Syafa`at Nabi Menurut Ibnu Taymiyyah
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN
Utusan Malaysia, 26 April 2011
Jika di minggu lepas kita telah menghujjahkan tentang keharusan memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW di dunia, ketika Baginda SAW masih hidup, kita juga menegaskan bahawa boleh memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW setelah Baginda SAW wafat. Hal ini bersesuaian dengan prinsip Ahli Sunnah wal Jama’ah, bahawa para Nabi AS tetap hidup di alam barzakh. Nabi Muhammad SAW sudah pasti adalah Nabi yang paling sempurna dan besar mendapat kurniaan tersebut. Baginda SAW mendengar perkataan umatnya, dan kepadanya diperlihatkan perbuatan mereka. Baginda SAW juga memohonkan keampunan kepada Allah bagi dosa-dosa mereka dan memuji Allah (atas amalan baik umatnya). Salawat dan salam yang diucapkan oleh umatnya juga sampai kepadanya, meskipun mereka berada di penghujung dunia yang paling jauh, sebagaimana yang diisyaratkan dalam hadith-hadith sohih yang diakui oleh sejumlah penghafaz dan ahli hadith.
Jika kita memohon syafa’at daripada Rasulullah SAW, sudah pasti Rasulullah SAW akan berdoa memohon kepada Allah SWT seperti yang dilakukannya ketika masih hidup. Hamba Allah yang memintanya, akan menerima syafa’at itu pada tempat dan waktu yang telah ditentukan setelah diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana dapat masuk syurga orang yang diberi khabar gembira dengannya di dunia. Dia mengecapinya pada waktunya selepas Allah memberikan keizinanNya masuk syurga. Jadi, perkara ini (masuk syurga bagi mereka yang telah dijanjikan) dan syafa’at, adalah sama. Inilah perkara yang dipercayai dan diyakini oleh hati kami.
Syafa`at di Sisi Ibnu Taymiyyah
Ibnu Taimiyyah mengharuskan memohon syafa’at daripada Nabi SAW semasa di dunia. Di dalam bukunya, al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah memberikan suatu penjelasan yang sangat bagus bagi ayat-ayat yang mengisyaratkan ketiadaan syafa’at, ketiadaan manfaatnya dan larangan daripada memohonnya, sedangkan, ayat-ayat itulah digunakan oleh sebahagian umat Islam untuk melarang daripada memohon syafa’at daripada Nabi Muhammad SAW semasa di dunia.
Daripada perkataan Ibnu Taimiyyah tentang makna ayat-ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa penggunaan ayat-ayat tersebut sebagai dalil untuk melarang permohonan syafa’at di dunia sebagaimana yang mereka yakini itu tidak kena pada tempatnya dan terpesong dari maksud asalnya.
Ibnu Taimiyyah berkata: “Orang-orang yang mengingkari syafa’at berhujjah dengan ayat-ayat berikut: “Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari Kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikit pun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafa’at; dan orang-orang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).” (al-Baqarah:480) “Dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafa’at.” (al-Baqarah: 123) “(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabat pun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafa’at yang diterima pertolongannya.” (al-Mukmin: 18) “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafa’at pertolongan (kalaulah ditaqdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafa’at itu.”(al-Muddathir: 48)
Ahli Sunnah, bahawa maksud ayat-ayat di atas ialah dua perkara berikut:
Pertama, bahawa syafa’at itu memang tidak bermanfaat bagi orang-orang yang mensyirikkan Allah, sebagaimana firman Allah dalam menyifatkan mereka:
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata), “…dan kami sentiasa mendustakan Hari Pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (mati).” Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafa’at pertolongan (kalau ditaqdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafa’at itu.”(al-Muddathhir: 47-48). Oleh kerana kekafiran mereka, maka ternafi bagi mereka faedah syafa’at daripada sesiapapun yang diizinkan memberikan syafa’at.
Kedua, yang dimaksudkan oleh ayat-ayat tersebut ternafinya syafa’at yang ditetapkan oleh pelaku syirik, dan orang-orang seperti mereka; seperti ahli bid’ah, baik dari golongan Ahli Kitab, ataupun kaum Muslimin yang beranggapan bahawa makhluk mempunyai kedudukan di sisi Allah untuk memberi syafa’at tanpa izin Allah SWT. Orang-orang musyrik menjadikan selain Allah sebagai pemberi syafa’at seperti malaikat, para nabi, dan orang-orang soleh. Mereka melukis dan membentuk bermacam-macam rupa dan bentuk patung. Setelah itu, mereka meminta syafa’at daripadanya, sambil berkata, “Mereka adalah kekasih Allah.”
Kita katakan: Inilah perkataan Ibnu Taimiyyah, mengikut sebagaimana lafaznya. Dari perkataannya ini, menjelaskan dengan sejelas-jelasnya hakikat ayat-ayat ini yang digunakan oleh orang-orang yang mengingkari syafa’at, sebagai hujjah atau dalil untuk mengingkari adanya permohonan syafa’at kepada Nabi Muhammad SAW di dunia, atau pun orang-orang yang berpendapat bahawa ia adalah perbuatan syirik dan sesat.
Secara ringkasnya, dapat dikatakan, bahawa menurut Ibnu Taimiyyah, yang dimaksudkan ialah bahawa syafa’at itu tidak berguna, atau tidak bermanfa’at bagi orang-orang musyrik. Jadi, menurut Ibnu Taimiyyah, ayat-ayat yang mereka kemukakan untuk mengingkari adanya syafa’at itu berhubungan dengan permasalahan tersebut. Atau, menurut Ibnu Taimiyyah, kemungkinan, ayat-ayat tersebut bermaksud menafikan syafa’at yang difahami oleh para pelaku syirik yang beranggapan bahawa ada yang mampu memberi syafa’at tanpa izin daripada Allah SWT. Apa yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah sama seperti yang kita yakini, selaku Ahli Sunnah dengan kurniaan Allah SWT.
Kita boleh mengatakan, “Sesungguhnya orang yang memohon syafa’at daripada Rasulullah SAW, jika meyakini atau menyangka bahawa Rasulullah SAW dapat memberikan syafa’at tanpa izin Allah SWT, maka keyakinan atau prasangka itu adalah sesat dan merupakan perbuatan syirik tanpa diragukan lagi. Kita juga tidak mempunyai prasangka seperti itu sama sekali dan kita berlepas diri kepada Allah dari i’tiqad tersebut.
Sesungguhnya, ketika kita memohon syafa’at kepada Nabi Muhammad SAW, kita mempercayai dengan sepenuh kepercayaan, bahawa tiada seorang manusia pun yang dapat memberikan syafa’at kepada yang lain, kecuali dengan izin daripada Allah SWT, dan sesuatu itu tidak akan terjadi kecuali dengan keredhaan Allah SWT.
Jadi, permohonan syafa’at itu sama seperti permohonan seseorang kepada Nabi Muhammad SAW untuk didoakan masuk syurga, atau memohon supaya diberi minuman dari Telaga (Kauthar), atau permohonan seseorang kepada Nabi SAW agar diselamatkan ketika melalui Sirat al-Mustaqim. Semua permohonan itu tidak akan dikabulkan kecuali jika Allah SWT mengizinkan dan pada waktu yang telah ditentukanNya. http://pondokhabib.wordpress.com/2011/04/26/syafaat-nabi-menurut-ibnu-taymiyyah/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan