Tawaran Murah Hotel

Selasa, Februari 17, 2009

ELAK FANATIK AGAMA

ELAK FANATIK AGAMA

Islam agama yang syumul dan terbuka. Ia tidak mengekang pemikiran dan kebebasan individu. Islam ada sempadan dan kebesannya tersendiri. Sebenarnya, apa yang diterajui Islam bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan kerana selari dengan keperluan, masa tempat dan keadaan. Sayangnya, sesetengah muslim yang gagal memahami Islam secara syumul kerana tersalah jalan @pintu memahami agama akhirnya gagal menterjemahkan wajah Islam yang sebenar. Ini semua terhasil dari kegagalan menguasai disiplin ilmu, bertaqlid buta, tidak menerima pandangan orang lain dan mengkultuskan individu. Maka, terbentuklah apa yang dinamakan sikap fanatisme agama.
Sebagai contoh, Jika dianalisa dari kebanyakkan tulisan Dr Mohd Asri, dia begitu gigih melaungkan tajdid berorientasikan Salaf. Namun, perjuangan salafnya tidak difokus kepada keseluruhan ulamak Salaf al-Soleh seperti para Sahabat dan Tabien @ Imam Mazahib. Sebaliknya hanya tertumpu kepada 2 orang tokoh sahaja. Iaitu Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan Syeikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Manakala pandangan tokoh2 kontemporari seperti al-Albani, Syeikh Ben Baaz, Syeikh Soleh al-Uthaimin, Ulamak Ali Syeikh (Muhammad Abdul Wahhab, Syeikh Safar Hawali, Sadiq Khan DLL yang dinukilnya hanya berstatus penyokong kepada metodologi Salafi rintisan Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani. Oleh itu, tidak hairanlah jika didapati skop perjuangan Salafinya (Dr Asri) hanya berskala kecil sahaja dan tidak menyeluruh kepada semua aspek.
Tidak hairan juga, jika beliau biasa menuduh orang yang berpegang kepada mazhab sebagai fanatik, konservatif, jumud, bukan mengikut mazhab Syafie ttp didakwanya mengikut mazhab Pi'ie, memerangi taklid DLL. Nampaknya, beliau sendiri lupa bahawa beliau sendiri begitu fanatik dengan Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani. Balada beliau ini membuktikan kepada kita bahawa beliau benar2 fanatik kepada Ibn Taimiyyah al-Harrani. Saksikanlah :
Benar, Ibn Taimiyyah juga seorang ulamak yg turut berjasa dalam Islam. Tetapi, jika pandangan Ibn Taimiyyah hendak dijadikan pengkalan untuk menyerang pandangan ulamak muktabar yang lain...saya rasakan tindakan begini bukanlah satu langkah yang bijak. Bahkan boleh menghuru-harakan keadaan dan membawa perpecahan. Inilah sebahagian dari situasi beliau sewaktu menjawat jawatan Mufti Perlis dan selepas ditamatkan perkhidmatan. Dan jika beliau tetap dgn metod sebegini..itulah kriteria dirinya yang sebenar yang terbelenggu dengan sikap fanatisme agama. Anda menuduh agensi agama jumud, ulamak konservatif, pondotisme ketinggalan dan orang lain fanatik. Tp terbukti, tuduhan itu terpercik kepada muka anda sendiri. Mungkin, inilah sebahagian dari sunnatullah utk kita mengakauntabiliti diri sendiri.
Cubalah kita perhatikan, walaupun Malaysia menjadikan pandangan mazhab al-Syafie sebagai asas pengurusan Feqah, Namun kita turut meraikan pandangan mazhab muktabar yang lain. Kalaupun kita menggunapakai metodologi al-Asya'irah dalam memahami Akidah, kita sebenarnya mengakses metod ini daripada salaf al-Soleh. Dalam masa yang sama turut menerima pandangan aliran Maturidiyyah. Sememangnya terbukti, skop akidah Ahli Sunnah yang dipelopori Asya'irah dan Maturidiyyah yang merangkumi : 1) Teori Hukum (Akal, Adat, Syarak) 2) Uluhiyyah (Ketuhanan) 3) Nubuwwat (Kenabian) 4) Sam'iyyat (Keghaiban) 5) al-Firaq (aliran2 pemikiran )...bersifat jamik dan manik. Ertinya mampu dijadikan sebagai set pelajaran lengkap bagi umat Islam merentasi sempadan bangsa dan warna kulit. Kurikulum ini lebih lengkap dan menyeluruh berbanding Tauhid 3T yang dipromosikan Syeikh Ibn Taimiyyah dan dimodifikasi aliran Wahhabiyyah. Selepas itu, wujud pula pelampau Wahhabiyyah. Bayangkanlah!
Selain itu, walaupun kita turut mengaplikasi ilmu tasawwuf dan tarekat bagi membentuk adab. Namun tidak beerti kita melupakan bahagian dari dunia ini (al-Qasas 77). Kita juga tidak segan atau kekok dalam memerangi gejala murtad dan ajaran sesat yang cuba meragut akidah umat. Nampaknya, kesemua prinsip ini diperkenalkan ulamak dan dijadikan teras oleh pemerintah. Akhirnya, hamba rakyat juga mendapat faedah. Justeru, jika ada mana-mana pihak ingin merubah ia sebenarnya cuba menentang arus perdana Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kesimpulannya :
1) Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menyanjung peranan ulamaknya. Tetapi tidak ke tahap mengkultuskan individu. ASWJ melarang umat Islam bersikap fanatik kepada ulamak tertentu. Apatah lagi, jika pandangan ulamak berkenaan agak keras, kontroversi dan berbeza dengan pandangan jumhur ulamak. Sesekali juga harus diingat bahawa nada sesuatu pandangan ulamak (bersifat ijtihadiyyah) tidak boleh dijadikan paltform kita untuk mencela, mentabdi' atau menyesatkan umat Islam. Saya bimbang, jika pandangan2 keras ini pula dikutip juhala' haraki dan dijadikan anjakan untuk membaham dan menganyang umat Islam yang tidak berdosa atas nama jihad Fi sabilillah. Bukankah ekstremisme lahir dari situasi ini. Fikirkanlah!
2) Melancarkan kecaman keras terhadap agensi agama, ulamak dan umat Islam hanya berteraskan isu khilafiyyah @ teknikal bukanlah satu langkah yang bijak. Malah sikap sebegini boleh memberi kesan negatif kpd Islam dan umatnya. dikhuatiri pula musuh2 Islam tampil dengan menangguk di air yang keruh.
3) Pihak berkuasa agama sepatutnya mengambil inisiatif terhadap mana-mana individu, NGO atau mana-mana pihak yang cuba menghuru-harakan fahaman, pegangan dan amalan harmoni umat Islam di negara ini. Hal ini penting supaya agenda pemerkasaan umat dan pembinaan tamadun tidak terbantut dengan isu yang diutarakan golongan fanatik agama. Semoga Allah jauhkan kita semua dari bersikap melampau dalam memahami agama.

http://al-ghari.blogspot.com/2009/02/elak-fanatik-agama.html

Tiada ulasan: