang, dan sebagainya demi mengisi perut yang sedang dalam kelaparan.
Setamatnya pemulaun Quraisy terhadap Nabi s.a.w. dan suku kaum Nabi yaitu Bani Hasyim dan Bani Muthalib, baginda Nabi Muhammad s.a.w. tidak menghentikan dakwahnya, malah Nabi meneruskan perjuangannya mengajak manusia ke jalan yang benar.
Pada suatu masa, Nabi pergi ke Thaif mengajak kaum shakif kepada Islam, sayang sekali seruan Nabi s.a.w. dibalas dengan ejekan dan lemparan batu oleh kaum durhaka disitu sehingga darah bercucuran ditubuh Nabi s.a.w. akibat lemparan batu dan benda-benda keras lainnya. Meskipun demikian Nabi s.a.w hanya berdoa : “Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahuinya”
Berkat kesabaran dan usaha yang gigih dalam perjuangan, maka hati manusia mulai terbuka kepada Islam, terutama mereka yang telah dianiaya dan dizalimi. Mereka memeluk Islam, dan mengamalkan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka tertarik terutama kepada keperibadian Nabi s.a.w. yang sederhana suka membantu fakir miskin, yatim piatu dan janda, mengasihi mereka yang lemah, sedia memaafkan musuh, membenci keganasan, cintakan ilmu pengetahuan, sehingga dalam masa yang singkat (23 tahun) Islam berkembang dengan pesatnya keseluruh semenanjung tanah Arab.
Nabi s.a.w. begitu kasihkan isterinya Siti Khadijah, sehingga baginda hidup rukun dan damai dengan isterinya Khadijah hingga isterinya wafat, yaitu selama 28 tahun isteri nabi hanya Kadijah seorang sahaja. Nabi s.a.w berkahwin lain setelah wafatnya Siti Khatijah. Dikalangan isteri baru Nabi s.a.w, yang gadis hanya siti Aisyah seorang. Kebanyakan yang lainnya terdiri para janda untuk menyelamatkan anak-anak yatim, yang menjadi tanggungan mereka, dan perkawinan Nabi selanjutnya juga untuk menarik kabilah-kabilah ke dalam Islam.
Quraisy Melanggar Perjanjian Hudaibiya
Ketika Quraisy melanggar perjanjian dengan Nabi s.a.w. dimana sekutu mereka Banu Bakr telah menyerang dan membunuh pihak Khuza’a , maka pihak Khuza’a meminta pertolongan Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. bersama 10,000 orang tentera Islam berangkat untuk melancarkan serangan balasan keatas kaum Quraisy di Makkah. Sebelumnya memasuki kota Makkah terlebih dahulu Nabi Muhammad s.a.w. memberi nasihat kepada tentera Islam, supaya tidak membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak, tidak menceroboh dan merosakkan tanaman, tidak membunuh haiwan, untuk tidak sampai banyak kerosakan. Nabi juga menyeru barangsiapa menutup pintu rumah masing-masing mereka akan selamat, barangsiapa berlindung di Kabah ia akan selamat, malah setelah Abbu Sufyan (Ketua kaum Quraisy) masuk Islam, nabi s.a.w. juga memberi kesempatan barangsiapa berlindung di rumah Abu Sufyan juga dijamin keselamatannya.
Sementara dalam persiapan peperangan tiba-tiba Saad bin “Ubada berkata :”Hari ini adalah hari peperangan, hari dibolehkannya segala yang terlarang…..’
Hal ini telah melanggar perintah Nabi s.a.w. dimana kaum Muslimin dilarang membunuh penduduk Makkah. Oleh karena itu Nabi mengambil bendera komando dari tangan Sa’ad dan diserahkan kepada anaknya yang bernama Qais, terselamatlah penduduk Makkah dari menjadi korban peperangan, dengan demikian kota Makkah telah dapat dikuasai dengan menyelamatkan ramai nyawa mereka yang tidak bersalah. Bukan itu saja malah Nabi s.a.w. telah memberikan pengampunan Umum, termasuk mereka yang telah banyak berbuat kesalahan dan kezaliman dan penganiayaan kepada nabi dan pengikutnya. Nabi s.a.w. mengatakan
“Pergilah kamu sekaliah. Kamu sekarang sudah bebas.”
Setelah memasuki kota Makkah Nabi Muhammad s.a.w. mengeluarkan perintah jangan ada seorangpun dibunuh, jangan ada pertumpahan darah. Mereka yang telah melakukan banyak kesalahan dan khuatir dibunuh, lalu menyembunyikan diri mereka, akan tetapi akhirnya keluar juga setelah menyaksikan sendiri betapa kasih sayang Nabi s.a.w. yang telah mengampun secara beramai-ramai, akhirnya mereka keluar dan datang kepada Nabi s.a.w. memohon supaya dimaafkan, dan Nabi s.a.w. memaafkannya.
Ramai manusia terkeliru terhadap Islam disebabkan mereka tidak mengenal Islam, dan ramai yang melemparkan tuduhan keji kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebabkan mereka tidak mengenal siapa baginda. Akan tetap bagi mereka yang mahu mengkaji Riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w. akan mengakui tentang betapa tingginya keperibadian Nabi s.a.w. sehinggakan Ummat Islam sanggup mengorbankan apa saja demi kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Tiada ulasan: