Tabarruk dengan sisa wuduk Rasulullah
Tabarruk dengan sisa wuduk Rasulullah
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
KITA menyambung perbahasan demi memurnikan kefahaman kita tentang tabarruk(mengambil berkat dengan sesuatu) agar ia tidak lagi menjadi punca sikap sesat-menyesatkan sesama Muslim.
Kali ini kita akan meninjau beberapa riwayat yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat membolehkan amalan tersebut.
Diriwayatkan daripada Tolq ibn Ali r.a, berkata: “Kami telah keluar sebagai rombongan yang diutuskan kepada Rasulullah SAW. Maka kami berbaiah dengannya dan solat bersamanya serta mengkhabarkan kepadanya bahawa di tempat kami terdapat sebuah biara (tempat ibadah kaum Yahudi). Maka kami meminta kepada Baginda SAW agar memberikan kepada kami sisa air wuduknya. Lalu Baginda SAW meminta air dan berwuduk serta berkumur-kumur. Kemudian Baginda SAW mengeluarkan air kumurannya ke dalam sebuah bekas untuk kami. Baginda SAW bersabda kepada kami: “Keluarlah kalian. Apabila kalian telah sampai ke tempat kalian, maka robohkanlah biara itu, siramlah tempat tersebut dengan air ini dan jadikanlah ia sebagai masjid.”
Kami berkata: “Sesungguhnya tempat kami itu amat jauh dan cuaca amat panas, air ini akan menguap (kering) kerana udara yang sangat panas (dalam perjalanan)”.
Baginda SAW bersabda: “Tambahlah air (ke dalam bekas ini), kerana ia akan bertambah baik.” (riwayat al-Nasaie dan juga di dalam Misykat no. 716).
Hadis ini merupakan asas dan sandaran yang muktabar dan masyhur bagi menunjukkan keharusan bertabarruk dengan Rasulullah SAW, kesan peninggalannya dan semua benda yang berkaitan dengannya.
Sesungguhnya Rasulullah SAW sendiri telah mengambil bekas air wuduknya dan kemudian memasukkannya ke dalam sebuah bekas, lalu menyuruh air tersebut dibawa bersama mereka untuk memenuhi permintaan dan keinginan mereka.
Sudah semestinya, di sana terdapat rahsia yang amat penting dan kuat yang mendorong mereka meminta air khusus daripada Rasulullah SAW. Sedangkan Madinah ketika itu dilimpahi dengan air dan tempat mereka juga tidak kekurangan air.
Tetapi kenapa mereka berpenat-lelah dan bersusah-payah membawa air yang sedikit dari sebuah negeri ke sebuah negeri? Padahal, jaraknya cukup jauh, perjalanannya begitu panjang, bahkan terik matahari begitu menyengat?
Ya, semua kesusahan itu tidak penting bagi mereka kerana maksud yang terkandung pada air tersebut menjadikan mereka memandang mudah setiap keperitan.
Sesungguhnya ia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengambil berkat dengan baginda, kesan pusakanya dan semua benda yang berkaitan dengan baginda.
Ia tidak terdapat di negeri mereka dan tidak ditemui di tempat mereka. Bahkan, Rasulullah SAW mendukung dan meredai perbuatan mereka. Ini dibuktikan melalui jawapan baginda terhadap persoalan mereka: “Sesungguhnya air ini akan menguap kerana udara yang terlalu panas.”
Maka baginda menjawabnya: “Tambahlah air ke dalamnya (bekas tersebut).”
Ini menjelaskan bahawa keberkahan baginda yang terdapat dalam air tersebut, sentiasa berpanjangan dan berkekalan, sekali pun ditambah dengan air lain.
Berkenaan tabarruk dengan rambut nabi pula, daripada Uthman ibn Abdullah ibn Mauhab berkata: “Keluargaku telah mengutusiku kepada Ummu Salamah dengan membawa sebekas air. Maka Ummu Salamah keluar dengan membawa sebuah bekas (juljul) yang diperbuat daripada perak. Di dalamnya terdapat beberapa helai rambut nabi SAW. Apabila ada orang yang sakit disebabkan pandangan mata (yang jahat – sihir) atau penyakit lain, maka diutus seorang utusan kepadanya dengan membawa sebuah bekas (makhdhabah yang biasanya digunakan untuk mencelup sesuatu). Uthman berkata: “Aku meninjau ke dalam bekas perak tersebut, maka aku melihat terdapat beberapa helai rambut yang berwarna kemerah-merahan.” (riwayat al-Bukhari di dalam Kitab al Libas, bab ‘Apa yang disebut di dalam al Syaib‘).
Imam al ‘Aini berkata: “Keterangannya adalah seperti berikut, Ummu Salamah menyimpan beberapa helai rambut Nabi SAW yang berwarna kemerah-merahan dalam sebuah bekas seperti genta.
“Apabila ada orang yang sakit, maka mereka bertabarruk dengan rambut tersebut, memohon kesembuhan dengan keberkatannya. Dengan merendam sehelai dari rambut tersebut ke dalam sebuah bekas yang mengandungi air. Maka orang yang sakit tersebut akan meminum air dari rendaman rambut tersebut. Dengan keberkatan rambut Nabi SAW, maka mereka disembuhkan oleh Allah daripada penyakit yang dihidapi.” (Al-’Aini ‘Umdah al Qari, Syarh Sohih al Bukhari, 22:49).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan