Tawaran Murah Hotel

Rabu, November 18, 2009

Mufti-mufti diminta adakan perjumpaan tergempar

Mufti-mufti diminta adakan perjumpaan tergempar
JOHOR BAHRU 8 Nov. - Persatuan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor mencadangkan agar kesemua mufti mengadakan perjumpaan tergempar bagi merumuskan panduan untuk membendung penularan fahaman Wahabi yang semakin berleluasa di negara ini.
Presidennya, Datuk Syed Hussein Al-Habshee berkata, selain itu, perjumpaan tersebut juga boleh meredakan polemik perbahasan yang dicetuskan oleh aliran pemikiran individu tertentu yang berfahaman Wahabi.
"Perjumpaan itu diharap dapat mengeluarkan nasihat, panduan dan cadangan kepada pemimpin kerajaan dan masyarakat kerana majoriti rakyat kini keliru dan berasa gelisah terhadap fahaman Wahabi," kata beliau yang juga bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom menasihatkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) dan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menamatkan segera pertelagahan yang timbul bagi mengelak kekeliruan umat Islam negara ini.
Jamil Khir berkata, kedua-dua pihak tidak sepatutnya memanjangkan persengketaan yang timbul hanya berdasarkan perbezaan pendapat semata-mata.
Syed Hussein berkata, selain rakyat, beberapa pemimpin negara turut didapati terkeliru dengan polemik fahaman berkenaan ketika membuat kenyataan kepada media.
Selaku bekas duta, beliau berpendapat, fahaman Wahabi berbahaya dan tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana sebahagiannya bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini.
Katanya, ia menyebabkan perpecahan umat Islam kerana Wahabi tidak berpegang kepada mazhab, bahkan menolak sebahagian pandangan empat mazhab sedangkan Ahli Sunah Wal Jamaah berpegang kepada mazhab sama ada Maliki, Hanafi, Hanbali atau Syafie.
"Golongan Wahabi walaupun tidak mengaku dia Wahabi biasanya akan cepat menghukum, menuduh, mengkritik amalan Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai bidaah, sesat dan ke neraka.
"Mereka sewenang-wenangnya mengambil hadis yang menyatakan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat adalah neraka tempatnya," katanya.
Syed Hussein berkata, beliau secara peribadi menasihatkan 'individu' tertentu yang telah ditahan agar jangan menggunakan unsur-unsur Barat dengan menyatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dalam urusan hal ehwal agama.
"Kalau saranan 'individu' terbabit diguna pakai nescaya peranan raja dan sultan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama di setiap negeri akan tercabar.
"Kalau ini berlaku, maka akan runtuhlah benteng perpaduan ummah yang berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah," jelasnya.
Justeru, beliau meminta agar mufti-mufti negeri memainkan peranan mengadakan perjumpaan tergempar dan seterusnya mencari jalan mengekang penularan fahaman itu di negara ini.

Tiada ulasan: