Tawaran Murah Hotel

Jumaat, Disember 18, 2015

Anjakan paradigma pelajar Melayu

Anjakan paradigma pelajar Melayu






Setiap pelajar perlu menerapkan sahsiah terpuji untuk menyeimbangi pencapaian akademik antara satu sama lain.

SETIAP tahun majlis konvokesyen akan diadakan di semua universiti awam dan swasta. Ketika itu, ribuan pelajar akan menerima ijazah dan diploma mengikut bidang-bidang yang diceburi. Malangnya peratusan pelajar Melayu yang mendapat keputusan ijazah kelas pertama amatlah kurang dibandingkan pelajar bukan Melayu.

Persoalannya, mengapa pelajar Melayu kurang mendapat ijazah kelas pertama berbanding bukan Melayu sedangkan kelayakan untuk mereka memasuki universiti adalah sama.

Pelajar Melayu perlu mengatasi masalah ini agar mampu menjadi pelajar cemerlang dengan menetapkan beberapa agenda utama.

Justeru, pelajar-pelajar Melayu perlu membuat satu lonjakan paradigma agar boleh menjadi cemerlang seperti pelajar bukan Melayu melalui tiga komponen utama seperti berikut:

Pertama, pelajar Melayu perlu fokus kepada matlamat utama mereka masuk ke universiti iaitu cemerlang dalam akademik dan sahsiah.

Agenda utama

Ia juga merupakan agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi kepada pelajar yang mengutamakan kecemerlangan 2A iaitu akademik dan akhlak.

Ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang diletakkan di bahu mereka. Justeru, pelajar Melayu perlu memfokuskan kepada kecemerlangan akademik dan sahsiah supaya mampu menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, bermula tahun pertama lagi, mereka wajar meletakkan sasaran mengenai hala tuju masa depan terutamanya dalam bidang kerjaya yang hendak diceburi.

Disebabkan itu, mereka dapat membuat segala persiapan terutama menimba ilmu sewajarnya demi mempersiapkan diri menghadapi dunia luar yang penuh mencabar.

Dalam memastikan perkara ini menjadi realiti, pelajar Melayu perlu bijak menguruskan masa dan membuat keputusan supaya kekal fokus kepada pencapaian akademik dan sahsiah yang cemerlang.

Kedua, pelajar Melayu perlu melihat jauh ke hadapan dan jangan mudah terpengaruh dengan anjakan yang akan merosakkan mereka. Pelajar Melayu perlu menggunakan semua ruang dan peluang yang diperoleh untuk terus mencapai kejayaan.

Pelajar Melayu perlu sentiasa berfikiran positif dan bersikap matang dalam apa jua bidang serta halangan agar matlamat yang telah ditetapkan mampu menghasilkan kejayaan.

Justeru, pelajar Melayu perlu mengelakkan diri daripada terjebak dengan pengaruh luar yang negatif dan menjadi alat kepada pihak yang mempunyai agenda peribadi.

Ketiga, pelajar Melayu perlulah saling bantu-membantu untuk mencapai kejayaan bersama. Pelajar senior perlu membantu pelajar junior supaya mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama untuk mencapai kejayaan.

Dalam konteks ini, saling membantu boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti membantu menguruskan masa, pelajaran, buku ilmiah dan berkongsi pengalaman.

Sikap negatif

Sikap negatif seperti cemburu dan bersangka buruk semasa pelajar perlu dielakkan kerana ia akan merugikan semua pihak.

Sikap bantu-membantu ini sebenarnya telah lama menjadi tunjang utama kepada pelajar bukan Melayu kerana pelajar-pelajar senior akan memastikan pelajar junior tidak mengulangi kesilapan sama, sekali gus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Kesimpulannya, pelajar Melayu pada hari ini perlu berusaha sebaik mungkin untuk kecemerlangan diri dalam dua aspek utama iaitu akademik dan sahsiah.

Ini bertepatan dengan nasihat Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa untuk melihat suasana dan keadaan sesuatu masyarakat pada masa akan datang, maka lihatlah keadaan remaja masyarakat tersebut pada hari ini.

Sekiranya keadaan remaja pada hari ini berada dalam keadaan cemerlang dan gemilang maka keadaan yang sama juga akan berlaku pada masa akan datang dan begitulah sebaliknya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz3udpyLYv7
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan: