ISTILAH WAHHABIY
al-Hafiz al-Musnid ad-Dunya Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani diantara alim ulamak yang mengkritik Wahhabiy. Lantaran itu beliau amat dibenci golongan ini.
Istilah Wahhabiy begitu sinonim dengan sejarah peradaban Islam. Ia merujuk kepada aliran pemikiran yang dicetuskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang lahir pada tahun 1115H di Wadi Hanifah, daerah Uyainah dalam negeri Najd (kini Riyadh). Ayahnya Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Musyarraf seorang qadhi dalam mazhab hambali.
Menurut Imam Ibn Humayd, Muhammad bin Abdul Wahhab (MAW) dikatakan tidak menguasai disiplin ilmu sebagaimana yang menjadi tradisi alim ulamak dan keluarganya pada waktu itu. Tetapi MAW begitu fanatic dengan fahaman dua ulamak kontroversi dalam mazhab hambali iaitu: Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan Syeikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Situasi ini menyebabkan ayahnya begitu murka kepada beliau. (Imam Muhammad bin Abdillah bin Ibn Humayd al-Hambali, mantan Mufti Mazhab Hambali di Makkah, wafat 1295), t.thn, Maktabah Imam Ahmad, hlm 275)
Perlu diketahui bahawa Muhammad Abdul Wahhab tidak menzahirkan fahamannya semasa ayahnya masih hidup kerana dikhuatiri menimbulkan amarah ayahnya. Akan tetapi setelah kewafatan ayahnya, beliau mula giat menyebarkan fahamannya. Hal ini menyebabkan beberapa tokoh ulamak di zamannya bangkit bersuara dan berfirasat supaya masyarakat berhati-hati dengan dakyah Muhammad Abdul Wahhab. (Ibid, hlm 275). Walaupun firasat bukan hujjah qat'iyyah. Namun ia cukup dijadikan sandaran dgn Sabda Nabi SAW : "Takutlah kamu firasat dari orang-orang yang beriman (alim-ulamak) kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah SWT."- riwayat Tirmidzi.
Malah, setelah berlaku penyebaran fahaman Wahhabi, abangnya sendiri Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab telah mengarang dua buah kitab bagi menjelaskan kepincangan fahaman adiknya itu.Iaitu Kitab Fashlu al-Khitab Fi Raddi ala Muhammad Ibn Abdil Wahhab dan Sawa’iq al Ilahiyyah Fi Raddi ala Al-Wahhabiyyah. Dalam penolakan hujjah ilmiyyah ini, abangnya sendiri menjenamakan fahaman pelik adiknya itu dengan fahaman Wahhabiy.
Bagi saya, keterangan melalui buku ini cukup membuktikan bahawa Syeikh Sulaiman lah antara orang yang pertama menjenamakan fahaman pelik adiknya dengan gelaran "Wahhabiy". Lafaz ini kemudian dipergunakan secara meluas oleh para alim ulamak, sejarahwan (timur & barat) dan awam masyarakat. Seterusnya penjenamaan Wahhabiy ini terus digunapakai hingga ke hari ini. Justeru, istilah Wahhabiy bukan lagi misteri!
Memandangkan kemunculan fahaman disanggah para alim ulamak dan rekod hitam yang dimiliki gerakan ini, penjenamaan baru dirasakan perlu bagi menerapkan metodologi Wahhabiy. Jika anda mengkaji sejarah, setelah gerakan ini menguasai Jazirah Arab, mereka mula memperkenalkan diri mereka dengan gelaran Salafiy, Salafiyyah dan Ikhwan al-Najd. Manakala di Malaysia, zaman pasca dan sesudah merdeka mereka menggelarkan diri mereka dengan fahaman Pan Islamisme, Kaum Muda, Ittiba' al-Sunnah, Ansar al-Sunnah.
Dan kini, mereka mendakwa mereka adalah golongan Tajdid, al-Sunnah, Protaz dan pelbagai istilah yang sedap didengar. Hakikatnya, mereka memperjuangkan metodologi yang sama seperti perjuangan MAW dahulu. Awas! mereka ini akan menggunakan pelbagai sumber dan kekuatan untuk menerapkan fahaman mereka. Sayangnya, ramai dari kalangan alim ulamak dan cerdik pandai kita masih diulit mimpi lena tentang isu ini. Sesetengah kita pula hanya tahu mengucapkan perkataan : "..alah, ni soal khilafiyyah." Insya Allah, saya akan buktikan pada anda semua bahawa isu Wahhabiy bukan sekadar khilafiyyah. Sebaliknya isu yang berkait rapat dgn soal akidah, syariah, sejarah, akhlak, perpaduan ummah dan keselamatan negara.
Pembaca budiman, anda perlu sedar bahawa terdapat beratus-ratus kitab menjelaskan kekeliruan Wahhabiy. Diantara ulamak terkemuka yang menulis dan menjelaskan tentang Wahhabiy ialah : Imam Ibn ‘Abidin, Imam Ibn Humayd al-Hambali (mantan Mufti Hambali di Makkah), Syeikh Sayyed Ahmad Zaini Dahlan (Mantan Mufti Syafi’iyyah di Makkah), Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahhab (abang pengasas Wahhabiy), Imam Habib Abdullah Alawi al-Haddad, Syeikh Muhammad hayat al-Sindi, Syeikh Abd Rahman al-Kuzbari, al-Musnid Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh Muhammad Zahid al-Kautsari, Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari , Syeikh al-Musnid Muhammad Yasin al-Fadani dan ramai lagi.
Antara ulamak besar kontemporari yang menempelak sikap pelampau Wahhabiy ialah : Syeikh Umar Hasyim (mantan Rektor al-Azhar), Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir- Mufti ini sendiri pernah ditumbuk pelampau Wahhabiy dalam satu masjid selepas beliau mengatakan harus menyambut maulid Nabi SAW) sebahagian besar ulamak al-Azhar al-Syarif, Dr Yusof al-Qardawi (Qatar) Syeikh Yusuf Hasyim al-Rifaie (Kuwait),Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Ahmad 'Ajour (Lubnan) Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nuh al-Qudah (Mufti Jordan), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan) Syeikh Nuh Keller (US) Syeikh Salim Ulwan al-Hasani (AUS), Syeikh Wahbah Mustafa al-Zuhaili, Syeikh Usamah Sayyid (Mesir), Syeikh Mutwalli Sya’rawi (Mesir), Syeikh Mahmud Said Mamduh (UAE), Syeikh Ibrahim al-Kattani, Habib Umar al-Hafiz, Habib Anis al-Musawa (Yaman) dan ramai lagi.Di nusantara pula sebahagian besar ulamak yang beraliran tardisi-talaqqi menolak fahaman Wahhabiy. Antara ulamak nusantara yang mengkritik keras fahaman Wahhabiy ialah :1) Syeikh PaK Da Eil al-Fathani dan sebahagian besar ulamak Fathoni2) Syeikh Abdullah Fahim3) Syeikh Hj Yahya Kupang4) Syeikh Ahmad bin Muhammad Zayn al-Fathoni5) Tok Kenali, Tok Selehong, Tok Pulau Pisang, Tok Ku Paloh6) Syeikh Abdullah Fahim, Habib Ali al-Jufri, Habib Anis Solo (Indon)7) Syeikh Pak Chu Him Gajah Mati, Tn Guru Hj Lah Lubok Tapah, Tn Guru Hj Hasyim, Pasir Tumboh8) Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh Habib Noh9) Syeikh Alwi binTohir al-Hadd, Kiyai Hj Sirajuddin Abbas, Syeikh Mustafa Suhaimi DLL10) Para Mufti dari Brunei, Singapore, Kemboja, MUI, Mufti Malaysia (kecuali Perlis) semuanya menolak Wahhabiy.
Hakikat ini diketahui semua termasuklah bagi mereka yang bertindak sebagai pendakwah Wahhabiy. Namun, terpulang bagi mereka samada mendustakan hakikat atau terus ingin menggunakan metodologi wahhabiy bagi menyanggah fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah arus perdana : akidah (Asyairah/maturidiyyah), feqah (mazhab jumhur ulamak) atau tasawwuf (Sufi yang Haq). Atau mereka juga tetap ingin bersikap keras kepala dengan para alim ulamak Sunni di atas. Kenyataan ini membuktikan kepada kita bahawa tiada yang misteri dalam fahaman Wahhabiy. Istilah Misteri sepatutnya dilabelkan kpd sesiapa yang bersungguh2 memperjuangkan Wahhabiy. Kenapa mereka menghabiskan duit yang banyak dan bermati-matian menyebarkan Wahhabiy. Ini satu misteri. Bersambung di sesi akan datang. InsYa Allah. Semoga kita semua mendapat hidayah Allah.
http://al-ghari.blogspot.com/2009/07/istilah-wahhabiy.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan