Tawaran Murah Hotel

Selasa, Januari 26, 2010

Pembahagian Ilmu Tauhid Yang Tidak Benar?

Pembahagian Ilmu Tauhid Yang Tidak Benar?


Pembahagian Ilmu Tauhid Yang Tidak Benar?



Di kalangan masyarakat Islam di negara ini pada hari ini, telah meresap satu bentuk pembelajaran ilmu tauhid yang meragukan dan merisaukan. Pembelajaran ilmu tauhid dengan pembahagiannya kepada tiga yakni Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ wa Sifat (Tauhid 3T) digunapakai di banyak pusat-pusat pengajian formal di negara ini, termasuk dalam subjek agama Islam di sekolah-sekolah. Hal ini cukup merisaukan kerana pembelajaran tauhid yang salah akan menyebabkan pegangan ‘aqidah yang tidak tepat, seterusnya akan menyebabkan umat Islam mempunyai pandangan alam (worldview) yang tidak tepat dan hanya akan menyebabkan umat menjadi semakin jauh daripada Islam. Hal ini perlu diketengahkan dan diambil tindakan secara serius kerana persoalan ilmu tauhid bukan satu persoalan remeh. Sebaliknya, ilmu tauhid adalah merupakan ilmu yang paling utama, yang wajib dipelajari dan diketahui oleh semua umat Islam secara perseorangan.



Harus difahami juga bahawa di dalam ilmu tauhid tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan para ‘ulama. Jika wujud percanggahan dan perselisihan di dalam ilmu tauhid, maka itu bukan perselisihan pendapat di kalangan ‘ulama tetapi sebaliknya adalah merupakan pendapat orang jahil yang berselisih dengan para ‘ulama. Malah, untuk menyusun dan menentukan ilmu tauhid bukanlah sesuatu yang mudah kerana ilmu tauhid perlu didasarkan kepada dalil-dalil yang diyakini dan qat’i (muktamad) daripada Al-Qur’an, Sunnah yang mutawatir, ijma’ para ‘ulama dan aqal. Oleh sebab itulah untuk memahami dan mengukuhkan ‘aqidah kita, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam pada hari ini untuk mempelajari ilmu tauhid yang sahih daripada para ‘ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah.



Sikap biadab dan penyakit kesombongan telah menyebabkan munculnya aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng daripada kerangka Ahli Sunnah wal Jama’ah yang benar – tetapi mengaku sebagai Ahli Sunnah wal Jama’ah – telah menyebabkan berlakunya kecelaruan di dalam sistem pendidikan agama di negara ini. Tauhid 3T yang menyeleweng itu diajar secara berleluasa. Apa yang tambah menyedihkan adalah kegagalan pihak berkuasa, khususnya para pemimpin institusi-institusi yang berkaitan dengan pembelajaran agama Islam di negara ini, untuk mengenalpasti kesalahan konsep Tauhid 3T ini yang membayangkan kepada kita betapa ‘urusan agama itu telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya’.



Apa yang pasti, di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah Tauhid 3T ini adalah konsep yang salah. Ilmu tauhid tidak mempunyai pembahagian. Tauhid adalah tauhid. Ilmu tauhid terbina atas asas kalimah tauhid yang satu yakni: penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Itulah asas tauhid yang menjadikan seseorang itu seorang Islam. Dalilnya, antara lain, adalah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Tidaklah seorang hamba yang menyaksikan: ‘Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu hamba dan RasulNya’, melainkan Allah mengharamkannya daripada api neraka.” (Hadith riwayat Muslim)



Malah, menurut para ‘ulama, membahagi-bahagikan ilmu tauhid adalah merupakan satu bid’ah yang sesat kerana bercanggah dengan al-Qur’an dan Sunnah. Malah, perbuatan membahagikan ilmu tauhid tidak thabit di dalam al-Qur’an, daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan juga daripada Salafussoleh. Justeru, bagaimana mungkin kita menerimapakai konsep Tauhid 3T ini sedangkan konsep tersebut ditolak oleh para ‘ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah!



Wallahu’alam.



Rujukan: Kitab “Agamamu Dalam Bahaya” karangan al-‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani (diterjemah daripada tajuk asal: Intabih Dīnuka fī Khatorin oleh al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki). Cetakan Ketiga, Februari 2008M / Safar 1429H, Sofa Production, Selangor.



Sila baca juga tulisan-tulisan yang disiapkan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang menjelaskan tentang kekeliruan Tauhid 3T ini:



TAUHID TIGA SERANGKAI DISYARIATKAN DALAM ISLAM???

Tauhid Uluhiyyah & Rububiyyah!!!

Dalil Sanggah Beza Tauhid Uluhiah dan Rububiah

BENARKAH MUSYRIKIN BOLEH BERTAUHID RUBUBIYYAH?

Tiada ulasan: