Selimut Putih
Bila Izrail datang memanggil - Jasad terbujur di pembaringanSeluruh tubuh akan menggigil - Terkujur badan nan kedinginanTak ada lagi gunanya harta - Kawan karib sanak saudaraJika lah ada amal di dunia - Itulah hanya pembela kitaJanganlah mahu disanjung-sanjung - Engkau digelar manusia agungSadarlah diri tahu diuntung -Sebelum masa keranda diusung Datang masanya insaflah diri -Selimut putih pembalut badan Tinggal semua yang dikasihi - Berbaktilah hidup sepanjang zamanSebuah lagu yang popular disekitar tahun 70an. Dinyanyikan oleh Atiqah Rahman dari kumpulan Orkes el-Suraya dari Medan, Indonesia, yang dipimpin oleh almarhum Prof. Ahmad Baqi. Sedap lagu ni. Ianya merupakan lagu kesukaan aku sewaktu kecil dahulu. Kalau diamat-amati liriknya juga bagus. Seram dibuatnya. Lirik kat atas tu pun masih segar dalam ingatan, al-maklum saja lah dengar sedari kecil lagi …. hehehe. Dan kalau tidak silap aku lagu ini pernah diharamkan seketika. Tak tahu kenapa, mungkin Menteri Penerangan sewaktu itu seram mendengar lagu tersebut …. atau mungkin lagu ini tidak membawa pembangunan. Wallahu a’lam. Nak cerita sikit bab mati.Mati, adalah satu perkara yang mesti dan pasti dilalui oleh manusia samada ia suka ataupun tidak. Setiap yang hidup akan menemui mati.
Firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat 35:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ Maksudnya: “Tiap-tiap yang hidup akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”Seseorang itu tidak dapat lari dari mati. Kalau dia tidak mahu menemui mati, maka mati tetap akan datang menemuinya.
Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلاَقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ Maksudnya:“Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).”
أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍMaksudnya: Dimana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh (Surah an-Nisaa’:78)Pelbagai persepsi manusia tentang mati. Yang pastinya sedikit sekali yang merindui kematian. Mereka yang dekat dengan Allah sahaja yang merindui atau redha dengan kematian. Kerana kematian itu adalah jambatan yang menghubungkan pertemuan dua kekasih, sebagaimana dikatakan oleh Hayyan al-Aswad.
Disebut oleh Abu Nuaim didalam Hilyatul Auliya, bahwa suatu hari malaikat maut telah datang menemui Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mencabutnya nyawanya. Maka berkata Nabi Ibrahim: Wahai Malaikat Maut, pernahkan engkau lihat seorang kekasihmencabut nyawa kekasihnya sendiri? Kemudian Izrail kembali menemui Allah [melaporkan hal tersebut]. Maka Allah berfirman kepada Izrail, katakan kepadanya: Apakah engkau engkau pernah melihat seorang kekasih tidak suka bertemu dengan kekasihnya? Maka kembalilah Izrail kepada Nabi Ibrahim menyampaikan firman Allah tersebut. Maka berkatalah Nabi Ibrahim: Cabutlah ruhku ketika ini juga. Mati, adalah satu pengajaran yang baik. Ia adalah seumpama guru yang diam membisu tetapi kesan pengajarannya sangat besar. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat-sangat menganjurkan kita mengingati mati. Sabda baginda: Perbanyakkanlah kalian mengingati sesuatu yang melenyapkan kenikmatan-kenikmatan. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang melenyapkan kenikmatan-kenikmatan? Baginda menjawab: Kematian. (Hadits dikeluarkan oleh Abu Nuaim dengan isnadnya dari Malik bin Anas dari Yahya bin Said dari Said bin Musayyab dari Umar al-Khattab رضي الله عنه )
Diriwayatkan dari Anas رضي الله عنه , kata beliau, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Banyakkanlah olehmu daripada mengingati akan mati, kerana bahwasanya membanyakkan mengingati mati itu menghapuskan segala dosa dan menzuhudkan hidup di dalam dunia ini (Riwayat Ibn Abi ad-Dunya;az-Zuhd oleh ibn Mubarak; Kasyful Khafa oleh al-‘Ajluni)
Sabda baginda lagi: Cukuplah kematian itu sebagai nasihat. Dan cukuplah kematian itu sebagai sesuatu yang memisahkan (Hadits riwayat al-Baihaqi dan ath-Thabrani - dhoif)
Dalam sebuah hadits riwayat ad-Dailami didalam Musnad al-Firdaus
ذكر الأنبياء من العبادة وذكر الصالحين كفارة وذكر الموت صدقة وذكر القبر يقربكم من الجنةMaksudnya : Mengingati para Nabi adalah ibadah, mengingati orang-orang sholeh adalah kafaarah dan mengingati mati adalah sedekah dan mengingati qubur mendekatkan kalian semua kesyurga (Menurut Imam asy-Sayuthi didalam al-Jami’ asy-Shoghir, hadits ini dhoif)Mengingati mati itu adalah salah satu daripada sifat-sifat yang terpuji. Anda boleh baca mengenainya didalam kitab Ihya Ulumiddin karangan al-Imam al-Ghazali atau Sairus Salikin karangan asy-Syaikh Abdussamad al-Falimbani atau Kitab at-Tazkirah oleh al-Imam al-Qurtubi atau Persiapan Menghadapi Maut oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.Bagaimana mahu mengingati mati?
Selalu-selalu menziarahi kubur. Rasulullah صلى الله عليه وسلم menganjurkan kita menziarahi kubur.
Imam Muslim meriwayatkan dari Buraidah al-Aslami dimana dia mengatakan bahwa Rasullullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda: “Dahulu aku melarang kalian untuk menziarahi kubur, namun (Allah) telah memberi izin kepada Muhammad untuk melakukannya sehingga dapat menziarahi kubur ibunya. Berziarah-kuburlah kalian karena hal itu akan menjadikan kalian mengingat akhirat! ”.
Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahwasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: (Dulu) Aku pernah melarang kalian dari menziarahi kubur. Maka (sekarang) ziarahilah dia. Kerana hal itu membuat kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat
Selalu-selalulah mengunjung (pi mengunjung/ziarah orang mati) jenazah, kalau dapat tunggu jenazah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan [join samalah jangan tengok saja!] dan hantar jenazah ke kubur. Perhatikan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad, kemudian ditimbuskan .... Dengarlah dengan teliti talqin yang dibacakan. Perhatikanlah itu semuanya dengan penuh keinsafan bahwa suatu masa nanti kita juga akan melaluinya.
Kalau ada peluang tunggulah orang yang sedang sakarat. Aku beberapa kali melalui pengalaman ini. Sungguh besar pengajarannya.
Ziarahi orang yang sakit. InsyaAllah ini semua akan membuat kita mengingati mati dan bersedia untuk menghadapi saat kematian dan hal-hal yang seterusnya selepas kematian. Mati itu merupakan pintu untuk perjalanan seterusnya yang lebih panjang ........
يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! BERTAQWALAH kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu MATI melainkan dalam ISLAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan