ANJURAN BERKAHWIN
Manusia adalah suatu kejadian ciptaan Allah swt. Yang paling baik bentuk dan rupa parasnya, berbanding dengan makluk-makluk lain. Mempunyai akal fikiran, perasaan dan nafsu keinginan.
Keinginan kepada perkelaminan merupakan tabiat semulajadi seluruh makluk di dalam alam ini. Pada permulaan alam, Allah swt mencipta Adam sebagai manusia pertama, kemudian darinya Allah ciptakan pasangan Hawa supaya perkelaminan bermula seiring dengan permulaan alam. Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai manusia bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan kamu dari satu diri (nafs) dan menjadikan pasangan dari dirinya sendiri. Dan membiakkan dari keduanya manusia lelaki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang kamu minta-minta dengannya dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu.”
Islam yang memahami tabiat dan sifat-sifat semulajadi manusia telah mengizinkan perkahwinan. Rasulullah saw.sangat menyuruh dan menggalakkan umatnya berkahwin atau mendirikan rumahtangga. Rasulullah saw telah bersabda: “Hai, para pemuda barangsiapa dari kalangan kamu berdaya mengadakan belanja kahwin, maka hendaklah kamu kahwin kerana nikah itu lebih pada menundukkan pandangan dan lebih menyelamatkan akan kemaluan.Kerana puasa itu ibarat kebiri.”
Sesungguhnya, berkahwin adalah sunnah yang hendaklah disegerakan bagi siapa yang telah cukup syarat-syaratnya. Penekanan kepada perkahwinan telah dibuat oleh Rasulullah saw melalui hadis:
“Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepadanya, tetapi aku berpuasa, aku sembahyang dan aku tidur, aku juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikut aku.”
Rasulullah saw sangat menegah umatnya dari terus membujang dan tidak mahu berumahtangga dan tidak mahu berzuriat seperti kelakuan orang-orang musyirikin yang tidak mahu bertanggungjawab kerana takutkan papa, miskin, merosot ekonomi dan kelaparan.
Gejala-gejala yang tidak sihat ini bertentangan dengan hukum Allah yang menjamin tiap-tiap hambanya akan diberikan rezeki mengikut muslihat hamba itu sendiri.Rasulullah saw telah bersabda:
“Tidak ada hidup membujang. Mereka yang hidup membujang adalah seperti Rahib (hidup bertapa) dan mengharamkan yang halal.”
Jelaslah, orang yang hidup membujang baik lelaki atau wanita sengaja mengharamkan yang halal. Yakni sanggup menahan gelora hawa nafsu dan membiarkan dirinya seperti dalam pertapaan. padahal persetubuhan boleh bebas dilakukan pada bila-bila masa, kerana dihalalkan oleh Allah, kecuali isteri sedang haid, dalam keadaan belum suci dari haid, nifas dan melalui dubur.
Demikianlah Allah swt menerangkan kepada hambanya tentang ada hikmah dijadikan lelaki dan perempuan.Ianya tidak lain supaya hidup berpasang-pasang, yakni berkahwin.
Apabila seseorang itu berkahwin, dia akan dapat mendidik jiwa, membersihkan hati dan memperkuatkan peribadinya. Rasulullah saw pernah bersabda:
“Jika seseorang itu telah berkahwin maka dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka bertaqwalah kepada Allah pada separuh lagi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan